Thursday, August 22, 2002

Menolak Hudud Melawan Tabi’ie

Oleh: Mohd. Nasir Awang
“BERMULA akan manusia itu adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna. Allah Ta’ala telah memuliakan kejadian manusia mengatasi makhluk-makhluk lain dengan beberapa kelebihan yang nyata”. (Surah Al-Isra’, ayat 70).
Telah sepakat di kalangan ulama’ bahawa kemuliaan manusia ialah pada lima perkara asas yang menjadi rukun hidup iaitu agama, akal, keturunan, nyawa dan harta. Manusia yang beragama adalah manusia yang bertamadun dan berdisiplin. Di mana hukum dan peraturan agama itu memandu manusia menjadi masyarakat yang teratur dan terarah.
Kemuncak kepada kehidupan beragama ialah ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Sedangkan taqwa itu pula disifatkan oleh Al-Quran sebagai penilai kemuliaan seseorang manusia di kalangan ratusan bangsa dan suku kaum yang diciptakan Allah Ta’ala (baca surah Al-Hujurat, ayat 17).
Akal pula menjadi pembeza antara manusia dan binatang. Sebagaimana mulianya manusia mengatasi binatang disebabkan akalnya, maka begitulah juga mulianya manusia yang berakal mengatasi manusia yang hilang akal.
Kemuliaan manusia juga berkait rapat dengan soal keluarga dan keturunan.
Manusia secara tabi’ie cenderung untuk berbangga dengan keturunan masing-masing. Sebabnya, dari keturunan yang mulialah lahir pula generasi anak-anak soleh yang bakal mendoakan kesejahteraan buat kedua ibu bapa mereka.
Ada pun harga nyawa manusia amatlah tinggi tidak ternilai. Nyawalah yang membezakan segala-galanya. Walau sekurus atau sekerdil mana pun jasad, tetapi disebabkan masih bernyawa, menyebabkan ia mempunyai tempat di atas dunia.
Sebaliknya manusia yang tidak bernyawa tidak mempunyai tempat lagi di atas muka bumi. Tak usah cakaplah sehebat dan seagung mana sekali pun dia sewaktu hayatnya, setelah tidak bernyawa tempatnya hanya di perut bumi.
Kemuliaan manusia juga dinilai pada harta mereka. Islam sendiri mengajar umatnya untuk berusaha mencari harta bagi menyempurnakan tuntutan rukun dan hukum Islam. Dengan hartalah manusia dapat membeli pakaian bagi menutup aurat untuk bersolat. Harta juga menjadi antara syarat kemampuan seseorang menunaikan haji.
Dengan harta juga kita berzakat dan bersedekah. Di masa yang sama Islam mencela perbuatan meminta-minta. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa hampir-hampir kepapaan itu boleh membawa seseorang kepada kekufuran.
Terlalu banyak ayat Al-Quran dan hadith yang membicarakan kelebihan kelima-lima perkara di atas. Al-Quran dalam banyak ayatnya menyanjung tinggi orang-orang yang berjihad dengan harta dan nyawa. Rasulullah s.a.w. pula memperakukan seseorang yang dibunuh kerana mempertahankan agama, nyawa dan hartanya mendapat syahid di sisi Allah s.w.t.
Baginda s.a.w. juga memberitahu kita bahawa hanya tiga amalan yang tidak akan putus bagi seseorang yang sudah mati. Tiga amalan itu ialah sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh.
Bagaimanakah seseorang itu mampu bersedekah jika ia tidak berharta? Bagaimana ia mampu mendapat ilmu dan memanfaatkan pula ilmunya kepada orang lain jika ia tidak berakal?
Mampukah seseorang menghasilkan anak yang soleh melalui perhubungan luar nikah, sekaligus mengenepikan soal menjaga keturunan? Ertinya, intipati kepada ketiga-tiga amalan yang dimaksudkan itu berbalik semula kepada tiga asas tadi, iaitu harta, akal dan keturunan.
Sekiranya kita memahami betapa berharganya kemuliaan yang dianugerahkan Allah itu dan betapa pentingnya menjamin ia terpelihara, maka akan mudahlah pula kita mencari rasionalnya mengapa mesti diwujudkan hukum atau undang-undang.
Fungsi undang-undang ialah bagi mengawasi manusia agar tidak melangkaui batas sempadan yang mampu merobek kemuliaan yang telah dianugerahkan oleh Allah Ta’ala itu.
