Thursday, November 1, 2007

Jenayah Kanak-kanak: Beri Peluang Perundangan Islam Buktikan Kemampuan

Oleh: Mohd Nasir Awang

KES penderaan seksual dan pembunuhan adik Nurin Jazlin Jazimin September lalu bukan lah isu picisan. Ia melibatkan nyawa seorang insan kerdil dan tidak berdosa yang menjadi mangsa kerakusan manusia berjiwa haiwan. Lebih memilukan, ia menambah panjang senarai kezaliman serupa yang berlaku terhadap kanak-kanak di negara kita.

Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Operasi mencarinya oleh berbagai pihak gagal, sehinggalah polis menjumpai mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan di hadapan sebuah kedai di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 17 September. Keputusan ujian asid deoksiribonukleid (DNA) ke atas mangsa, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil dan ibunya, Norazian Zaman mengesahkan mayat kanak-kanak malang itu sebagai Nurin Jazlin.

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati kurang daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemui. Kematiannya turut disahkan berpunca jangkitan kuman dalam kemaluannya selain ususnya yang pecah akibat penderaan seksual.

Sebelum kes membabitkan adik Nurin Jazlin, negara telah beberapa kali digemparkan kes seumpama itu. Nama-nama seperti Harirawati Saridi, Nurul Huda Abdul Ghani, Ang May Hong, Nor Shuhada Burak dan Siti Norazlina Azalan adalah mangsa-mangsa kerdil yang menemui ajal dalam keadaan tragis di tangan manusia rakus. Pembunuhan kesemua mereka itu dikaitkan dengan jenayah seksual.

Mayat May Hong, 10, ditemui bapanya di sebuah rumah kosong yang menjadi sarang penagih, hanya 70 meter dari rumahnya di Jalan Tun Razak, di ibu kota. Selain lehernya dijerut, alat sulitnya turut dirodok dengan kayu tajam sepanjang semeter menyebabkan ususnya, perut dan jantungnya pecah. Kes berlaku pada April 1987.

Pada 23 November 2000, Nor Shuhada yang berusia enam tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat di Selayang Baru, Selangor. Mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel. Terdapat juga kesan lebam pada muka dan tangan mangsa.

Harirawati pula murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tebobon, Menggatal, Sabah. Beliau dibunuh kejam sebelum dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pada 8 Januari 2004.  Mayatnya yang lengkap berbaju kurung seragam sekolah dan masih menggalas beg ditemui berlumuran darah dalam belukar kira-kira satu kilometer dari rumahnya. Enam kesan tikaman ditemui di lehernya.

Nurul Huda, 10, dirogol dan diliwat di pondok pengawal pencawang Tenaga Nasional Berhad di Tanjung Kupang, Johor Bahru pada 17 Januari 2004. Ketika ditemui abangnya di pondok tersebut, mangsa tidak berseluar dan berkeadaan amat mengerikan. Dia disahkan meninggal sebaik tiba di Pusat Kesihatan Gelang Patah.

Mayat Siti Norazlina, 7, pula ditemui terapung di sungai berhampiran Kampung Sungai Pinang Dalam, Klang, Selangor pada 12 Januari lalu. Sekumpulan kanak-kanak yang bermain di situ menemui mayat itu yang hanya memakai baju Melayu kepunyaan abangnya. Siti Norazlina dilaporkan hilang dari rumahnya sejak dua hari sebelumya. Beliau dipercayai dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dicampakkan ke sungai itu.

Selain motif seksual, beberapa kes pembunuhan kanak-kanak lain didorong berbagai motif termasuk wang, emosi melampau dan krisis rumah tangga. Mohd Airell Azim Azhar, seorang bayi berusia lapan bulan ditekup dengan bantal di mukanya sehingga tidak dapat bernafas oleh suami pengasuhnya. Kes berlaku di Bandar Putera Jaya,Sungai Petani, 2 Januari lalu. Mohd Airell dikatakan menangis dengan kuat sehingga menyebabkan suspek tidak dapat mengawal emosi lalu bertindak ganas terhadapnya.

Sherway Ooi Ying Ying, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hilang selepas bersarapan bersama ibunya di Bayan Baru, Pulau Pinang, pada 6 Julai lalu. Dua hari selepas itu, polis menemui abu mayatnya dekat tanah perkuburan Cina di Paya Terubong, selain saki-baki tulang serta cebisan pakaiannya dengan kesan dibakar. Difahamkan sebahagian abu mayat Ooi dibuang berasingan termasuk dalam longkang tidak jauh dari kawasan perkuburan itu. Motif pembunuhan dipercayai ekoran krisis rumah tangga.

Dalam kes serupa, gara-gara marahkan suami yang disyaki curang, seorang wanita mencekik dua anaknya hingga mati. Muhammad Alif Hakimi, lima tahun dan adik lelakinya, Muhammad Alif Hazimi 17 bulan dipercayai dicekik dengan wayar sterika oleh ibu mereka sendiri dalam kejadian di Batu Maung, Pulau Pinang, 18 Februari lalu.

