Tuesday, July 10, 2001

Bab 3: Terengganu Digugat dan Digigit

“Ada juga pejabat-pejabat kerajaan negeri yang ‘membakul-sampahkan’ akhbar Warta. Sebaliknya, di pejabat yang sama Al-Haq diedarkan.”

D
i dalam buku Masa Untuk Tok Guru Buktikan: PAS Mampu Pimpin Malaysia, penulis ada menyelitkan petikan ucapan, atau pun lebih terkenal sebagai ‘Wasiat Zulkiflee Muhammad’, sebagai panduan sekaligus ingatan kepada wakil-wakil rakyat PAS. Wasiat tersebut telah disampaikan dengan penuh emosi bertemankan airmata oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Profesor Zulkiflee Muhammad pada pagi 6 Mei 1964 dulu, iaitu sepuluh hari selepas selesai pilihan raya umum tahun berkenaan.

Telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala bahawa manusia bernama Zulkiflee Muhammad itu bukanlah calang-calang orang. Ia bukan calang-calang ahli politik yang boleh digalang-ganti dengan mudah. Perbahasannya yang tajam dan penuh ilmiah di Parlimen sering memukau kawan dan lawan.

Beliau terkenal seorang yang berpandangan jauh, terutama di dalam sepak terajang politik negara. Di antara pandangan yang beliau muatkan di dalam wasiat beliau itu ialah mengenai kemungkinan sikap kerajaan Pusat terhadap kerajaan PAS Kelantan yang baru sahaja menerima mandat baru daripada rakyat pada masa itu. Katanya:

“Saudara-saudara yang mulia, perhubungan kita dengan kerajaan Pusat akan bercorak dua. Sama ada  Kerajaan Pusat akan baik dengan kita atau dia akan jahat dengan kita. Tunku Abdul Rahman (Almarhum adalah PM ketika itu) di dalam kenyataannya semalam (5 Mei 1964) menyatakan apabila ditanya sama ada akan membiarkan negeri Kelantan (yang diperintah PAS) ini, dia telah menyatakan ‘Tidak! Oh tidak! Kita akan beri mereka kemajuan-kemajuan supaya mereka dapat sama dengan negeri-negeri lain’.

“Tun Abdul Razak (Allahyarham ketika itu adalah TPM) berkata bahawa orang Kelantan itu tidak mahu kepada kemajuan (kerana menolak Perikatan). Dan dari itu fahamlah saya bahawa dia tidak ingin menghantarkan kemajuan. Marilah kita sedia untuk menghadapi kedua-duanya ini.

“Saya belum tahu apakah yang hendak kita buat. Sebab gendangnya belum benar-benar berbunyi. Janganlah kita melompat sebelum rentak gendang itu kita ketahui ke mana hendak dilagukannya. Tetapi perlu saudara-saudara kita fahami, sebab kita ini sudah tua di dalam politik, bahawa Kerajaan Pusat akan menekan kita walaupun dia mengatakan dia tidak akan menekan kita.”

Allah Ta’ala mentakdirkan sekali lagi, bahawa apa yang diagak dan dibimbangi oleh Professor Zulkiflee itu benar-benar berlaku selepas itu. Kerajaan Kelantan ditekan dan didiskriminasi, dinafikan hak atas berbagai-bagai peruntukan dan bantuan, digugat dan digigit dari luar dan dalam. Persis apa yang sedang dialami oleh kerajaan Terengganu pimpinan PAS kini.

Tidak syak lagi, keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh PAS di dalam usahanya memartabatkan Islam telah membuka hati dan fikiran rakyat Terengganu. Mereka telah sepakat menolak dan menamatkan penguasaan hampir 40 tahun Umno di negeri ini, dan menyerahkan mandat pemerintahan kepada PAS pula. (Penulis telah menghuraikan secara terperinci mengenai kesepakatan rakyat menolak BN ini lewat Masa Untuk Tok Guru Buktikan).

Rakyat yakin bahawa saf kepimpinan mantap yang diterajui oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan lain-lain mampu merealisasikan pembentukan sebuah masyarakat yang adil, bertaqwa, dinamik dan progresif. Gabung-jalin yang baik antara kepimpinan PAS dari kalangan ulama dengan tenaga profesional dari berbagai disiplin hidup memberikan kekuatan spontan kepada PAS untuk menerajui sebuah kerajaan.

