Tuesday, July 10, 2001

Bab 1: Tok Guru ‘Cuci Kaki’ Atau ‘Cuci Sampah’?

Beberapa ‘kaki’ yang dalam usaha ‘dicuci’ oleh kepimpinan Tok Guru kini termasuklah ‘kaki bodek’, ‘kaki rasuah’, ‘kaki judi’ dan ‘kaki botol’.

Sewaktu berucap di majlis Ceramah Perdana Penjelasan Isu Royalti Petroleum pada 15 September tahun lalu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Terengganu, YB Haji Mustafa Ali ada membangkitkan perihal seorang bekas Exco Kerajaan Terengganu yang seolah-olah mendoakan penderitaan kepada rakyat Terengganu.

Kata Haji Mustafa, bekas YB Umno itu, sepertimana sebahagian besar para pemimpin Umno lain, melahirkan rasa syukurnya apabila kerajaan Pusat bertindak menarik balik pemberian royalti minyak terhadap negeri Terengganu. "Mujur baru”, bekas Exco itu dikatakan melepaskan geramnya.

Lalu mencelah seorang hamba Allah yang ada bersama pemimpin bergelar Dato’ itu, “masakan Dato’ rasa mujur? Bagaimana dengan derita yang akan ditanggung oleh rakyat?”. Jawab Dato’ berkenaan, “biarkan mereka susah! Nak sokong PAS sangat!”.

Begitulah mafhum cerita yang dimaklumkan oleh Haji Mustafa di hadapan kira-kira 30,000 hadirin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam itu.

Apa yang diucapkan oleh seorang bekas pemimpin kanan kerajaan itu jelas menjadi bukti betapa politik balas dendam begitu mendapat tempat di dalam Umno. Baginya, dan barangkali keseluruhan pemimpin Umno lainnya, dia lebih rela melihat rakyat Terengganu menderita dan terus miskin, sebagai balasan menolak Umno.

Cuma dia tidak gunakan istilah “padan muka”. Tetapi mafhumnya memang begitu. Mungkin dia bermaksud mengajar rakyat Terengganu, “rasakanlah! Inilah ganjarannya kerana kamu menyokong PAS!”

Itulah gambaran busuknya hati para pemimpin Umno! Barangkali mereka ingat minyak itu wujud di perut bumi Terengganu hanya kerana Umno yang memerintah. Agaknya, minyak yang ditemui dan berjaya disedut keluar, ditapis, dijual dan dimanfaatkan hasilnya, semuanya ‘berkat’ kerana Umno yang menguasai Terengganu ketika itu. Justeru, sesiapa jua selain dari Umno yang mengambilalih pemerintahan tidak ada hak ke atas hasil perut bumi itu.

Sebab itu, apa yang diungkitkan sejak PAS mengambilalih pemerintahan negeri Terengganu bukan setakat royalti minyak. Habis segala prasarana pembangunan termasuk jalanraya, kompleks pejabat kerajaan, Planetarium, Wisma Darul Iman, Jambatan Sultan Mahmud, Mahkamah Syariah, Wisma MPKT, perpustakaan negeri, Taman Shahbandar, Plaza Padang Negara dan lain-lain diungkit-ungkitkan.

Sehinggakan kerusi, pasu dan pokok bunga yang berukir indah di Dataran Rekreasi Pantai Batu Buruk itu pun diwar-warkan sebagai hasil perancangan dan bikinan kerajaan terdahulu. ‘Menyohor habis teh!’, kata orang Terengganu.

Para wartawan media kroni Umno juga tidak melepaskan peluang mengambil bahagian mereka. Berbagai-bagai cerita dan ulasan diterbitkan melalui akhbar-akhbar mereka bertujuan memperlekehkan keupayaan PAS.