Pada 25 April 2006, kanak-kanak berusia lapan tahun, Lo Chin Poon didapati hilang dan dipercayai diculik kenalan ibunya. Mayatnya ditemui pada 6 Mei di Taman Teknologi Senai, Johor Bahru.

Mayat murid tahun satu, Ho Ping yang dipercayai diculik dan dijerut hingga mati oleh abang iparnya ditemui dalam sebuah beg pakaian dalam Sungai Sitiawan, Perak, pada 21 Mei 2006.  Mangsa adalah anak pemilik ladang sayur di Cameron Highlands, Pahang. Motif pembunuhan dipercayai kerana wang.

Kes-kes disebutkan tadi kesemuanya melibatkan mangsa berusia 10 tahun ke bawah. Dalam usia itu, apalah daya mereka untuk menangkis apa jua perbuatan kejam ke atas mereka? Siapa pun bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu jelas sekali tidak meletakkan soal pertimbangan kemanusiaan dan perhitungan belas kasihan.

Yang wujud di hati dan fikiran pelaku ketika itu hanyalah kepuasan diri, sama ada dorongan seksual, emosi melampau mahu pun dorongan lain. Bagi yang beragama Islam, soal dosa di sisi Allah seakan tidak terlintas langsung di benak mereka.

Apakah fenomena ini harus dibiarkan berterusan? Apakah dosa kanak-kanak sepeti Nurin Jazlin, Nurul Huda, Ho Ping dan lain-lain itu? Mereka tidak mengerti apa-apa dan tidak punya apa daya untuk menolak apa jua bentuk kezaliman terhadap mereka.

Kasihan anak-anak itu yang menjadi mangsa kepada manusia berjiwa haiwan. Apakah manusia seumpama ini wajar dibiarkan hidup bebas dengan dosa besar yang telah mereka lakukan? Sampai bila kita akan melihat perbuatan gila ini berlanjutan?

Sebagaimana dilaporkan media massa, kes terbaru membabitkan adik Nurin Jazlin telah membangkitkan kemarahan masyarakat negara ini. Dapat dibayangkan bagaimana tangisan kesejukan, jeritan kelaparan atau laungan kesengsaraannya sepanjang dikurung dan diseksa itu.  Segala penderitaan itu jelas sekali tidak mewujudkan sedikit pun perasaan belas kasihan kepada “haiwan” yang menderanya.

Tanpa mengira kaum atau agama, masyarakat negara ini mendesak pembunuhnya dikenalpasti dan dipastikan menerima hukuman seberat mungkin. Soalnya, apakah undang-undang sedia ada kini cukup kuat untuk menakutkan masyarakat daripada melakukan jenayah itu? Apa yang jelas dengan berlakunya kes demi kes serupa berulangkali, seakan membuktikan bahawa hukuman sedia ada masih gagal menggerunkan penjenayah apatah lagi membasmi jenayah tersebut dari berterusan.

Barangkali sudah sampai masanya segala undang-undang berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak ini disemak semula. Sesuatu perlu dilakukan agar hukuman disediakan nanti bakal menggerunkan masyarakat daripada melakukan jenayah.

Di kesempatan itu, mengapa tidak diberi peluang kepada undang-undang Islam membuktikan kemampuannya? Bukankah Allah Ta’ala telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa pelaksanaan hukum jenayah di dalam Islam itu mampu menggerun dan mencegah manusia daripada melakukannya? Apakah kita tidak yakin dengan janji Allah ini?

Undang-undang negara kita kini berdasarkan kepada Common Law Inggeris. Kelemahannya seiring diakui pelbagai pihak, sama ada pengamal undang-undang, ahli politik mahu pun ahli akademik. Kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, 21 Ogos lalu mengesahkan hakikat itu. Beliau mencadangkan agar rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini.

Kenyataan itu disusuli pula penegasan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan sumber lain selain Common Law Inggeris bagi mendapatkan prinsip-prinsip keadilan. Lebih menarik, beliau menegaskan undang-undang Islam adalah yang terbaik untuk dijadikan rujukan kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.

Menyediakan hukuman sahaja bagaimana pun tidak memadai untuk membendung jenayah.  Langkah-langkah pencegahannya juga perlu dipertingkatkan. Jika jenayah itu dikenalpasti berpunca masalah runah tangga atau krisis keluarga, suatu sistem kehidupan berkeluarga yang baik mesti dipupuk berterusan. Gaya hidup sihat dan menitikberatkan ajaran agama juga mampu menstabilkan emosi manusia. Selain itu, pemahaman tentang dosa-pahala boleh menghalang manusia daripada terjerumus ke alam jenayah.

Di sudut lain, desakan dan dorongan kuat ke arah aktiviti seksual perlu dibanteras. Dewasa ini, dorongan ke arah itu sangat berleluasa terutama menerusi media elektronik dan siber. Penjualan video lucah, penayangan filem-filem tidak senonoh dan seumpamanya banyak mempengaruhi rangsangan seksual seseorang. Pencegahan dorongan ini memerlukan tindakan bersepadu semua pihak, terutama pihak pemerintah.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, November 2007 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)