Saudara
Pengarang,
MINGGU lalu saya berkesempatan mengunjungi Bandaraya
Kuala Lumpur. Itulah kali pertama saya ke sana sejak projek Tahun Melawat
Malaysia (TMM) dilancarkan.
Di mana-mana jua sekitar perbandarannya jelas kelihatan
suasana kepestaan TMM itu. Ianya menggambarkan suatu keghairahan yang
bersangatan di kalangan, bukan sahaja Sabbaruddin Chik dan anak-anak buahnya,
malah pengusaha-pengusaha pengangkutan, penempatan dan lain-lain agensi
terbabit.
Matlamat dari semua itu, saya pasti, ialah untuk memikat
dan memuaskan hati para pelancong yang datang dari berbagai negara, khususnya
dari negara-negara Barat.
Apa yang mendukacitakan saya, sebagai seorang rakyat
Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, ialah sikap kita yang
terlalu ‘berlembut’ dengan perangai dan tingkah laku para pelancong Barat,
hatta di dalam soal kesopanan dan kemurnian budaya.
Maksud saya, kita rakyat Malaysia sentiasa terkenal
dengan kesopanan dan ketertiban, sama ada dalam cara bertutur atau bergaul. Paling
jelas ialah cara kita berpakaian yang sopan dan menutup badan. Kalau ada yang
dedah pun, ianya tidak lah terlalu menjolok mata.
Ertinya, kesopanan itu sudah menjadi darah daging
masyarakat negara kita, sama ada sopan bertuturkata atau sopan berpakaian. Bagi
kita rakyat Malaysia, itulah yang dinamakan sifat orang yang bertamadun.
Kerana kita diajar bahawa sifat tidak berpakaian, atau
pun hanya memakai cawat sahaja dan tidak pandai menjaga kebersihan tubuh badan,
berbau busuk dan hamis, itu merupakan sifat-sifat orang yang tidak bertamadun.
Sifat-sifat berkenaan hanya layak dimiliki oleh orang-orang sakai yang tinggal
di dalam gua-gua atau pondok-pondok atas pokok yang masih jauh dari mencium bau
tamadun dunia.
Umum dunia juga mengetahui bahawa taraf ketamadunan
negara-negara Barat adalah jauh lebih ke hadapan di segi kemajuan dunianya jika
dibandingkan dengan negara kita. Namun, apa yang dapat saya nilaikan daripada
cara para pelancong Barat berpakaian amatlah tidak munasabah dengan ketamadunan
mereka.
Misalnya, apa yang saya kebetulan terlihat sewaktu
berjalan-jalan di Chow Kit minggu lalu, terdapat beberapa orang pelancong kulit
putih keluar-masuk ke kedai-kedai di situ dengan hanya berseluar singkat tanpa
berbaju. Ianya sekaligus menampakkan bulu-bulu badan yang menjijikkan. Ada pula
sepasang yang lain, berkepit dan bercium-ciuman di khalayak ramai tanpa rasa
segan dan silu.
Apa pun peranggapan tamadun Barat terhadap kaedah
berpakaian dan norma kehidupan sedemikian, bagi kita ianya amat tidak sopan dan
jauh sekali untuk dianggap bertamadun. Malangnya, para pelancong tersebut
kelihatan begitu bebas menggayakan fesyen pakaian dan cara hidup ‘primitif’
mereka tanpa menerima sedikit pun teguran atau apa-apa tunjuk ajar yang sewajarnya.
Cara hidup ‘ganas’ sebegitu amat asing bagi masyarakat
negara kita ini. Kita tentunya tidak mahu ianya terus dipamerkan untuk jadi
tontotan anak-anak muda kita. Lebih buruk lagi kalau ianya mula jadi ikutan
anggota masyarakat kita. Maka perlakuan tidak bertamadun itu wajar dicegah
segera.
Saya tidak pasti pihak manakah yang lebih wajar untuk
dipertanggungjawabkan di dalam hal ini. Namun, jika mahu dipersalahkan orang
ramai, tentu sekali tidak wajar. Orang ramai tentu keberatan untuk menegur atau
melakukan sesuatu terhadap para pelancong asing tersebut, bimbang kalau-kalau
ianya nanti mencanggahi naluri dan aspirasi TMM yang mendapat promosi penuh kerajaan.
Oleh kerana kerajaan dan agensi-agensi pelancongan yang
menaja TMM, maka saya kira merekalah yang lebih wajar menerima kritikan ini.
A.R. Che
Muda,
Air Tawar,
Besut.
(Artikel ini
disiarkan akhbar Harakah, edisi 29 Jamadil Akhir 1410/26 Januari 1990
di ruangan ‘Assalamu’alaikum’
dengan tajuk sama)