“Haji Hadi hanya cuci kaki”, tulis seorang wartawan sebuah akhbar harian. Komentar panjang-lebarnya, seperti yang dijangkakan, sangat sinikal. Halatujunya tidak lain, hanya menjurus kepada mafhum bahawa kerajaan PAS hanya pandai mengambilalih segala-gala yang sudah siap dibina dengan begitu cantik dan baik oleh kerajaan BN dahulu. Antaranya disebutkan lagi:
“Cukup menguntungkan bagi PAS apabila mengambil alih pemerintahan kerana kerajaan baru itu tidak lagi perlu memikirkan soal pembangunan, segalanya telah tersedia dan sedang dalam pelaksanaan. Abdul Hadi Awang ibarat sekadar perlu mencuci kaki untuk menduduki kerusi Menteri Besar dalam rumah yang sudah lengkap, tanpa perlu mengisi ruangnya, selain menukar warna. Dengan segalanya yang sudah tersedia dan sedang dalam pelaksanaan, PAS pasti akhirnya akan turut menjadikan segala peninggalan BN sebagai simbol kepada keupayaan pemerintahannya kelak.”  

Ulasan wartawan media kroni Umno itu jelas sekali sealiran dengan pandangan umum para pemimpin Umno Terengganu. Mungkin bagi para pemimpin dan tukang ampu Umno, hanya mereka yang tahu memerintah dan tahu membangunkan negeri. Cuma dia tidak tulis, “kalau nak diharapkan kerajaan PAS, nak bina jamban pun tak pandai!”

Hello, kawan! Tolong la sikit! Jangan nak disamakan para pemimpin PAS dan ahli PAS dengan Umno! Orang PAS bukannya hipokrit. Mereka tidaklah sesombong dan seangkuh para pemimpin Umno. Mereka adalah manusia yang terkenal jujur dan ikhlas.

Sedikit pun tidak ada masalah bagi orang PAS untuk memperakui jasa dan kebaikan yang telah ditinggalkan kerjaan BN dahulu. Memang, kerajaan BN memang hebat dalam merancang pembangunan. BN boleh ditabik atas tinggalannya itu, terutama membabitkan pembangunan infrastruktur. Yang baik, tetap kita akui kebaikannya.

Tetapi, menilai kebaikan seseorang berdasarkan ukuran lahiriah sahaja adalah tidak memadai. Kerana, politik Umno memang licik, kawan! Semua orang tahu hakikat itu. ‘Tahu makan, tahu simpan’ adalah antara slogan tradisi bagi parti itu, terutama dalam hal berkaitan pengurusan kewangan, pengagihan projek dan seumpamanya.

Selama hampir 40 tahun BN memerintah Terengganu, berbagai kepincangan dan kelemahan pengurusan telah berlaku dalam kerajaan dan juga syarikat-syarikat anaknya. PAS sebagai satu-satunya suara pembangkang sepanjang tempoh itu tidak pernah jemu mengutarakan permasalahan salah pengurusan ini.

Bukan setakat di pentas-pentas ceramah atau majlis politiknya, wakil-wakil rakyat PAS turut mengemukakannya secara rasional dan bertanggungjawab melalui perbahasan sidang DUN, setiap kali ada kesempatan berbuat demikian. Isu-isu saham Larut Tin Fields, syarikat bas SPPMB, Perwaja, Pesama Timber dan lain-lain anak syarikat negeri yang diragui berlaku ‘penyelewengan’ telah lama dibangkitkan oleh PAS.

Boleh dikatakan sebahagian besar anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu menghadapi masalah pengurusan kewangan yang tenat. Kalau pun tidak mengalami kerugian, anak-anak syarikat ini gagal memberikan pulangan hasil yang memuaskan, malah menjadi bebanan kepada kerajaan negeri.

Sebab itu, sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan negeri, di antara perkara yang dirasakan sangat perlu diambil perhatian ialah soal ‘mencuci sampah’ dalam pengurusan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan syarikat-syarikat anaknya.

Lagi pun, umum telah mengetahui hasrat PAS itu lama sebelum pilihan raya umum lalu. PAS telah mengisytiharkan hasrat itu dengan jelas dalam manifesto pilihan rayanya. Fasal 17.1 menyebut: ‘Menyusun semula dasar dan pengurusan PMINT dan syarikat-syarikat anak dan usahasama”.

