Monday, October 25, 1993

Analisa rambang kekalahan Angkatan di Kampung Raja


Oleh: Mohd Nasir Awang

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja, Terengganu pada 13 Oktober lalu ‘memeranjatkan’ banyak pihak. Calon Semangat 46, Dato’ Haji Zakaria Abdul Rahman, yang mewakili Angkatan Perpaduan Ummah telah tewas dengan majoriti di luar dugaan. Beliau yang mendapat 3,563 undi tumpas kepada calon Barisan Nasional, Haji Mohd Noor Husin dengan kelebihan 1,049 undi.

Boleh dikatakan sebahagian besar peti-peti undi menunjukkan kemerosotan undi bagi Semangat 46 dan di waktu yang sama mencatatkan pertambahan kepada undi BN. Angkatan hanya mampu menambah sebilangan undi (berbanding Pilihan Raya Umum 1990) di dua daripada sebelas peti undi iaitu Peti-Peti Undi Kampung Raja Selatan (tujuh undi) dan Keluang (lapan undi).

Kemerosotan prestasi Angkatan sedemikian rupa bukan sahaja melemahkan semangat penyokong-penyokong Semangat 46, malah mengecewakan para petugas dan penyokong PAS yang sama-sama mendokongi calon Angkatan. Dengan keputusan itu, maka banyaklah kedengaran pendapat, anggapan dan “analisa-analisa kedai kopi” yang dipersembahkan di kalangan masyarakat setempat, khususnya di Parlimen Besut.

Antara “analisa-analisa” tersebut, ada yang secara terang meletakkan sebab utama kekalahan calon Angkatan di atas taktik kotor BN yang memanipulasi sepenuhnya jentera-jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan, pasukan Polis dan Tentera, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Kemas, Biro Tata Negara (BTN), Lembaga Tembakau Negara (LTN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain lagi.

Tidak kurang juga “analisa-analisa” yang memaparkan kelemahan jentera pilihan raya parti Semangat 46. Meletakkan kepercayaan yang terlalu tinggi kepada “orang-orang kita” di dalam BN disebutkan sebagai salah satu faktor utama mengapa Semangat 46 telah disembelih dengan teruk dalam pilihan raya kecil ini.

Oleh kerana parti Semangat 46 itu sendiri asalnya adalah serpihan daripada Umno, maka fenomena ahli-ahlinya kembali ke asalnya (Umno) sudah tidak lagi menjadi suatu hal yang pelik.

Mungkin bagi meredakan keresahan ahli yang masih kekal bersama Semangat 46, maka seringkali kalangan pimpinannya mengucapkan kata-kata yang bermaksud meyakinkan, iaitu mereka (ahli-ahli Semangat 46) yang lari itu “hanya Barisan di luar sahaja”. Dengan kata lain, mereka itu adalah “orang-orang kita” yang bekerja “untuk kita” di dalam BN.

Kenyataan-kenyataan tersebut dengan mudah dapat diterima oleh kalangan ahli dan penyokong Angkatan. Logiknya, masyarakat setempat memaklumi sebahagian besar ahli-ahli yang dimaksudkan itu “rujuk” semula kepada Umno/BN secara “terpaksa” atas sebab-sebab kepentingan pekerjaan, perniagaan dan lain-lain.

Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah para pengawet tembakau dan pekerja-pekerja mereka masih memberikan undi kepada calon Angkatan. Namun, penelitian terhadap undi di peti-peti undi menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar “Barisan di luar sahaja”, malah perakuan mulut mereka untuk bersama BN itu telah meresap ke jari mereka, menyebabkan pangkahan mereka memihak kepada BN.

Melalui apa yang didakwa sebagai maklumat dari “orang dalam” juga, para penyokong Angkatan telah “dikejutkan” dengan “kemenangan di luar dugaan” melalui undi pos. Dua malam sebelum hari pembuangan undi, sudah heboh diperkatakan di kalangan saf pimpinan Angkatan setempat kononnya “kita telah menang undi pos” dengan majoriti yang membanggakan.

Sedangkan keputusan sebenarnya, kelebihan 136 undi pos itu memihak kepada calon BN. Sekali lagi para petugas Angkatan telah berjaya “dilenakan” dengan jarum-jarum “overconfident” akibat terlalu mempercayai maklumat “orang dalam” itu.

Banyak lagi “analisa-analisa” yang menyebutkan satu persatu kelemahan dan kekurangan di pihak parti Semangat 46. Antaranya, isu bekas calon Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum lalu (Cikgu Mohd Noor Ismail) yang berkempen untuk BN, isu penyelesaian hak milik tanah yang kembali ‘menikam’ Dato’ Haji Zakaria (beliau adalah Ahli Parlimen Besut hampir 15 tahun), isu pendedahan berleluasa “taktik Kelantan” iaitu “beri umpan, ambil umpan; beri undi, belum tentu” (malangnya orang Besut makan umpan bersama mata kailnya sekali), isu petugas-petugas luar Semangat 46 yang tidak diidentifikasikan menyebabkan pihak bawahan gagal mengenalpasti apakah mereka orang Semangat 46 atau Umno/BN (zahirnya mereka adalah serupa) dan sebagainya.