Secara keseluruhannya, pemerintahan PAS di Terengganu bermula dengan suasana penuh keceriaan. Dasar-dasar adil, demokratik, tidak balas dendam, tiada diskriminasi atas dasar politik atau perkauman, dan uslub ‘memujuk bukan memecat’ telah menyerlahkan kebijaksanaan sebuah pemerintahan berlandaskan Islam. 

Dalam masa tidak sampai dua tahun pemerintahan di Terengganu, PAS boleh dikatakan telah berjaya membuktikan banyak perkara. Ia telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri secara adil dan demokratik terhadap semua pihak.

Setiap ADUN termasuk dari pembangkang menerima peruntukan tahunan yang sama banyak (RM100,00). Setiap rakyat yang ditimpa bala bencana dibantu secara saksama tanpa mengira fahaman politik atau pun ras keturunan.

Manakala rakyat dari golongan kurang bernasib baik pula mendapat pembelaan lebih istimewa apabila menerima kenaikan kadar bantuan bulanan mereka. Begitu juga dengan para imam dan bilal.

Kesungguhan PAS di dalam menegakkan syariat Islam juga turut terserlah dengan pengharaman secara total sebarang bentuk perjudian. Manakala penggunaan minuman beralkohol pula disusun semula mengikut keperluan masyarakat bukan Islam. Lesen-lesen premis hiburan dan pertunjukan yang berpotensi mendorong pengunjung terjerumus ke kancah maksiat di kawalselia dengan rapi.

Beberapa hukum dan peraturan berkaitan wanita juga diperkenalkan. Antaranya ialah peraturan menutup aurat bagi wanita Islam dan berpakaian sopan bagi yang bukan Islam, khususnya di sektor perkhidmatan awam dan premis perniagaan.

Termasuk di dalam peraturan aurat ini juga ialah larangan kepada wanita ‘menjual’ suara mereka sama ada dalam bentuk nyanyian mahu pun pertandingan al-Quran. Manakala kemudahan cuti bersalin selama 90 hari (bergaji penuh) adalah merupakan keistimewaan yang sangat berharga bagi kakitangan wanita kerajaan negeri Terengganu.

Manakala rakyat umum pula diberikan beberapa ‘bonus’ pemerintahan baru seperti penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud, penghapusan cukai pintu untuk rumah kediaman, penghapusan cukai bakul untuk petani saradiri, penurunan caj premium tanah kediaman dan peluang memohon semula tanah kediaman. 

Dengan keupayaan yang ditunjukkan oleh PAS menerajui negeri secara adil, dinamik dan progresif, walau pun dalam masa yang singkat sahaja, Umno/BN merasakan bahawa ia merupakan suatu pukulan yang amat tidak tertanggung. Sudah terbongkar kepada negara (dan dunia, malah!) bahawa terlalu banyak yang Umno tidak buat selama hampir 40 tahun ia memerintah Terengganu.

Tahap kemiskinan rakyat masih tinggi, pengagihan kekayaan negeri tidak dilakukan secara adil, pembelaan terhadap rakyat dalam soal cukai, pemilikan tanah dan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tidak terlaksana sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Umno merasakan bahawa sesuatu mesti dilakukan bagi menyekat kemaraan PAS. Kerana, jika PAS dibiarkan bebas melaksanakan pembaharuan dan perubahan dalam pemerintahan negeri Terengganu, rakyat akan semakin dapat melihat kelemahan dan kegagalan 38 tahun pemerintahan Umno/BN dahulu.

Akan semakin terserlah pembohongan Umno/BN dalam agendanya membela nasib rakyat dan memartabatkan bangsa Melayu. Akan semakin terserlah juga kesungguhan dan keupayaan PAS mentadbir, bukan sahaja sebuah-dua negeri, malah negara Malaysia ini. Slogan ‘PAS Mampu Pimpin Malaysia’ rupa-rupanya amat mengecutkan perut Umno/BN. 