Sudah tentu, tatkala mula-mula mahu masuk ke rumah, adat kita orang Melayu ialah ‘mencuci kaki’. Tetapi, seorang tuan rumah yang baik tentu tidak sekadar membasuh kakinya sahaja. Ia tentu sekali tidak bersedia melihat dalam rumahnya bersepah atau dipenuhi sampah dan kotoran. Di dalam proses ‘mencuci dalam rumah’ inilah, pihak kerajaan baru telah menemui beberapa ‘sampah’ yang selama ini mengotor dan membusukkan suasana di dalam ‘rumah’. Di antara contoh menonjol ialah pembabitan pelaburan negeri di dalam beberapa syarikat berikut:

A.    Gunawan Iron & Steel Sdn. Bhd.
Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya Permodalan Terengganu Berhad (PTB) telah melabur dalam Syarikat Gunawan Iron & Steel sebanyak RM3.6 juta. Kerugian hasil pelaburan tersebut ialah sebanyak RM100 juta.

Selain daripada itu, kerajaan negeri juga melalui Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu telah memberi jaminan kepada bank untuk syarikat tersebut sejumlah RM350 juta. Jumlah kerugian terkumpul akibat penutupan operasi Gunawan adalah lebih kurang RM453.6 juta.

Di antara faktor yang membawa kepada kerugian tersebut dikatakan ekoran perbelanjaan pengurusan yang terlalu ‘luar biasa’. Exco Kanan, YB Haji Mustafa Ali mendedahkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Disember lalu, bagaimana gaji Pengarah Urusan syarikat berkenaan berjumlah RM30,000.00 sebulan.

Manakala sitting allowance (elaun kehadiran mesyuarat) bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah syarikat ialah RM3,000.00 bagi setiap kali mesyuarat. Dan, mesyuarat Lembaga Pengarah itu pula seolah-olah mesti diadakan sekurang-kurangnya sekali bagi setiap bulan. Kata orang Terengganu, ‘tak amboh wi bankrap guane?’

B.     Pembelian Pesawat Mediair
Mediair ialah anak syarikat kepada TDM Berhad. Penubuhannya secara khusus untuk menjalankan operasi pesawat ambulans, kononnya untuk menyediakan perkhidmatan mengangkut orang-orang sakit dari kawasan pedalaman ke hospital-hospital di bandar secara cepat melalui udara.

Pembiayaan pembelian pesawat itu pula dilakukan oleh Tabung Pendidikan Negeri (yang menerima wang tunai 10 peratus royalti petroleum daripada Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu), di atas hasrat menyewakannya kepada Mediair.

Tabung Pendidikan telah membeli pesawat terpakai (second hand) jenis Piper Chyne dengan harga RM6.9 juta. Sedangkan, harga sebuah pesawat baru jenis tersebut hanyalah USD1.2 juta atau lebih kurang RM4 juta sahaja. Manakala sebuah pesawat second hand  jenis tersebut bernilai hanya USD200,000 atau sekitar RM800,000 sahaja.

Ertinya telah berlaku penyelewengan dalam pembelian tersebut lebih RM6 juta. Di manakah kewajaran pembelian tersebut? Apabila operasi Mediair mengalami kerugian, sewa yang dijanjikan kepada Tabung Pendidikan juga gagal disempurnakan.

C.    Perwaja Terengganu Sdn. Bhd.
Negeri Terengganu adalah pemegang 19 peratus saham dalam Syarikat Perwaja Terengganu Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang beroperasi melebur dan mengeluarkan besiwaja di Kemaman. Pelaburan awal kerajaan negeri dalam Perwaja ialah sebanyak RM47.5 juta. Syarikat ini telah mula mengalami kerugian pada tahun 1989 sebanyak RM1.6 bilion.

Kerugian terkumpul Perwaja sehingga akhir tahun 1998 ialah berjumlah RM3.5 bilion. Sebagai pemegang saham, kerajaan negeri terpaksa turut menanggung kerugian berjumlah RM671,545,880.00 (hampir menyamai jumlah hutang yang ditinggalkan).

D.    Syarikat Babena Sdn. Bhd.
Syarikat Babena Sdn. Bhd. ialah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadakan operasi binaan dan peralatan kejuruteraan. Sejak 10 tahun sehingga 1999 lalu, ia dipengerusikan oleh seorang wakil rakyat BN dari Kemaman.