Sebenarnya, jika diteliti keputusan-keputusan undi berdasarkan peti-peti undi, maka telahan atas sebab-musabab kekalahan calon Semangat 46 itu akan kelihatan lebih menghampiri kenyataan. Umpamanya, jika disusun keputusan peti-peti undi terlibat berdasarkan jumlah kemerosotan undi Angkatan, maka peti undi paling teruk kemerosotannya ialah Tembila, iaitu penurunan sebanyak 86 undi; diikuti peti undi Gong Bayur (80), Seberang Kastam Luar (47), Kampung Pinang (30), Pekan Seberang Kastam (29), Benting Lintang (12), Kampung Raja Tengah (11) dan Amir (1).

Trend yang hampir sama berlaku ke atas peningkatan undi sokongan terhadap calon BN. Di mana peti undi Gong Bayur mencatatkan peningkatan paling besar iaitu 140 undi, diikuti Tembila (137); Seberang Kastam Luar (73); dan Keluang serta Benting Lintang (masing-masing 40 undi).

Di Tembila, sebahagian kecil pengundi terlibat dengan industri tembakau. Maka apabila taktik paksaan BN mengenai para pengawet tembakau, undi mereka kepada calon BN menjadi amat signifikan. Dengan “kuota undi: Seorang pengawet, 20 orang pengundi” yang dipaksakan oleh BN melalui LTN, maka kawasan Tembila yang mempunyai tidak kurang tiga ban tembakau mengalami kemerosotan undi Angkatan yang ketara.

Di peti undi Gong Bayur, kehilangan 80 undi Angkatan boleh diletakkan sebab utamanya atas bekas ‘orang kuat’ Semangat 46 (bekas Penghulu) yang telah mengisytiharkan diri memasuki Umno semasa kempen pilihan raya kecil sedang rancak berjalan baru-baru ini. Beliau diakui mempunyai pengaruh yang agak signifikan di kampung berkenaan. Di samping itu, faktor pengawet tembakau (seperti di Tembila) juga turut berperanan di sini.

Bagi peti undi Seberang Kastam Luar, sebab musabab kemerosotan undi Angkatan mungkin agak pelbagai. Sebahagian pengundi yang terlibat dengan industri tembakau mungkin telah terikat dengan “kuota BN” sebagaimana di Tembila dan Gong Bayur tadi.

Manakala sebahagian lagi yang merupakan “Kerabat Long Ghafar” dan “Kerabat Tun Fatimah” telah berjaya dikaburkan mata mereka dengan berbagai-bagai perjumpaan “raja-raja”. Tambahan pula, seorang yang dikira berpengaruh di kalangan “raja-raja” itu (bekas orang kuat Semangat 46 dan juga abang kepada Ketua Semangat 46 Cawangan Air Tawar) telah mengisytiharkan dirinya kembali kepada Umno dan menjadi penyokong kuat Dato’ Dr Yusof Noor (Ketua Umno Bahagian Besut).

Faktor ‘kempen sabotaj’ oleh bekas calon Semangat 46 bagi Pilihan Raya Umum 1990 lalu juga memberi saham kemenangan BN yang agak ketara. Sebagai seorang tokoh masyarakat yang dikatakan mempunyai ramai “anak kaki”, Cikgu Mohd Noor Ismail terbukti telah berjaya ‘membawa lari’ sebilangan undi di hampir setiap peti undi.

Begitu juga dengan faktor ‘Penjara Kebajikan’ yang dilaksanakan oleh BN. Di mana kira-kira 400 orang penerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dikurung selama dua hari dua malam untuk ‘brainwashed’. Mereka, yang keseluruhannya adalah warga tua, hanya dihantar ‘pulang’ di pintu pusat-pusat membuang undi di hari berkenaan. Antara mereka, dalam nada keletihan, mengakui telah memangkah ‘dacing’ walau pun sebelum itu mereka telah bertaubat untuk memangkah lambang 46.

Taktik BN memaksa penerima-penerima bantuan Tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk berkhidmat bagi BN sepanjang kempen juga turut meninggalkan kesan. Paling kurang, ia mampu merenggangkan hubungan antara para penerima tersebut yang dari kalangan PAS dan Semangat 46 dengan rakan-rakan mereka dalam Angkatan.

Apa yang nyata, isu menafikan dua pertiga majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, bagi mempertahankan imuniti Raja-Raja telah ditolak oleh masyarakat Kampung Raja. Walau pun Kampung Raja adalah asalnya tempat bersemayam Raja Besut, masyarakatnya juga akrab dengan institusi raja, bahkan sebahagiannya adalah waris dan kerabat Raja-Raja (seperti di Kampung Air Tawar, Seberang Kastam, Benting Lintang, Kampung Raja dan Gong Bayur-Tembila), namun sebahagian besar mereka ini nampaknya telah meletakkan martabat mata benda mengatasi martabat keturunan diraja mereka.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, 25 Oktober 1993).