Wednesday, October 31, 2001

Dato’ Kurnia Ungkit

Sebuah Cerpen oleh: Nuwa Aitawa

IMAM Haji Ngah betul-betul rasa tersinggung. Tersinggung bercampur kecewa. Malah, rasa malu pun ada. Belum pernah, dalam sejarah perkhidmatannya sebagai seorang imam selama lebih 20 tahun, dia berasa begitu kecil hati dengan seseorang seperti sekarang ini. Belum pernah, dia begitu kekok dan teragak-agak nak melaksanakan sebarang permintaan ahli qaryah atau arahan pihak atasan sebelum ini. Tapi, kali ini dia kekok betul. Kekok bercampur malu. Malah, geram dan sakit hati pun ada!

Segala-galanya berpunca dari sepucuk surat. Surat yang baginya tidak layak ditujukan kepada seorang imam masjid daerah macam dirinya. Lebih tidak patut lagi, surat itu datang dari seorang bekas wakil rakyat yang selama ini agak rapat dengannya. Seorang yang terkenal dermawan, yang menjadi jaguh apabila bercakap soal agama. Seseorang berkelulusan tinggi dalam Pengajian Islam pulak tu.

“Sila alihkan kerusi ini ke dalam (berhampiran tangga mimbar) supaya tidak dapat digunakan oleh orang yang tidak berkenaan”, begitulah bunyi bait terakhir surat dari pembantu peribadi Dato Kurnia Ungkit Haji Baitulmal Saham Bin Haji Ehsan.

Surat yang semacam menjadi puaka bagi karier Haji Ngah sebagai imam. Puaka bukan kerana ia menggugat periuk nasi Imam Ngah. Bukan juga kerana surat itu mensabitkan ketidakpuasan hati pihak atasan terhadap mutu perkhidmatan beliau sebagai imam.

Surat itu semacam puaka kerana bait-bait di dalamnya penuh dengan pameran perwatakan sebenar Dato’ Baitulmal. Perwatakan yang suka menyohor segala kebaikannya, yang suka mengungkit segala jasanya. Bahkan semacam ada unsur balas dendam terhadap rakyat yang tidak memilihnya semula dalam pilihan raya lalu.

Sedangkan Dato’ Baitulmal tidak begitu orangnya. Haji Ngah bukan setahun dua ini kenal Dato’ Baitulmal. Dato’ soft-spoken orangnya, mudah dibuat kira-bicara dan sangat suka menolong orang. Pantang diundang, Dato’ akan hadir.

Hatta, bila kumpulan rock meminta beliau hadir membaca doa selamat di majlis pelancaran konsert mereka pun, Dato’ Baitulmal rela mengenepikan soal halal-haram yang dipelajarinya bertahun-tahun di Timur Tengah dulu. Dato’ mampu berlabuh di kerusi dhif, sambil melemparkan senyuman memerhatikan anak-anak muda terlalak-lalak dan terloncat-loncat di hadapannya diiringi muzik rock yang membingitkan.

Haji Ngah ingat betul insiden itu, sebagai bukti ‘kemurahan hati’ dan ‘mudah berkira’ Dato’ Baitulmal! ‘Liberal and open minded’, kata budak-budak sekarang!

Sebab itu Haji Ngah terkejut besar dan hampir tidak percaya apabila membaca isi surat berkenaan. Berkali-kali diulang bacanya surat berkenaan. Dia bimbang, takut-takut tersilap faham, atau tertinggal mana-mana baris ayat surat itu. Akhirnya, sebaris demi sebaris ayat dalam surat itu terlekat di ingatannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa kerusi khas bagi kuliah agama di Masjid Daerah Antah Berantah ini adalah sumbangan peribadi Dato’ Kurnia Ungkit Haji Baitulmal Saham Haji Ehsan untuk diduduki oleh orang-orang tertentu sahaja bagi mengadakan kuliah agama.

“Oleh yang demikian, suka saya maklumkan iaitu pihak penyumbang kerusi ini tidak suka dan tidak menghalalkan mana-mana pihak yang tidak berkenaan menduduki kerusi ini”.

Haji Ngah benar-benar hafal sepatah demi sepatah ayat-ayatnya. Bahkan, terbayang jelas dalam benaknya ayat ”tidak suka dan tidak menghalalkan mana-mana pihak yang tidak berkenaan menduduki kerusi ini”, sengaja dihitamkan oleh penulisnya.

“Allah Ya Karim! Apa, dia ingat ana ni rabun ke? Tak hitamkan pun ana boleh faham apa dia nak!”, bentak Haji Ngah sambil menghirup kopi panas di warung Haji Useng selang beberapa  hari selepas menerima surat itu. Ustaz Sulong, Cikgu Deramang dan Haji Sahak yang sedang minum bersamanya turut ketawa kelucuan.

“Kalau macam tu, kita panggil dia Dato’ Kerusi lah pula! Macamana?”, sambung Cikgu Deramang pula, disambut deraian tawa besar sekalin yang hadir.

Ustaz Sulong menepuk-nepuk meja tanda setuju, sambil ketawa terbahak-bahak. Haji Sahak yang gedempol itu pula jelas bergegar-gegar badannya dicuit hatinya yang geli.

Suasana di warung Haji Useng petang itu bagaikan tersumbat dengan cerita kerusi Dato’ Baitulmal sahaja. Isu-isu lain bagaikan tak laku petang itu.

Ustaz Yayor yang berada di meja bersebelahan mereka dan mengikuti penerangan Haji Ngah sejak tadi, menggeleng-gelengkan kepala, turut berkongsi kelucuan pada petang itu.   

Pak Su Kadir yang terkenal gedebe orangnya, terus menepuk meja melepaskan geram. Seperti Haji Ngah, Pak Su Kadir juga rasa malu dengan tindakan seorang pemimpin bertaraf ulama’ itu. Sambil angkat punggungnya, mulutnya merungut-rungut”, “inilah barangkali yang orang sebut jenis ulama’ belakang parang ni!”

Sekalian yang hadir, yang sudah lumrah dengan tabiat gedebe Pak Su Kadir itu hanya tersengeh melihat dia berlalu. Cuma Ustaz Sulong yang sempat mengusik, “sabar Pak Su, sabar! Jangan pulak esok ada cerita orang tua bakar kerusi di masjid kampung kita ni!”. Satu usikan yang penuh cabaran sinis bercampur kelucuan.

Berderai lagi hilai tawa sekalian yang hadir. Ustaz Sulong tambah kerap menepuk-nepuk meja melepaskan kelucuan hatinya. Haji Useng yang sedang membancuh teh turut ternganga-nganga, sehingga ternampak giginya yang rongak di sana sini.

Haji Sahak pula makin kuat gegaran badannya, hingga bergenangan air di kelopak matanya lantaran terlalu geli hati.

“Dah tu, Ayah Haji cadang nak buat macamana dengan kerusi itu?”, sambung Haji Useng pula, setelah hilai tawa itu agak reda. Secawan teh yang ditatangnya dihulurkan kepada Penghulu Derosid yang baru seketika berlabuh di situ.

“Huh! Kami di masjid dah sepakat. Bukan setakat kerusi, semua peralatan yang didermakan oleh Dato’ Baitulmal...”

“Bukan Dato’ Baitulmal! Dato’ Kerusi...!”, celah Penghulu Derosid pantas, sebelum sempat Haji Ngah menghabiskan ayatnya. Sekali lagi warung itu gegak gempita dengan derai tawa setiap yang hadir.

“Semua benda yang diberi oleh Dato’ Kerusi kita dah kumpulkan setempat. Kita akan serah balik pada dia”, sambung Haji Ngah dengan nada agak serius.

“Banyak ke barang-barang yang dia beri tu?”, tanya Ustaz Sulong pula.

“Ooi, boleh tahan jugaklah!”, jawab Haji Ngah pantas. “Itu, jam besar yang terpacak kat depan tu. Dialah yang bagi tu! Kemudian, dua kipas angin dinding, empat rak kayu tempat letak surah Yaasin di tepi tiang. Hah, sekarang semua benda tu kita dah alihkan.”

“Habis tu, bila pula Tuan Imam cadang nak buat “Majlis Penyerahan Kembali Kerusi” tu?”, tanya Cikgu Deramang pula.

“Tak tahulah. Kita dah minta pihak Dato’ Baitulmal datang ambil balik, bila-bila masa dia suka”, jelas Haji Ngah secara jujur. Air mukanya tergambar kesayuan bercampur kecewa.

“Eh! Tak boleh macam tu Ayah Haji! Kena tentukan tarikh dulu. Karang, barulah senang Penghulu Derosid nak datang bawa kamera ambil gambar kenangan peristiwa bersejarah tu!”, tambah Ustaz Sulong, dengan nada mengusik juga.

Berderai lagi tawa sekalian yang hadir. “Dan saya pula akan contact pemberita surat khabar.  Biar gak masuk surat khabar sekali cerita kampung kita ni!”, sambung Haji Sahak pula, disambut sorakan lain-lain di situ.

“Elok benar tu! Biar orang seluruh negara baca “Penduduk Antah Berantah serah kembali kerusi kepada Dato’ Baitulmal yang hilang kerusi dalam pilihan raya lalu. Kan sedap bunyi cerita tu!”, Ustaz Yayor yang sejak tadi sekadar tersenyum tiba-tiba turut tergerak hati mencelah dengan nada sinis dan lucu. Sekalian yang hadir, termasuk Haji Ngah sendiri, ketawa lagi.

Hari sudah pun hampir Maghrib apabila mereka masing-masing angkat punggung dari warung Haji Useng petang itu.

“Entahlah Dato’, nasib engkau nak dapat gelaran baru... Dato’ Kerusi!", getus hati kecil Haji Ngah sambil keretanya menyusuri pagar Masjid Daerah Antah Berantah, untuk meneruskan tugas hariannya.

(Cerpen ini disiarkan buletin Al-Balagh, 31 Oktober 2001, terbitan Lajnah Penerangan PAS Negeri Terengganu dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan makalah isu Tarmizi Mohd Jam dengan tajuk "Kerusi". Cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku di salah sebuah masjid daerah di Terengganu, beberapa bulan selepas kekalahan Barisan Nasional. 'Datuk' yang dimaksudkan pula 'hilang' kerusi Parlimen disandangnya).

‘Surat Terbuka” di tepian jalan


Oleh: Abdul Rahim Din

SATU kaedah baru penyampaian maklumat kepada umum di Terengganu yang nampaknya semakin diminati oleh pati-parti politik ialah menerusi pemidang. Ia jelas menjadi suatu fenomena baru dalam kempen-kempen berterusan parti politik, khususnya Umno yang sudah bergelar pembangkang di negeri itu.

Sejak dulu-dulu pun, perkara memanfaatkan pemidang untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada umum telah pun digunapakai. Namun, yang dulu-dulu itu lebih banyak tertumpu keada soal mengiklankan sesuatu program atau mempromosikan sesuatu barangan. Kalau pun ada yang memaparkan sesuatu mesej khusus, ia amat jarang berlaku.

Barangkali kemenangan bergaya PAS menyembamkan muka Umno atas stage politik Terengganu dengan tumbukan knock-out (K.O.) dalam pilihan raya lalu telah menyebabkan fenomena itu tiba-tiba berubah.

Didorong oleh rasa geram, malu, marah dan dendam yang membuak-buak itu, Umno yang sudah bergelar pembangkang semakin ‘liar’ dalam meluahkan perasaan-perasaan yang terpendam itu. Saluran ‘surat terbuka’ mereka yang paling laris nampaknya ialah kain-kain pemidang.

Sedari awal pemerintahan PAS, sudah ada dilihat pemidang tertulis ‘Mana Hudud?’ Kerana, barangkali mereka sedar bahawa kerajaan yang naik menggantikan mereka adalah kerajaan yang berhasrat melaksanakan undang-undang Islam. Oleh kerana mereka mengaji tidak habis, maka apabila disebut undang-undang Islam, yang mereka tahu hanyalah Hudud!

Seperti biasa, PAS menggunakan saluran ceramahnya untuk memperjelaskan hal sebenar. Tambahan pula, dengan adanya kuasa pemerintahan, maka saluran kuliah agama di masjid-masjid, saluran bertulis melalui Warta Darul Iman, majlis-majlis dialog, diskusi dan seumpamanya menyediakan ruang yang cukup luas bagi para pemimpin PAS memperjelaskan persoalan itu.

Namun, tabiat orang yang sukar mengerti ini sememangnya akan sukar menerima penjelasan. Maka, apabila sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu meluluskan beberapa enakmen pelaksanaan syariah, gempar lagi soal ‘Mana Hudud?’ itu. Hampir setiap daerah dipasangkan pemidang, ‘Undang-Undang Islam Terengganu – Mana Hudud?’ Itulah gambaran sempitnya pemikiran mereka.

Barangkali perang pemidang paling dahsyat yang pernah disaksikan oleh rakyat Terengganu berlaku sejurus selepas tercetusnya peristiwa rompakan royalti minyak oleh kerajaan Pusat.

Dari situlah terhasilnya puluhan pemidang dengan berbagai rangkap oleh ahli dan penyokong kerajaan. Antaranya berbunyi, ‘Ehsan: BN Tiru IMF’, ‘BN Cabul Maruah Rakyat Terengganu’, ‘Royalti Hak Rakyat Terengganu, Bukan Hak Mak-Bapak Umno’, ‘Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat Terengganu’, ‘Royalti: Kami Bersama Tok Guru’, ‘Royalti Yes, Ehsan No!’ dan berbagai lagi.

Sejurus kemudian, ada pula pihak yang membalas dengan mesej tertulis, antaranya, ‘Ehsan: Elak PAS Salahguna Wang Rakyat’, ‘Royalti Hak Rakyat, Bukan Hak PAS’, ‘Royalti: Mana Pergi RM432 juta?’ dan masih sempat diselit mesej partinya, ‘Wang Ehsan: Bukti BN Membela Rakyat’.

Namun, segala mesej perang itu akhirnya disimpulkan oleh pemidang yang lebih besar dari yang lain, dengan mesej jelas, ‘Royalti Bukan Hak PAS, Bukan Hak Umno. Royalti Hak Rakyat Terengganu’.

‘Surat Terbuka’ itu lama-kelamaan lusuh ditelan cuaca, sehinggalah ia ditukar dengan yang baru pula. Sekali lagi ia bermula gara-gara tindakan kerajaan BN. Kali ini ekoran pengharaman mengeluarkan permit ceramah kepada parti-parti politik.

‘Haram Ceramah... Umno Takut Bayang-bayang!!’, kata sebuah pemidang yang tertera dari Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Selang beberapa hari selepas itu, terpacak pula bersebelahannya pemidang lain tertulis, ‘Haram Ceramah... Elak PAS Kutip Pitis Rakyat!’

Terfikir juga kita untuk membalasnya begini, ‘Nak Selamat Pitis Rakyat? Kuburkan Umno!’ Sebabnya, yang ‘merompak’ pitis rakyat selama ini siapa?

Kekadang, mesej yang tertera pada ‘Surat Terbuka’ itu juga turut menyerlahkan kedunguan pembikinnya. Misalnya, satu pemidang itu menulis, ‘PAS Bukan Agama, PAS Parti Politik’. Sudah tentu sekali baca sahaja orang akan kata bahawa penulis itu adalah budak hingusan yang baru nak kenal Alif-Ba-Ta politik Malaysia. Kerana, tanya siapa sahaja pun dalam negara ini, takkan ada yang tergamak mengatakan PAS itu agama. Semua yang terlibat dengan politik atau ada ilmu politik tahu bahawa PAS adalah parti politik.

Ada pihak yang geram, lalu menjawab, ‘Umno Bukan Melayu, Umno Anti-Islam’. Barangkali mesej yang nak disebutnya bahawa Umno bukan lagi parti Melayu sebagaimana yang didakwa selama ini. Dalam Umno ada Siam (Perlis), Portugis (Melaka), ada Bumiputera dan Cina (Malaysia Timur). Nak kata Umno itu parti Islam, selisih malaikat 44!

Perang ‘Surat Terbuka’ di tepian jalanan ini sudah tentu suatu yang sukar ditentukan natijahnya. Sudah tentu ia ada baik-buruknya. Ada yang menganggap ia sebagai bukti keterbukaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah pemerintahan sekarang. Kerana, kalau di bawah kerajaan dulu, sudah tentu kain pemidang itu direntap dalam masa 24 jam saja. Ada juga yang melihatnya secara tidak langsung sebagai medan pertukaran idea atau buah fikiran.

Apa pun penilaian orang, apa yang jelas, kehadiran ‘Surat-surat Terbuka’ itu sekurang-kurangnya menceriakan minda para pengguna jalan raya, terutama bagi mereka yang penat meredah perjalanan yang panjang di bumi Darul Iman ini.

(Artikel ini disiarkan buletin Al-Balagh, 31 Oktober 2001)

Monday, October 22, 2001

Persaudaraan Islam tiada batas sempadan

Oleh Mohd. Nasir Awang
BUAT kesekian kalinya Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan ulama’ menganjurkan majlis solat hajat lagi. Seingatan kita, majlis kali ini bukanlah yang kedua atau ketiga seumpama itu yang pernah diadakan.
Seawal pemerintahan dahulu, pihak kerajaan pernah menganjurkan majlis solat hajat sempena genap 100 hari usia kerajaan baru. Tidak lama selepas itu, berlaku tragedi rompakan ke atas royalti hasil petroleum milik rakyat Terengganu. Kita sekali lagi diajak bersolat hajat agar Allah membuka hati para perompak itu untuk mengembalikan hak kita.
Rakyat juga pernah diminta bersolat hajat sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan. Kita juga bersolat hajat bersempena dengan ulangtahun pertama pemerintahan kerajaan baru, di samping turut bersolat hajat memohon kesejahteraan seluruh rakyat bersempena sambutan ulangtahun Hari Kemerdekaan negara.
Berbeza dengan majlis-majlis terdahulu itu, solat hajat terkini yang dianjurkan Kerajaan Negeri tidak melibatkan kepentingan rakyat atau Kerajaan Negeri secara khusus.
Ia dianjurkan bagi menzahirkan kebersamaan kita sebagai umat Islam dengan saudara-saudara seagama di bumi Afghanistan. Bumi yang belum pun sempat keluar dari kecelakaan bikinan satu kuasa mustakbirin, kini dicelakakan lagi oleh kerakusan sebuah kuasa mustakbirin kuffar yang lain pula.
Bumi yang kini dihujani peluru, disirami darah dan dibasahi airmata umat Islam.
Kita diajar bahawa setiap mukmin dengan mukmin yang lain adalah bersaudara. Bahkan, Rasullullah SAW di dalam hadithnya ada membandingkan perihal ikatan persaudaraan sesama mukmin itu ibarat anggota pada satu tubuh. Andainya satu anggota terasa sakit, segala anggota di seluruh tubuh itu turut merasai sakit.
Ada pun cara setiap anggota merasai kesakitan itu adalah berbeza mengikut tabi’e dan kadar masing-masing. Katakanlah yang sakit itu kaki. Maka tangan yang mampu menggapainya sudah tentu akan mengusap atau memicitnya. Tatkala mata menitiskan airmata, mulut pula sama ada menangis atau meminta pertolongan.
Begitulah juga dengan dunia Islam hari ini. Ketika sebuah negara umat Islam diserang, sudah tentu ada negara-negara yang berupaya bertindak sebagai tangan. Ada juga yang hanya mampu menjadi mata. Manakala yang selebihnya menjadi mulut. Sama ada yang mengisytiharkan kutukan terhadap serangan itu, atau pun mendoakan kekuatan dan kemenangan kepada saudara seagama di sana.
Sebagai umat Islam, kita diajar untuk sentiasa mengadukan hal kepada Allah Ta’ala. Wa imma di dalam menghadapi perkara kecil, mahupun yang besar. Seorang Islam mestilah sentiasa ingat kepada pesanan Al-Quran, yang sekira-kiranya bermaksud ‘hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau tempat kami meminta pertolongan’.
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT mengingatkan pula umat Islam agar meminta pertolongan kepada-Nya dengan berlaku sabar dan bersolat. Manakala di tempat yang lain pula Dia menyuruh kita agar berdoa kepada-Nya, dengan janji nescaya Dia akan menjawab doa kita.
Perkara-perkara sebeginilah nampaknya kurang difahami sebilangan umat Islam di tanah air kita.  Antara mereka, ada yang langsung tidak mengambil hirau tentang apa yang sedang berlaku di Afghanistan. Ada pula yang mengambil tahu, tetapi tidak mahu melibatkan diri secara serius.  Kononnya hal itu termasuk di dalam pantang-larang mencampuri urusan negara orang lain.
Mereka ini seolah-olah tidak pernah tersua atau disuakan dengan hadith-hadith berkaitan ikatan persaudaraan Islam.
Bahkan, mungkin mereka ini akan melenting jika dikatakan bahawa Rasullullah s.a.w. ada bersabda, “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan kita (orang Islam)”.
Kita juga pernah terdengar pihak yang merungut tentang kekerapan kita menganjurkan solat hajat. “Sikit-sikit solat hajat! Buat menyusahkan Tuhan saja!”, kata mereka.
Barangkali, mereka ingat Tuhan itu macam makhluk yang tertakluk kepada penat, susah, sibuk dan lemah. Astaghfirullah al-Aziim!
Lebih menyedihkan lagi ialah peranan segolongan ilmuan Islam yang secara terang-terangan menafikan kewajiban umat Islam berjihad menentang kuasa kuffar.
Mereka cuba memesongkan perhatian umat Islam kononnya peperangan yang sedang berlaku itu adalah di antara Islam sesama Islam, iaitu antara puak Taliban menentang Pakatan Utara.
Logiknya, apabila peperangan itu antara satu puak Islam dengan puak Islam yang lain, sudah tentu ia tidak boleh dianggap sebagai jihad.
Mereka ini seolah-olah telah dibutakan mata dan dipekakkan telinga oleh Allah untuk melihat bahawa yang sedang mengebom dan membedil bumi Afghanistan itu ialah Amerika Syarikat (AS), sebuah kuasa mustakbirin kuffar.
Manakala yang bergelimpangan di sana ialah mayat-mayat umat Islam. Sepatutnya, dalam keadaan umat Islam menjadi mangsa serangan ganas kuasa kuffar, umat Islam yang lain mengambil kesempatan untuk bersatu.
Manakala tanggungjawab mendoakan keselamatan dan kemenangan umat Islam di sana tidak sepatutnya diletakkan kepada pihak-pihak atau parti-parti tertentu sahaja kerana persaudaraan Islam itu tidak ada batas sempadannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, Bil 34: 22 Oktober 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk 'Afghanistan bumi Islam dihujani peluru, disirami darah, dibasahi airmata')

Monday, October 8, 2001

Indahkan Bahasa Terengganu Kita

Oleh: Mohd. Nasir Awang
MUTAKHIR ini, rata-rata khalayak sastera di negara ini bercakap soal ‘Bulan Bahasa’. Ia sudah menjadi acara tahunan yang diselenggarakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diperturunkan di peringkat negeri-negeri. Tujuan utama kempen berkenaan antara lain ialah menjana penggunaan bahasa yang betul, terutama dalam sektor-sektor yang membabitkan orang ramai.
Bahasa adalah jiwa bangsa. Keindahan dan ketajaman bahasa melambangkan ketinggian adab dan susila sesuatu bangsa. Manakala dalam arus globalisasi dan era ledakan teknologi maklumat ini, soal precise and concise (tepat dan padat) adalah ciri utama yang ditekankan dalam komunikasi. Biar ringkas, tetapi jelas.
Dalam Islam, soal penggunaan bahasa yang sesuai pada masa yang sesuai di tempat yang sesuai dan kepada orang yang sesuai juga turut ditekankan. Al-Quran meminta kita berbahasa secara berhikmah (bijaksana) semasa berdakwah. Al-Quran juga meminta kita berhujah atau berdebat dengan cara yang baik.
Berbeza pula dengan golongan kafir yang disifatkan Allah sama sahaja sama ada kita beri peringatan atau tidak, mereka tetap tidak akan beriman. Al-Quran dalam bahasa yang agak keras menyifatkan mereka itu sebagai As-Sufaha’ (orang bodoh).
Manakala dalam kisah yang lain pula, Al-Quran sampai ke peringkat mencelakakan Abu Lahab dengan bahasa seranah yang sangat kasar, sepadan dengan perbuatannya terhadap Islam.
Dalam berdakwah juga, menggunakan bahasa yang mudah difahami mad’uw (sasaran dakwah) turut ditekankan. Penggunaan bahasa dan istilah yang terlalu ilmiah sehingga sukar difahami khalayak sasaran adalah salah satu faktor menangguhkan keberkesanan dakwah.
Bersyarah di hadapan orang kampung perlu menggunakan bahasa kampung. Bahasanya tentu jauh berbeza dengan bahasa menara gading atau bahasa metropolitan. Begitu juga, membentangkan kertas kerja kepada khalayak berlatar belakang pendidikan Inggeris tidak perlulah dipadatkan dengan istilah-istilah Arab yang hanya segelintir mampu memahaminya.
Dalam cerita-cerita teladan yang pernah diajarkan kepada kita, terdapat juga cerita mengenai natijah salah guna bahasa ini. Antaranya adalah mengenai mimpi seorang sultan yang dita’abirkan membawa alamat kematian permaisuri baginda.
Seorang juruta’abir memilih untuk menggunakan bahasa straight forward dan mempersembahkan kepada sultan ‘tuanku permaisuri akan mangkat’. Dia dimurkai sultan dan dikenakan hukuman berat.
Seorang lagi juruta’abir memilih untuk menggunakan bahasa yang bijak, tanpa mengubah maksud asal ta’abir mimpi itu.
Katanya maksud mimpi sultan itu ialah ‘umur sultan lebih panjang daripada umur permaisuri’. Sultan sangat gembira dan juru ta’abir yang pandai bermain bahasa itu menerima anugerah diraja.
Dalam realiti kehidupan hari ini, sektor perniagaan adalah bidang paling banyak melakukan salahguna bahasa. Sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan pemasangan peralatan rumah di pinggir Kuala Terengganu meletakkan notis perkhidmatannya, yang antara lain ditulis ‘ray langsir’. Sudah tentu yang dimaksudkannya ialah ‘rel langsir’.
Sebuah kedai makan berdekatannya pula mengejakan roti tempayan dengan ‘roti payang’. Barangkali bentuk rotinya panjang macam bentuk perahu tradisional Terengganu iaitu ‘Payang’? Atau mungkin tujuannya untuk men-Terengganu-kan sebutan ‘tempayan’ itu. Tetapi, mengapa pula roti itu tidak diejakan ‘ghoti’?
Sikap suka mencedok istilah asing juga turut memberikan implikasi pencemaran bahasa. Satu contoh ketara ialah mengambil mudah penggunaan istilah ‘expo’ untuk sesuatu pesta beli-belah. Sedangkan ‘expo’ bermaksud pameran barangan atau produk terbaru, sama ada untuk jualan, tempahan atau seumpamanya.
Menghimpunkan beberapa pemborong atau peniaga bagi menjual barangan keperluan harian seperti pakaian, peralatan plastik, pinggan-mangkuk, permainan kanak-kanak, peralatan elektrik dan seumpamanya adalah terlalu jauh untuk dinamakan ‘expo’.
Malah, ia lebih cocok dinamakan karnival beli-belah atau sebagainya. Mungkin pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan permohonan permit jualan mereka boleh bekerjasama dan mengambil sikap lebih prihatin tentang penggunaan istilah ini.
Sebuah bank komersil di tengah Bandar Kuala Terengganu pula menggantungkan pemidang di pintu masuknya berbunyi, ‘Kami menyediakan bayaran bil setempat untuk bil-bil berikut……’.  Secara luaran, maksud yang mudah difahami daripada ayat itu ialah bank berkenaan menyediakan kaunter bagi urusan pembayaran bil-bil semasa yang dimaksudkan.
Tetapi jangan lupa, perkataan ‘menyediakan bayaran’ itu sebetulnya bermaksud bank berkenaan ‘tolong bayar bil-bil itu untuk orang ramai’. Mungkin pihak pengurusan bank berkenaan boleh menjelaskan kekeliruan itu.
Segala yang disebutkan di atas hanyalah contoh rawak. Banyak lagi kes seumpama itu yang boleh diutarakan. Apa yang penting, pujangga Melayu ada berpesan, ‘Yang Kelok Itu Kendi, Yang Merah Itu Saga. Yang Elok Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa’.
Untuk itu, perelokkanlah budi, perindahkanlah bahasa. Cintailah bahasa kita dan gunakanlah bahasa yang betul.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) Bil: 33, 8 Oktober 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)