Di antara ‘keraguan’ yang berjaya dikesan berlaku dalam pengurusan syarikat berkenaan ialah kes sebuah cek bernilai RM300,000.00. Cek tersebut telah dikeluarkan oleh Babena kepada sebuah syarikat lain sebagai bayaran perkhidmatan kepadanya.

Apa yang meragukan ialah penerimaan cek tersebut bagi pihak syarikat kedua itu telah dilakukan oleh Pengerusi Babena sendiri. Apakah seorang wakil rakyat tidak tahu peraturan pengurusan kewangan syarikat yang tidak membenarkan perkara itu berlaku?

Sebagai Pengerusi Babena, beliau bertanggungjawab mengeluarkan cek. Mana boleh beliau sendiri juga yang menerima cek berkenaan? Ataukah Pengerusi Babena mempunyai kepentingan dalam syarikat kedua itu? Hingga kini, teka-teki ini masih belum terjawab sepenuhnya.

Babena juga telah menerima kontrak memasang saluran paip dasar laut ke Pulau Redang sejauh 28 km. Kerja-kerja pemasangan tersebut telah dimulakan sejak 1995. Projek tersebut meliputi kerja-kerja menyalur air dari Sungai Setiu ke Bukit Kemudu untuk rawatan, kemudian ke Bukit Batu Bertindan sebelum dihantar ke Bukit Redang di atas pulau. Sejumlah 1.8 juta liter air bersih disalur setiap hari.

Harga kontrak asal keseluruhan projek tersebut ialah sebanyak RM24.26 juta, tetapi berakhir dengan perbelanjaan berjumlah RM46 juta iaitu pertambahan lebih RM20 juta. Sejumlah RM11 juta dari pertambahan tersebut diperolehi melalui 10 variation orders (V.O.). Manakala RM9 juta lagi ialah bayaran ex-gratia (saguhati) kepada Babena dengan tidak ada apa-apa sebab langsung. Apakah itu bukti kecekapan pengurusan kerajaan Umno?

E.     Sterling Hectars
Sterling Hectars, salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah membuat pembelian tanah yang agak misteri. Sebidang tanah terpencil seluas 498 ekar di daerah Semenyih, Selangor telah dibeli dengan harga RM46 juta (atau RM92,369  seekar?). Lokasi tanah tersebut di kawasan perkuburan Cina dan tidak mempunyai laluan masuk melalui darat (hanya dapat sampai melalui helikopter) menyebabkan tujuan pembeliannya amat dipertikaikan.

Bahkan, ia sekarang masih menjadi beban kepada kerajaan negeri kerana pembeliannya dikatakan menggunakan wang pinjaman bank yang mesti dijelaskan. Manakala usaha menjual tanah tersebut amatlah sukar, kerana setakat ini tidak ada pihak yang berminat membelinya. 

F.     Pembelian A&W (Singapore) Limited
TDM Berhad, sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu telah membeli A&W Singapore Pte. Ltd. daripada Scotts Investment (Singapore) Limited pada tahun 1997. Kerugian terkumpul A&W Singapura pada masa itu telah menjangkau S$49.1 juta, dengan jumlah tanggungan S$39.1 juta dan sedang menghadapi beberapa kes saman mahkamah kerana gagal menyelesaikan tanggungannya.

Dalam ertikata yang lain A&W Singapura pada masa itu sudah pun muflis. Tetapi TDM tetap berkeputusan membelinya juga. Akibat pembelian tersebut, TDM terpaksa mengharungi tidak kurang daripada 43 kes saman mahkamah.

Sebanyak RM14.2 juta pula dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut. Manakala pinjaman bank yang dibuat untuk A&W Singapura pula berjumlah S$10.5 juta atau RM24.2 juta.

Apakah rasionalnya TDM berkeputusan membeli syarikat yang begitu tenat keadaan kewangannya? A&W akhirnya terpaksa dijual semula baru-baru ini setelah operasinya mengalami kerugian lebih RM13 juta selama dua tahun berturut-turut.