Kekuatan dan kemaraan yang ditunjukkan oleh PAS ini dianggap sebagai suatu yang mampu menggugat survival politik Umno. Bukan sahaja di Terengganu, malah ia mampu merebak ke negeri-negeri lain di seluruh negara. Umno akan ‘mati baka’ sekiranya sesuatu tidak dilakukan bagi menyekat PAS, khususnya di Terengganu, membuktikan keupayaannya menguruskan negeri dengan baik.

Di sinilah bertitik-tolaknya gugatan dan gigitan terhadap kerajaan Terengganu pimpinan PAS. Media massa, dengan kerjasama Umno, semacam tidak pernah undur ke belakang dalam mengetengahkan isu-isu yang sengaja dipolitikkan.

Antaranya, mereka mengeksploitasi sepenuhnya unsur-unsur kelemahan yang wujud di dalam organisasi PAS secara khususnya, dan penguasaan para pemimpin politik di dalam organisasi kerajaan amnya. Unsur-unsur gugatan dan gigitan ini boleh diklasifikasikan kepada empat bidang, iaitu:

Pertama: Kerja sabotaj/menikam dari belakang oleh pegawai kerajaan.
Tidak dinafikan bahawa antara kelemahan yang agak jelas ialah penguasaan jabatan-jabatan kerajaan oleh para pegawai yang sangat setia terhadap Umno/BN atau masih mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin parti itu. Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah, Majlis-Majlis Daerah, Jabatan Agama, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan dan lain-lain adalah berhubungan secara langsung dengan masyarakat.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masih ada di antara jabatan-jabatan ini yang agak sukar didampingi bukan sahaja oleh rakyat biasa, malah oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Wakil-wakil Rakyat PAS setempat. Hakikat ini sudah tentu memberikan impak besar terhadap kelicinan dan keberkesanan pengurusan dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila semacam ada suatu usaha mengkesampingkan permohonan atau sesuatu cadangan daripada pihak PAS. Sebagai contoh, senarai Ahli Jawatankuasa Masjid dan juga pencalonan Imam/Bilal yang dikemukakan oleh JSR telah tidak diproses oleh pihak Pejabat Agama. Atau prosesnya dilengah-lengahkan, sehingga menimbulkan kekecohan di dalam qaryah terbabit.

Atau pun, diproses segera tetapi membabitkan perubahan ketara di dalam senarai yang dikemukakan itu, termasuklah dengan secara jelas ‘memasukkan’ nama-nama yang dipertikaikan oleh ahli jemaah qaryah terbabit sendiri. Akhirnya, nama lain yang diangkat oleh JSR dan lain pula nama yang disahkan oleh pejabat berkenaan. Penyelesaian yang dicari, tetapi kekecohan yang diperolehi.

Keadaan yang hampir sama terjadi kepada senarai nama penerima bantuan kebajikan. Di mana, setelah berlaku peralihan kerajaan, terbongkarlah hakikat bahawa terlalu ramai golongan yang memang benar-benar tidak bernasib baik, tetapi selama ini telah dinafikan hak menerima bantuan tersebut.

Maka pihak JSR atau pun ADUN telah berusaha keras membela golongan yang tertindas ini. Nama-nama mereka diangkat ke pejabat kebajikan bagi dipertimbangkan untuk menerima bantuan bulanan.

Namun, setelah hampir dua tahun peralihan kuasa berlaku, khabarnya sebahagian besar nama yang diangkat itu masih belum dapat mengecapi nikmat bantuan berkenaan. Di manakah nama-nama mereka tersekat?

Seorang rakan penulis, Haji Abdullah Ngah, yang bertanggungjawab terhadap pengedaran Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu pernah memberitahu bahawa ada juga pejabat-pejabat kerajaan negeri yang ‘membakul-sampahkan’ akhbar kerajaan negeri itu. Sebaliknya, di pejabat yang sama pernah dilihat orang ada mengedarkan suratkhabar Al-Haq yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Apakah perkara sebegini patut berlaku di sebuah pejabat milik kerajaan negeri?

Ada juga diceritakan bagaimana para pegawai penguatkuasa majlis daerah yang tak semena-mena begitu bersungguh-sungguh menguatkuasakan perintah larangan membiarkan ternakan berkeliaran di tempat awam. Apa yang agak mendukacitakan kesempatan ini digunakan untuk memberikan imej negatif terhadap waki-wakil rakyat PAS, terutama di kalangan para penternak di kampung-kampung.

