Oleh: Anuwa Jamalullail
MENJELANG dua tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) di
Terengganu, semakin banyak terserlah kelemahan dan sikap hipokrit parti itu
dalam membangunkan negeri. Paling nyata ialah sikapnya yang menghalalkan apa
jua tindakan yang diambil termasuk mengulangi sesuatu yang pernah dikecam dan
dipertikaikan sewaktu kerajaan PAS sebelum ini melakukannya.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu awal
Disember lalu mencungkil beberapa lagi tindakan hipokrit tersebut. Antaranya
ialah soal pembiayaan pelajaran anak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
(Exco) dan keutamaan perbelanjaan untuk penganjuran Piala Monsun.
ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut ketika
membahaskan Bajet 2006 menyelar tindakan kerajaan BN menawarkan biasiswa
Yayasan Terengganu (YT) kepada dua anak anggota Exconya.
Mengulas perkara itu, Pengarah YT, Wan Osman Wan Long
mendakwa pemilihan mereka berdasarkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dua pelajar itu ialah anak Pengerusi
Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan
Manusia negeri, Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan anak Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Islam Hadhari negeri, Wan Mohd Wan Hassan. Mereka kini mengikuti
pengajian A-Level di Kolej Yayasan
UEM, Lembah Beringin, Selangor.
Sewaktu pemerintahan PAS dahulu, para pemimpin BN lantang
mengecam langkah kerajaan negeri membiayai pelajaran dua anak anggota Exco
negeri melalui wang zakat. Pemimpin BN berhujah anggota Exco bukan dari
kalangan orang miskin dan tidak layak menerima bantuan kerajaan.
Kini, apa pula rasional pemimpin BN bagi melayakkan dua
anak anggota Exconya menerima biasiswa? Sedangkan keutamaan biasisiwa memang
berdasarkan tahap kewangan ibu bapa pelajar. Adapun wang zakat, bantuan
pendidikan bukan di bawah pertimbangan asnaf kaya-miskin, tetapi lebih
berdasarkan merit pendidikan itu.
Bayangkan, dua anak anggota Exco BN tadi adalah antara
hanya sembilan yang ditawarkan biasiswa RM30,000 setahun dari 81 pelajar
cemerlang yang telah memohon. Apakah baki 72 pemohon itu tidak layak kerana
mereka dari keluarga yang lebih kaya daripada para Exco itu? Tiada hanky-panky?
Kerajaan BN juga didakwa cuba “menyembunyikan” jumlah
perbelanjaan sebenar menjayakan Piala Monsun 2005 di Pulau Duyong bulan lalu.
Kejohanan kapal layar bertaraf dunia itu telah berlangsung dalam suasana hambar
dan gagal menarik minat warga setempat.
Menurut sumber yang rapat dengan perbendaharaan negeri,
belanja keseluruhan persiapan acara itu melebihi RM200 juta. Anggota Exco
kerajaan negeri, Wan Hisham Wan Salleh, bagaimana pun berkata kerajaan negeri
memperuntukkan hanya RM1 juta untuk acara itu. Apakah angka RM1 juta itu
mengambil kira perbelanjaan prasarana di atas pulau seperti tebus guna tanah,
pembinaan beberapa unit chalet mewah,
marina bay dan lain-lain sempena kejohanan
itu? Ataukah ia kos aturcara sahaja?
Angka RM1 juta mudah mengingatkan rakyat Terengganu
kepada projek pembinaan pagar Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dahulu.
Ia telah dilaksanakan kerajaan PAS dan menjadi bahan kecaman para pemimpin BN.
Datuk Seri Idris Jusoh sendiri menyifatkan pembinaan pagar itu sebagai “bukti
nyata kerajaan PAS tidak mampu merancang dan menimbang keutamaan dalam pembangunan”negeri.
Kini, apakah berbelanja jutaan ringgit bagi peserta warga
asing berlumba kapal layar itu pula adalah bukti keutamaan Idris membangunkan
negeri? Apakah, bagi Idris, menyempurnakan hajat orang luar itu lebih utama
daripada menambah baik prasarana pendidikan untuk rakyat sendiri?
Dalam politik “berat sebelah” di negeri ini, asal saja BN
yang buat, semuanya akan dikira okey. Sejak memerintah Terengganu mulai Mac
2004 hingga September lalu, BN mengakui telah memecat dan menggantung tugas 13
orang imam dan bilal. Begitu ramai yang teraniaya, tetapi berapa kali cerita
mereka digema-riuhkan melalui tv atau akhbar harian?
Sebagai perbandingan, sepanjang pemerintahan PAS dulu,
hanya tidak sampai lima orang imam tua yang “direhatkan”. Itu pun kerana faktor
usia dan kesihatan yang menyebabkan mereka itu sering gagal bertugas. Mereka
muncul di kaca tv. Akhbar juga turut menemu bual mereka. Kerajaan PAS digambarkan telah menzalimi
mereka.
Sikap hipokrit BN turut terserlah di dalam tindakannya
melantik “orang pencen” mengisi beberapa jawatan penting dalam kerajaannya.
Antaranya ialah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat
Melayu Terengganu (Maidam) dan Speaker DUN Terengganu. Sedangkan itulah antara bahan serangan mereka
terhadap kerajaan PAS dahulu.
Begitu juga dalam hal kekerapan pertukaran pegawai tadbir
negeri. Kerajaan PAS dulu didakwa tidak pandai memerintah atau memiliki
pentadbiran yang bercelaru kerana dikatakan kerap membuat rombakan pegawai
tadbir. Pernahkah sesiapa bertanya dalam masa belum sampai dua tahun BN
memerintah Terengganu, sudah berapa kali pertukaran pegawai tadbir dibuat?
Mereka yang terlibat tentu lebih tahu!
Jika segala tindakan kerajaan PAS sebelum ini dijadikan
bahan pertikaian dan bukti kecelaruan pentadbiran, maka dengan mengulangi
tindakan yang “sama” BN Terengganu membuktikan bahawa ia lebih bercelaru
daripada PAS. BN tidak ubah ibarat mengata dulang, paku serpih!
(Artikel ini
disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, 30 Disember 2005 dengan tajuk "RM200 juta hangus biayai Piala Monsun?")