Kerajaan negeri juga dikatakan turut kehilangan pelaburan dalam syarikat penerbangan Pelangi Airways hampir RM500 juta. Manakala Syarikat TDM Berhad pula dikatakan terpaksa menanggung hutang berjumlah kira-kira RM2 juta setiap bulan, ekoran kepincangan pengurusan syarikat-syarikat kecil di bawahnya.

Sementara itu, Perbadanan Menteri Besar Terengganu (PMBT) juga tidak terlepas daripada unsur-unsur ketidak-telusan, apabila pihak pengurusannya tidak pernah mengemukakan apa-apa penyata atau akaun pelaburan kepada Pihak Berkuasa Negeri.

PMBT yang ditubuhkan melalui Enakmen Negeri Bil.1 Tahun 1951 serta pindaannya No. 2 Tahun 1986, telah menerima dana sejumlah RM10 juta daripada Kumpulan Wang Negeri Yang Disatukan (peruntukan Pejabat Kewangan Negeri) dan disalurkan pada tahun 1989. 

PMBT menjalankan aktiviti-aktiviti terutama dalam harta modal alih dan tak alih. Di antara pelaburan yang dibuat oleh PMBT ialah di dalam syarikat-syarikat Palm Oil Products (M) Sdn. Bhd. (RM10.55 juta – syarikat ditutup); Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. (RM126.5 juta – mengalami kerugian); Pembesar Nacap Sdn Bhd (RM0.51 juta – operasi dihentikan); Larut Tin Fields Berhad (RM11 juta – telah dijual, tetapi rekod pembelian dan jualan tidak dapat dikesan); dan Kemaman Furniture & Industries Sdn Bhd (RM2.88 juta – operasi dihentikan).

Pada masa lalu sebahagian besar aktiviti itu dibiayai daripada Kumpulan Wang Negeri Yang Disatukan (peruntukan Pejabat Kewangan Negeri). Semenjak Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) ditubuhkan, sebahagian aktiviti-aktiviti tersebut telah dipindah dan dijalankan oleh LTAWNT.

Maka PMBT tidak lagi aktif dalam bidang-bidang pelaburan. Pada masa ini Pejabat Kewangan Negeri hanya menguruskan harta-harta modal tidak alih sahaja seperti bangunan yang disewakan. Manakala pemilikan harta modal tak alih seperti pembelian saham diuruskan oleh Pejabat Menteri Besar.

Pada masa ini PMBT mempunyai akaun sendiri yang diuruskan oleh bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas YAB Menteri Besar Terengganu dulu. Malangnya, pihak yang menguruskan pelaburan ini diberitakan tidak pernah mengemukakan apa-apa penyata/akaun pelaburan kepada Pihak Berkuasa Negeri.

Kegagalan menyedia dan menyerahkan penyata tersebut telah mendapat teguran pihak Audit Negara sehingga sekarang, dan isu ini masih belum dapat diselesaikan. Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar juga dikatakan masih tidak menyerahkan secara bertulis kedudukan wang simpanan PMBT dan apa-apa dokumen atau urusan PMBT kepada kerajaan yang baru ini. Hal ini membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh mereka?

Itulah gambaran kekotoran sebuah rumah yang diwarisi oleh Tok Guru. Setelah kakinya sendiri dicuci, dan sampah-sarap yang berlonggokan di dalam rumahnya itu juga dicuci dan dibuang, ia masih tidak semudah itu untuk mengembalikan ‘keharuman dan kesegaran’ di dalam rumah.

Kerana, seberapa ramai ahli keluarga yang mendiami rumah yang dipenuhi sampah itu, atau yang sering ‘keluar-masuk’ ke rumah itu, sudah tentu ada antaranya yang terpijak sampah dan kotoran. Kaki-kaki mereka juga perlu dicuci.

Dalam hal ini, kalau ‘kaki’ yang dimaksudkan oleh wartawan media kroni tadi meliputi segala jenis kaki, maka dakwaannya bahawa Tok Guru ‘cuci kaki’ sedikit-sebanyak ada kebetulannya. Beberapa ‘kaki’ yang dalam usaha ‘dicuci’ oleh kepimpinan Tok Guru kini termasuklah ‘kaki bodek’, ‘kaki rasuah’, ‘kaki judi’ dan ‘kaki botol’.