“Tok Wakil demo lah suruh igak ni!”, kata para pegawai itu kepada si pemilik ternakan yang ditangkap. Dengan muka yang senyum kambing, dan nada suara yang menganjing, Allah sahaja yang tahu betapa pedasnya sindiran itu bagi orang-orang PAS di kampung-kampung. Kebetulan pula, kebanyakan ternakan yang ditangkap itu adalah milik orang-orang PAS.

Tidak kurang juga sebilangan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang agak daring dan menzahirkan penentangan secara terbuka terhadap pemerintahan baru. Mereka ini bukan sahaja menolak mentah-mentah pelawaan pihak JSR setempat untuk sama-sama memajukan kampung mereka, malah bertindak berani menyertai JKKK yang telah diisytiharkan haram oleh kerajaan negeri. Malah, banyak lagi perlakuan-perlakuan mereka yang secara jelas menampakkan ketidak-sehaluan mereka dengan kerajaan negeri.

Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini mengundang teguran yang sangat pedas dan tegas daripada Dato’ Senara Muda Setiausaha Kerajaan Negeri, selaku ketua pentadbir kerajaan. Beliau mencabar mana-mana kakitangan kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Terengganu sekarang agar bersara awal atau menarik diri daripada menjadi kakitangan awam.

Sehubungan itu juga, pihak kerajaan telah mengeluarkan tatacara perkhidmatan penghulu sebagai panduan agar mereka itu tidak menyimpang daripada amalan pentadbiran. Ini termasuklah soal kehadiran mereka dalam majlis dan program yang tidak melibatkan urusan kerajaan negeri dan jawatan mereka.

Selain tidak dibenarkan menghadiri program-program politik pembangkang (Umno), peraturan terbaru juga akan melibatkan soal kehadiran mereka pada majlis melibatkan para pemimpin kerajaan Pusat.  

Kedua: Arahan/ sekatan terhadap kakitangan dan institusi Persekutuan
Jikalau arahan kerajaan Pusat agar mana-mana kakitangannya tidak melibatkan diri dengan sebarang institusi kerajaan negeri dianggap oleh banyak pihak sebagai membalas arahan pentadbiran kerajaan negeri, tindak balas berkenaan sebenarnya terlalu jauh daripada keadilan. Kerana, kerajaan Pusat tidak berhenti setakat itu di dalam menyekat kakitangannya menzahirkan sokongan kepada kerajaan PAS di Terengganu.

Kita dimaklumi bahawa menjadi suatu prosedur pentadbiran bahawa seseorang pegawai yang mahu bertukar kerja daripada sebuah jabatan Persekutuan mesti mendapat pelepasan daripada jabatannya. Malangnya, sudah ada diceritakan bahawa para pegawai Persekutuan berkenaan yang berhasrat menukar kerjaya ke jabatan di bawah kerajaan negeri telah disukarkan, bahkan dinafikan terus, pelepasan berkenaan.

Cerita bagaimana sekolah-sekolah kementerian di seluruh negeri Terengganu menerima arahan agar tidak melangsungkan mesyuarat Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) juga amat melucukan. Ianya jelas ekoran ketakutan yang bersangatan daripada pihak Umno/BN Terengganu, yang sangat bimbang persatuan-persatuan berkenaan akan dikuasai dan dipegang oleh para pemimpin PAS setempat.

Malah, sekolah-sekolah turut diarahkan agar tidak melibatkan mana-mana wakil rakyat PAS atau pegawai kerajaan negeri (termasuk pegawai daerah atau kadi) di dalam sebarang aktiviti di sekolah. Sebarang sumbangan kewangan daripada wakil rakyat atau kerajaan negeri juga tidak dibenarkan mana-mana sekolah menerimanya.

Larangan tersebut rupa-rupanya tidak terhenti setakat sekolah-sekolah di negeri Terengganu sahaja. Ia turut melibatkan semua institusi milik kerajaan Persekutuan. Sebab itu, apabila Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) mengadakan program perkhidmatan masyarakat di daerah Dungun suatu ketika dahulu, syarat ketat telah dikenakan kepada mereka oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi.