Islam mengajar manusia bahawa Tuhan pencipta alam telah menetapkan peraturan dan undang-undang kepada semua makhluk-Nya termasuk manusia. Di sana jelas terdapat pertautan yang sangat erat antara peraturan dan undang-undang Allah, terutamanya Hudud dan Qisas, dengan naluri tabi’ie manusia yang cintakan kebaikan dan kemuliaan.
Dalam perkara Qisas, Islam sebenarnya memberi perlindungan kepada kemuliaan nyawa dan jasad manusia supaya tidak boleh diperlakukan sewenang-wenang, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.
Hukum mengenai zina pula bagi mencegah keruntuhan institusi kekeluargaan dan keturunan, selain turut membasmi penyakit-penyakit kelamin yang sangat merbahaya. Begitu juga dalam perkara qazaf (menuduh zina tanpa bukti), bagi mengelakkan manusia menjadi mangsa fitnah sesama sendiri.
Hukum mengenai merompak dan mencuri pula adalah bagi melindungi kemuliaan harta.  Manakala hukum berkaitan meminum arak ialah bagi menghargai kemuliaan akal yang waras yang menjadi pembeza antara manusia dan binatang.
Ada pun hukum berkaitan murtad ialah agar manusia tidak mempersenda-sendakan kemuliaan ikrar dan perjanjian mereka dengan Allah dan umat Islam.
Jelaslah bahawa tujuan hukum dan undang-undang Islam adalah untuk menghukum orang-orang jahat disebabkan kejahatan yang mereka lakukan. Ia juga sekaligus bermaksud mencegah orang-orang yang berniat melakukan kejahatan itu agar tidak meneruskan niat jahatnya.
Secara tabi’ie, manusia yang waras cenderung kepada kebaikan dan bencikan kejahatan. Justeru, sikap bencikan hukum dan undang-undang yang bertujuan membasmi kejahatan boleh diertikan sebagai bersetuju atau bersimpati dengan kejahatan.
Sedar atau tidak, manusia sebegitu sebenarnya telah mengambil sikap yang bertentangan dengan tabi’ie kejadian manusia itu sendiri.
Ada pun kemudian daripada itu, fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 53, 22 Ogos 2002, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Thursday, August 8, 2002

Pelbagai Kegagalan Melanda Negara

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SETELAH berhadapan dengan kegagalan beberapa sistem dan dasar yang dilaksanakan sebelum ini, Kerajaan Pusat kini sekali lagi terpaksa mengakui kelemahan pemerintahannya. Secara tersurat mahu pun tersirat, pemimpin negara memperakui bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan sejak sekian lama telah gagal melahirkan pelajar yang kompeten, terutama dalam mendepani arus globalisasi.
Sejak beberapa tahun lalu, negara telah menyaksikan kegagalan dasar penswastaan. Kisah kejatuhan beberapa tokoh korporat ternama, yang sering disanjung sebagai usahawan kebanggaan orang Melayu, amat memalukan negara. Mereka dikatakan lambang kejayaan perancangan kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjadi sumber inspirasi kepada usahawan lain.
Malangnya, satu demi satu mereka itu akhirnya tersungkur. Kerajaan ‘terpaksa’ mengambilalih syarikat-syarikat mereka yang tenat.
Syarikat Renong-UEM milik seorang Tan Sri, diambilalih kerajaan bersama tuntutan hutang RM16 bilion.
Seorang lagi Tan Sri diselamatkan oleh kerajaan dengan pembelian semula saham Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dikuasainya pada harga RM8.00 seunit. Sedangkan harga pasaran bagi saham berkenaan hanyalah RM3.68 seunit. Cerdik lah tu konon!
Kerajaan juga, melalui Syarikat Prasarana Nasional Bhd (SPNB), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan diperbadankan, mengambilalih seluruh aset serta operasi Sistem Transit Aliran Ringan Sdn Bhd (STAR) dan Projek Usahawan Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (PUTRA). SPNB telah membeli hutang STAR dan PUTRA berjumlah kira-kira RM5.5 bilion menerusi terbitan bon bersiri berkadar tetap kepada peminjam kedua-dua syarikat itu.