Pada 8 Ogos 2000 lalu, Suruhanjaya Hisbah (ombudsman) secara rasminya ditubuhkan oleh kerajaan negeri. Ia merupakan satu-satunya badan seumpama itu yang pernah diwujudkan di mana-mana negeri dalam negara ini.

Di bawah dasar pertama pelaksanaan Hisbah ini, kerajaan telah memutuskan bahawa setiap kontrak yang kerajaan negeri atau kepentingan kerajaan negeri terlibat, maka pihak yang terlibat dengan bidding (penawaran) kontrak tersebut dimestikan terlebih dahulu membuat integrity pact (perjanjian integriti). Mereka yang memasuki kontrak mesti berjanji tidak akan terlibat dengan sebarang bentuk rasuah dalam semua peringkat kontraknya.

Dasar sebegini sudah tentu amat menyukarkan ‘kaki bodek’ atau ‘kaki rasuah’ yang barangkali telah terbiasa dengan tabiat menghulurkan suapan bagi melicinkan proses bidding. Kerana, jika mereka didapati mendapat kontrak tersebut secara yang tidak adil atau ada unsur-unsur rasuah, maka kontrak mereka akan menjadi batal dan tidak berkuatkuasa, walaupun keterangan untuk maklumat rasuah itu diperolehi selepas kontrak tersebut tamat.

‘Kaki botol’ juga salah satu ‘kaki’ yang sedang dicuci oleh Tok Guru di Terengganu. Di suatu peringkat di awal pemerintahan dahulu, seluruh negeri Terengganu mempunyai 39 buah premis menjual arak. Sedangkan, komposisi rakyat Terengganu yang bukan beragama Islam hanyalah sekitar dua-tiga peratus sahaja.

Sudah tentu nisbah jumlah kedai arak itu tidak sepadan dengan jumlah manusia yang boleh menggunakannya. Kecualilah ada manusia-manusia yang tidak sepatutnya meminumnya yang ‘tumpang sekaki’.

Kerajaan negeri telah bertindak tegas menyusun semula penggunaan arak, dan mengkhususkannya di kawasan berpenduduk bukan Islam sahaja. Jumlah keseluruhan premis arak dikurangkan kepada lapan sahaja.

Bagi ‘kaki-kaki judi’ pula, kemenangan PAS di Terengganu telah membiasakan mereka dengan dua destinasi baru sebagai syurga perjudian mereka. Kuantan di Pahang dan Gerik di Perak tiba-tiba sahaja menjadi tumpuan ‘kaki-kaki judi’ ini, setelah kerajaan baru Terengganu bertindak nekad membatalkan semua lesen premis perjudian di negeri itu.

Kalau sebelum ini, Terengganu menjadi tempat melepas gian bagi kaki-kaki judi dari Kelantan, kini kedua-dua negeri itu telah dapat dicuci daripada kaki-kaki judi itu. Memang usaha itu masih belum berjaya sepenuhnya. Tidak dinafikan, mereka itu masih berkeliaran dan berleluasa, tetapi secara ‘haram’.

Sekurang-kurangnya kerajaan negeri telah memastikan yang haram itu tetap haram, apabila tidak ada lagi istilah ‘judi halal’, iaitu judi yang dilakukan secara terbuka di kedai yang diberi lesen oleh pihak berkuasa.

Kita tahu bahawa bukan kaki-kaki sebegitu yang dimaksudkan oleh pihak media kroni. Tetapi, apa yang jelas telah berlaku melalui tindakan-tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Terengganu pimpinan Tok Guru ialah bukan sekadar ‘mencuci kakinya’ sahaja. Tok Guru juga telah ‘mencuci kaki-kaki’ yang kotor dan ‘mencuci sampah-sampah’ yang berselerakan di dalam sebuah rumah yang bergelar Darul Iman.

(Artikel ini adalah Bab 1 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

No comments:

Post a Comment