Antaranya ialah pihak penganjur dilarang menerima sebarang bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan Terengganu. Manakala aturcara program itu pula tidak boleh melibatkan kehadiran mana-mana pemimpin kerajaan negeri. 

Ketiga: Penafian peruntukan/bantuan kewangan
Menurut sumber kerajaan negeri, beberapa peruntukan pembangunan (sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman) dari kerajaan Pusat telah tidak disalurkan mengikut jadualnya bagi tahun 2000 lalu. Antaranya ialah peruntukan perumahan kos rendah dan perparitan, yang langsung tidak diberikan.

Manakala peruntukan bagi projek keindahan bandar pula, kerajaan negeri telah menerima sebanyak (sedikit sebenarnya!) RM505,000, iaitu 26.5% daripada peruntukan asal yang telah diluluskan untuk tahun 2000 yang berjumlah RM1.907 juta. Kekurangan pembiayaan tersebut termasuklah penarikan balik Waran Peruntukan Penyelenggaraan Landskap 2000 yang berjumlah RM470,000.

Kita juga pernah dimaklumkan tentang belasan projek perumahan awam kos rendah yang sebilangannya telah pun bermula pembinaannya, tetapi dibatalkan oleh kerajaan Pusat. Antara projek-projek pembangunan yang menerima nasib serupa ialah Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (ditangguhkan), Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (dilengah-lengahkan), dan Penaikan Taraf Pelabuhan Kemaman (yang telah diubah-halakan ke Kuantan).

Manakala penafian peruntukan pembangunan RM500,000 setahun untuk setiap Ahli Parlimen pembangkang telah dimaklumi sebagai tradisi pemerintah negara ini.

Keempat: Pencabulan Hak/Kedaulatan Kerajaan Negeri
Negeri Terengganu adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan turut tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tiap-tiap kerajaan, sama ada Pusat atau pun kerajaan negeri adalah berdaulat dan berkuasa mentadbir penuh dalam perkara-perkara yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip ini termaktub dalam Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa pemerintahan bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah terhad kepada perkara-perkara yang ada di bawah bidang kuasa masing-masing. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperincikan bidang kuasa kedua-dua kerajaan tersebut dengan jelas.

Di antara bidang kuasa yang dipunyai oleh kerajaan negeri ialah dalam perkara tanah, perhutanan, agama Islam, kerajaan tempatan dan beberapa perkara lagi. Malangnya, setelah Terengganu jatuh ke tangan PAS, prinsip ini sewenang-wenangnya dicabuli oleh BN melalui penubuhan beberapa institusi berikut:
A.    Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP)
Pada bulan September 2000, Kementerian Kewangan telah memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) yang akan menentu dan melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur, sosial dan kebajikan dalam negeri Terengganu berbekalkan wang royalti petroleum yang dirompak daripada kerajaan negeri. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Projek-projek yang disebut termasuklah pembinaan jalan-jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air, perumahan kos rendah, pinjaman kepada nelayan, pinjaman biasiswa bantuan sekolah-sekolah, peruntukan wang sepenuhnya kepada Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Institut Pendidikan Tinggi Terengganu (TATI) dan 11 buah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri. Mekanisme pelaksanaan ini dikatakan kaedah baru dan peraturan ini dinamakan Program Pembiayaan Wang Ihsan.

Nampak jelas bahawa mekanisme itu membelakangkan kerajaan Negeri Terengganu, sekaligus mencabul kedaulatannya. Menubuhkan JPP dengan melantik pegawai Persekutuan untuk bertugas di peringkat negeri Terengganu, khususnya untuk membelanjakan wang tunai kepunyaan kerajaan Negeri Terengganu adalah merupakan pencabulan kedaulatan sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat. BN jelas sekali menganjurkan ‘kerajaan dalam kerajaan’ di Terengganu. 

B.     Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Kerajaan negeri yang baru telah bertindak memansuhkan institusi pentadbiran di peringkat kampung yang dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Sebagai gantinya, kerajaan baru telah memperkenalkan institusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). Penubuhan JKKK atau JSR adalah jelas merupakan bidang kuasa kerajaan negeri. Ia tertakluk di dalam perkara kerajaan tempatan.

Tindakan kerajaan Pusat menghidupkan semula institusi JKKK di kampung-kampung amat bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan suatu campurtangan yang jelas oleh kerajaan Pusat di dalam hal pentadbiran kerajaan negeri.

Lebih menyedihkan lagi, tindakan tersebut menyebabkan berlakunya perpecahan yang dahsyat di kampung-kampung. Itulah barangkali yang memang dicita-citakan oleh Umno, iaitu sebuah negeri yang rakyatnya berpecah-belah dan porak-poranda? 

C.    Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 22 Disember 1973 telah bersetuju supaya kawasan tanah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) diisytiharkan menurut Fasa 9 Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 104/1973. Dengan pengisytiharan tersebut, Ketengah diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443, 876 hektar meliputi pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Pewartaan tersebut bagaimana pun tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Ketengah terhadap tanah-tanah negeri Terengganu di wilayahnya untuk dimajukan dan tidak ada apa-apa perjanjian yang berkaitan dengannya dibuat di antara keduanya. Sebab itu, sebarang permohonan tanah di kawasan Ketengah sama ada oleh individu, syarikat atau badan-badan dan agensi kerajaan adalah tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.

Bagaimana pun, prinsip-prinsip asas ini nampaknya semakin tidak dipedulikan oleh Ketengah di dalam menyusun dan melaksanakan program di dalam kawasannya. Ketengah seolah-olah mahu menonjolkan dirinya sebagai sebuah ‘Wilayah Persekutuan’ di negeri Terengganu ini.

Hakikat ini tambah terserlah apabila kabinet mengarahkan Ketengah agar tidak membenarkan Tok Guru Menteri Besar Terengganu menemui rakyatnya di kawasan Ketengah. Tok Guru dikatakan telah merancang untuk berdialog dengan rakyatnya yang terdiri daripada pegawai, guru, para pekerja sektor awam dan penduduk di kawasan Ketengah bagi menerangkan dasar kerajaan negeri yang baru.

Ketengah bagaimana pun telah menghantar surat melarang Tok Guru berdialog dengan mereka, semata-mata atas alasan bahawa di kalangan rakyat itu terdapat para pegawai kerajaan Pusat. Apakah logik seorang MB tidak dibenarkan menemui rakyatnya yang tinggal di dalam negerinya sendiri?

Pihak Umno juga sering memanfaatkan agensi-agensi kerajaan Pusat seperti MARA, Kementerian Pendidikan, dan lain-lain bagi menganjurkan program atau majlis-majlis yang memberikan kesan negatif kepada pemerintahan kerajaan negeri.

Banyak sekali program yang pada awalnya berjaya dikawal kelulusannya oleh pihak berkuasa tempatan, akhirnya dilaksanakan juga apabila dialihkan ke premis-premis persendirian atau kawasan sekolah dan dikeluarkan permitnya oleh pihak keselamatan. Sebagai contoh ialah persembahan tinju Siam atau tomoi yang pada kebiasaannya melibatkan pertaruhan.

Apabila usaha pihak penganjur mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan menemui jalan buntu, mereka beralih ke padang-padang sekolah yang berada di luar bidang kuasa pihak berkuasa negeri. Begitu juga dengan persembahan artis yang sering diselindungkan di sebalik permit mengadakan persembahan dikir barat dan sebagainya.

Sehingga kini, usaha Umno/BN dengan bantuan agensi-agensi kerajaan Pusat menggugat dan menggigit kelicinan perjalanan kerajaan negeri adalah ibarat ‘sudah terang lagi bersuluh’. Tepat sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Professor Zulkiflee hampir 40 tahun lalu, bahawa BN (ketika itu Perikatan) tetap akan menekan kerajaan PAS, walaupun dia mungkin akan kata dia tidak menekan kita.

“Tetapi perlu saudara-saudara kita fahami, sebab kita ini sudah tua di dalam politik, bahawa Kerajaan Pusat akan menekan kita, walaupun dia mengatakan dia tidak akan menekan kita.”

(Artikel ini adalah Bab 3 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

No comments:

Post a Comment