Itu hanyalah dua-tiga contoh daripada puluhan lagi bukti kegagalan dasar penswastaan. Dasar yang dilaksanakan kononnya dengan tujuan menjimatkan kos pengurusan kerajaan dalam beberapa perkhidmatan awam tersebut, akhirnya memaksa kerajaan berbelanja lebih banyak untuk menyelamatkan keadaan.
Dasar yang kononnya bertujuan melahirkan usahawan dan jutawan Melayu, tetapi sebaliknya mewujudkan ‘budaya tongkat’ yang akhirnya dicemuh oleh pengilhamnya sendiri.
Awal tahun ini, timbul pula cerita semakan semula Sistem Saraan Baru (SSB). Memang, sejak mula dilaksanakan pada 1 Januari 1992, SSB, yang juga diterjemahkan kepada ‘Skim Suka Bodek’ itu banyak menimbulkan kontroversi. Ia dianggap tidak telus dan terdedah kepada salah guna kuasa. Antara pihak yang tidak senang dengan pelaksanaan SSB ialah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri.
Akhirnya, selepas lebih sedekad ianya dilaksanakan, minggu lalu kerajaan tampil dengan sistem penggajian baru yang dinamakan ‘Sistem Saraan Malaysia (SSM)’. Secara tersirat, kerajaan memperakui SSB telah gagal!
Sejak beberapa bulan lalu, satu demi satu kes penyelewengan pengurusan dana awam didedah dan dihebahkan. Mula-mula cerita Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk meningkat taraf hidup rakyat miskin.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyiasat AIM sejak tahun 2001 selepas menerima laporan Bank Negara Malaysia selaku badan kawalselia pengurusan badan berkenaan. Pengurusan AIM dipercayai menyalurkaan berpuluh juta ringgit dari akaun dana Sahabat AIM untuk kegunaan pentadbirannya.
Transaksi secara tidak sah yang dipercayai dilakukan sejak beberapa tahun lalu itu didapati melanggar syarat penggunaan dana AIM yang sepatutnya dikhususkan untuk membantu penduduk miskin. Kesan penyelewengan itu menyebabkan operasi AIM menghadapi pelbagai masalah, termasuk menanggung hutang lapuk lebih RM40 juta sejak 1997.
Belum pun reda hal itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula mengakui Tabung Haji kehilangan RM200 juta menerusi pelaburannya dalam sebuah syarikat pengurusan dana. Ogos tahun lepas Tabung Haji juga mengalami kerugian lebih RM8 juta apabila wang simpanan dalam beberapa akaun pendepositnya hilang, dipercayai dikeluarkan secara tidak sah oleh bukan pemegang akaun berkenaan.
Kes penyelewengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) juga mendapat liputan meluas pihak media. Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 23 Oktober 2001 mendedahkan telah membuat dua laporan polis berhubung penipuan pelaburan berjumlah RM40 juta membabitkan pelaksanaan PPRT.
Satu laporan berhubung penipuan pengurusan juga telah dibuat kepada BPR. Bekas menteri berkenaan sendiri adalah antara yang turut disoal siasat.
Ke mana perginya dasar “Bersih, Cekap, Amanah” yang sangat diuar-uarkan sebagai slogan perkhidmatan sebelum ini?
Terbaru ialah pendedahan Perdana Menteri mengenai ekstremisme berasaskan kaum di kalangan generasi muda negara ini yang menurut beliau semakin serius dan membimbangkan. Beliau berkata, keadaan itu amat berbeza berbanding sebelum ini apabila penduduk daripada berlainan kaum dapat bercampur antara satu dengan yang lain. Itu menunjukkan bahawa dasar negara mengenai perpaduan kaum dan integrasi nasional juga telah gagal.
Dalam dunia pendidikan pula, sebelum ini isu akhlak dan moral pelajar banyak diperkatakan.  Maka, sebahagian kegagalan itu dipersalahkan kepada guru agama yang kononnya tidak iltizam dengan tugas-tugas mereka.
Kini, bila timbul isu kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan siswazah Melayu, guru-guru subjek Sains dan Matematik pula yang terpaksa menerima akibatnya. Apa pun, yang jelas ialah setelah puluhan tahun dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan, hasilnya ialah kelemahan dan kegagalan.
Habis, kalau itu gagal ini gagal, apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada mereka itu? Cekok ke hebat sangat bunyi? Cheh!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) Bil: 52, 8 Ogos 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)