Sunday, July 22, 2001

Industri Pelancongan Terengganu meningkat

Oleh: Mohd. Nasir Awang
NEGARA dijangka akan menghadapi kemelesetan ekonomi lagi, buat kali yang entah ke berapa. Itulah cakap-cakap yang agak laris di kalangan para penganalisis ekonomi, pengamat politik dan aktivis sosial di negara ini.
Di antara sektor yang bakal menerima kesan yang paling teruk ialah sektor perindustrian. Puluhan ribu pekerja sektor perkilangan dijangkakan terpaksa dilay-off bagi menangani keadaan tersebut. Dan sebagai sumber kewangan alternatif menghadapi saat getir itu, negara dikatakan sedang memberikan tumpuan kepada sektor pelancongan. Alhamdulillah, secara kebetulannya Negeri Terengganu Darul Iman sememangnya terkenal sebagai satu destinasi pelancongan yang terbaik di negara ini.
Kita memiliki hampir segala-gala yang diperlukan untuk menggamit para pelancong. Kita ada pantai berpasir yang panjang, ada pulau-pulau yang jernih airnya beserta longgokan batu karang yang membina taman laut yang indah.
Kita juga ada lagun, bukit dan gunung, tasik, air terjun, lata, hutan lipur, gua-gua, sungai dan lain-lain.
Ada pula beberapa keistimewaan tersendiri yang hanya terdapat di Terengganu dan tidak terdapat di negeri-negeri lain. Antaranya ialah ulat sutera (yang hanya ada di Sarawak, selain Terengganu), penyu dan Masjid Terapung (yang kemudiannya ditiru konsepnya oleh Kerajaan Pusat untuk Masjid Putrajaya). Manakala tarikan-tarikan yang lain ialah beberapa tempat bersejarah seperti Taman Bukit Puteri, Muzium Negeri dan Memorial Batu Bersurat.
Tidak kurang juga pelancong yang tertarik dengan industri batik dan anyaman, industri tembaga, nasi dagang dan keropok lekor.
Industri pelancongan di Terengganu adalah satu sektor yang mencatatkan peningkatan yang ketara sejak peralihan kerajaan. Data ketibaan pelancong ke Malaysia mudah dicatatkan, kerana negara mempunyai pintu-pintu masuk yang ditempatkan pegawai imigresen. Jumlah pelancong yang keluar masuk dengan mudah dapat dicatatkan.
Bagaimana pun, pintu seumpama itu tidak terdapat di sempadan masuk ke negeri Terengganu. Maka, data kedatangan pelancong ke negeri ini diambil melalui pengiraan bilangan penginap-penginap hotel yang dikumpul melalui Kajian Purata Penginapan oleh Tourism Malaysia di samping oleh Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.
Bagi enam bulan pertama tahun lalu (Januari hingga Jun 2000), Negeri Terengganu mencatatkan seramai 205,362 orang penginap hotel atau chalet, iaitu meningkat sebanyak 12.57% berbanding 182,434 orang bagi tempoh yang sama di tahun sebelumnya (Januari hingga Jun 1999). Jumlah pelancong asing yang datang ke negeri ini bagi tempoh Januari hingga Jun 2000 ialah seramai 52,583 orang berbanding 31,296 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan yang dicatatkan ialah sebanyak 68 peratus.
Manakala untuk pelancong domestik pula ialah seramai 152,779 orang berbanding 151,138 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya. Peningkatannya agak kecil, iaitu hanya 1.09 peratus.
Namun, perlu diingat bahawa jumlah kedatangan pelancong yang dicatatkan itu hanyalah membabitkan mereka yang menginap di mana-mana hotel atau chalet sahaja. Sedangkan puluhan ribu (atau mungkin ratusan ribu) lagi yang sekadar singgah mengadakan lawatan dan tidak menginap, rombongan yang memanfaatkan mana-mana tempat awam seperti masjid, surau atau rumah persendirian sebagai tempat penginapan tidak diambil kira.
Maka, amat tidak benarlah ketakutan sesetengah kalangan kononnya kalau Islam memerintah, industri pelancongan akan merudum.
Pun begitu, fenomena menjadikan Terengganu hanya sebagai tempat persinggahan bukanlah sesuatu yang patut terus dibanggakan. Di antara sebab yang dikenalpasti ialah harga barangan dan makanan yang agak mahal di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Haji Mohd. Abdul Wahid Endut baru-baru ini menegur sikap sesetengah peniaga di negeri ini yang mengenakan harga yang agak mahal bagi makanan dan barangan jualan masing-masing.
Bagi beliau, sikap itu telah menyebabkan negeri ini dilabelkan sebagai ‘mahal’ dan ia sekaligus menyebabkan para pelancong memilih untuk tinggal lebih lama di negeri-negeri lain terutama untuk membeli-belah atau berbelanja.
Sepasang suami isteri dari Kuala Lumpur yang melancong ke negeri ini beberapa bulan lalu membuat perbandingan harga makanan yang dimakan mereka selama berada di sini.
Mereka melahirkan rasa kesal apabila mendapati kos sarapan pagi untuk mereka berdua di sebuah warung biasa di Pasar Kedai Payang adalah lebih tinggi daripada kos makan malam di restoran eksklusif di LapanganTerbang Sultan Mahmud. Rungutan seumpama itu bukanlah kali yang pertama kita dengar.
Dengan kesempatan kerjasama agak baik yang ditunjukkan oleh Kementerian Pelancongan terhadap aktiviti-aktiviti menarik pelancong ke negeri ini, kelemahan atau kekurangan dari semua pihak yang terbabit dengan industri pelancongan ini perlu diatasi. Mana lebih baik antara mengaut untung besar yang sekali-sekala dengan mengumpul untung kecil tetapi berterusan?
(Artikel ini disiarkan tabloid Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 28, 22 Julai 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment