Monday, September 23, 2013

Tindakan BN buat rakyat akui wibawa PR

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

“TUN M AKUI BN BOROS”. Demikian tajuk utama akhbar Harakah, Bil:1875, yang menemui pembaca 9 haribulan lalu. Ia memetik kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelumnya.

Dr Mahathir dalam kenyataannya disiarkan media pada 5 September memberi peringatan kepada kerajaan agar mengurangkan perbelanjaan bagi membantu menurunkan defisit kewangan negara.

“Seperti yang kita tahu sekarang, negara kini mengalami defisit. Kita pinjam terlalu banyak wang. Kalau kita tak pinjam wang, itu lebih baik. Jika boleh, kurangkan perbelanjaan kerajaan”, katanya.

Menurutnya, dengan penjimatan itu barulah kerajaan mampu menampung pemberian subsidi yang tinggi itu.

“Barangkali Dr. Mahathir baru sedar, bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak membazir dalam perbelanjaannya”, terjah Dato’ Nik Abdul Aziz.

Seraya menyokong saranan Dr Mahathir itu, beliau turut mengingatkan bahawa amalan berjimat cermat ialah perintah Islam.

“Berjimat cermat bukan hanya kerana defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat, tetapi berjimat cermat kerana itulah suruhan agama”, sambungnya.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu selanjutnya mengambil contoh langkah-langkah penjimatan yang telah dilaksanakan kerajaan pimpinannya sejak lebih 30 tahun lalu. Bahawa apa yang dilaksanakan kerajaan Kelantan diperintah PAS itu merupakan contoh terbaik dasar penjimatan perbelanjaan.

“Pada masa itu, Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia, yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang dibuat kerajaan Kelantan”, katanya.

Dasar sama turut dilaksanakan PAS sewaktu memerintah Terengganu antara 1999-2004 lalu. Malangnya, para pemimpin Barisan Nasional (BN), bukan sahaja tidak membantu pelaksanaan dasar tersebut, malah mempersenda langkah penjimatan dibuat PAS itu.

“Kalau dah tak ada duit, dan tak pandai nak cari duit, tak payah lah nak jadi kerajaan!”, kata para penjuak BN dengan penuh angkuh dan sinis. Nampak sangat mereka tidak faham bahawa amalan berjimat-cermat itu bukan perlu tunggu “tidak ada duit”, tetapi kerana ia dituntut Islam.

Kini, selepas berdekad dasar pemerintahan PAS itu dipersendakan, BN nampaknya terpaksa “menjilat muntahnya sendiri”. Bekas pemimpin nombor satu parti itu seolah-olah baru sedar kebaikan dasar berjimat-cermat dalam perbelanjaan kerajaan.

Kes tersebut adalah contoh betapa keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) mengurustadbir kewangan kerajaan adalah jauh lebih baik berbanding BN. Walau pun Dr Mahathir mungkin tidak bermaksud memperakui hal itu, kenyataan beliau meminta BN mengurangkan perbelanjaan kerajaan itu seolah-olah mengiktiraf kewibawaan PAS dan PR yang telah lama melaksanakannya.

Sebab itu BN sepatutnya tidak terlalu cepat memperlekeh apa juga yang dicadang atau dilaksanakan parti lawannya. Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu lagi contoh. PR mengutarakan cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN. Ia bagaimana pun diputar belit BN sebagai cadangan menghapuskan pembiayaan PTPTN. Sehinggakan ada pakcik-makcik di kampung bagaikan separuh histeria marahkan PR.

“Kalau takdak PTPTN macamana anak-anak nak sambung belajar? Siapa nak tanggung bila ibubapa tak ada duit? Ini (cadangan PR) semua mengarut, sengaja nak nafikan peluang anak bangsa belajar lebih tinggi!”, kata mereka.

Ada yang menerima putarbelit BN itu. Sedangkan yang mahu dihapuskan PR ialah dasar pinjamannya. Pembiayaannya tetap ada, cuma ditukar kepada biasiswa, bukannya meniadakan langsung institusi pembiaya pendidikan itu.

Namun isu PTPTN akhirnya menikam BN juga. Baru-baru ini tiba-tiba saja terlontar cadangan oleh seorang pak menteri untuk menyenaraihitamkan peminjam PTPTN yang gagal melunaskan hutang mengikut jadual sepatutnya. Ia secara tidak sengaja mengingatkan semula rakyat kepada tawaran dibuat PR dulu. Lalu ada yang berfikir, jika rakyat pilih PR sebagai kerajaan, sudah tentu tidak berbangkit lagi soal kemungkinan para peminjam itu disenaraihitamkan. Sekali lagi tindakan BN itu memberi kredit kepada cadangan pemerintahan PR.

Isu kenaikan harga minyak baru-baru ini juga sama. Ia bukan sahaja membuktikan BN gagal menepati janjinya untuk tidak menaikkan harga bahan bakar itu dalam masa terdekat, bahkan turut mengingatkan kembali rakyat kepada janji PR menurunkan harga minyak jika diberi peluang memerintah negara.

BN menakutkan rakyat kononnya negara akan bankrap jika harga minyak diturunkan. Rakyat percaya, lalu mereka memilih BN semula. Kini rasanya tidak sedikit rakyat yang mengundi BN dalam pilihan raya lalu, mula menggaru kepala yang tidak gatal. Kesan kenaikan harga petrol dan diesel semakin mencengkam hidup mereka. Hati mereka mengakui kebodohan sendiri kerana menolak tawaran terbaik dari PR dulu.

Jangan lupa betapa sambutan 16 September sebagai Hari Malaysia juga asalnya cadangan daripada PR. Meski pun ia pada awalnya dipertikai para pemimpin BN, tapi akhirnya diwajarkan dan dijadikan cuti umum.

Banyak lagi contoh yang boleh diutarakan sebagai membuktikan bahawa idea-idea pemerintahan PAS dan PR jauh lebih realistik dan menguntungkan rakyat. Manakala tindakan-tindakan pemerintahan BN menjadikan parti itu semakin tidak relevan dengan kehendak rakyat.

(Artikel ini adalah versi asal kepada versi terpotong yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1879, 17-20 Zulkaedah1434/23-26 September 2013 di halaman FOKUS F5 dengan tajuk "Wibawa Pakatan teruji, Umno makin daif")

Sunday, September 15, 2013

Kutiplah pengajaran, teruskan amal mulia



Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang memiliki segala kerajaan di langit mahu pun di bumi. Salawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Penghulu segala nabi dan rasul.

Edisi 17 ini dijadualkan menemui para pembaca sekitar penghujung Syawal/awal Zulkaedah 1434. Ini bermakna masyarakat negara kita, khususnya umat Islam, sedang melalui proses ‘penyesuaian’ hidup hasil sebulan berada di madrasah Ramadhan lalu. Tidak syak lagi, ada yang berjaya mengutip pengajaran positif melalui kehadiran bulan mulia penuh barokah itu.

Namun, seperkara amat nyata kelihatan di mana-mana kini ialah kembalinya semula fenomena kekosongan masjid dan surau, terutama di waktu-waktu utama (Zohor, Asar dan Isyak). Tiada lagi kelompok tadarus, sebelum atau selepas solat fardhu. Bahkan hampir tiada kelihatan lagi anggota jemaah yang tekun membaca al-Quran, sepertimana menjadi kelaziman sepanjang Ramadhan.

Ummah kembali ke dakapan dunia, kembali disibukkan dengan rutin hidup yang menuntut komitmen masa dan penumpuan. Barangkali itu suatu yang tidak dapat dielakkan. Pun begitu, diharapkan kesungguhan memenuhi tuntutan hidup itu tidak sampai mengabaikan kita daripada menyumbang kepada agama ini dalam kadar dan cara tersendiri.

Kita mungkin sudah tidak mampu memajam diri di masjid untuk ibadat-ibadat khusus, sepertimana yang telah kita lakukan ketika berpuasa itu, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh meneruskan sifat sabar yang terasuh kala itu. Kita mungkin tidak lagi dipilukan nasib sebilangan anggota masyarakat yang bakal menyambut Idulfitri dengan serba kekurangan, tetapi itu bukan bermakna semangat bersedekah dan menginfak harta pada jalan mulia tidak wajar diteruskan.

Sepertimana yang sering disebutkan, Islam itu luas. Maka ruang untuk setiap individu Muslim menyumbang kepada agama ini juga amat luas, seluas Islam itu sendiri.

Selaku medan penyebaran ilmu-ilmu Islam, kami juga amat menyandarkan sokongan dan dukungan saudara-saudari pembaca. Moga kita semua mendapat saham masing-masing dalam menyebarkan agama Allah ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 17 (September 2013) disiarkan dengan tajuk sama)

Said bin Jubair – rela syahid menentang pemerintah zalim

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
“Orang yang paling tahu tentang ilmu-ilmu Al-Quran adalah Mujahid, yang paling tahu tentang haji adalah ‘Atha’, yang paling tahu tentang hukum halal-haramnya suatu perkara adalah Thawus bin Kaisan, yang paling tahu tentang talaq adalah Said bin Al-Musayyib, dan yang paling mampu mengkombinasikan dan menguasai semua disiplin ilmu tersebut adalah Said bin Jubair.”

Demikian kata sanjungan Khushaif, salah seorang ulama, memperihalkan ketinggian ilmu Said bin Jubair rahimahullah. Kemampuan ilmunya dikatakan tiada tandingan di kalangan ulama sezamannya, bahkan di zaman selepasnya. Berkata Ibrahim An-Nakhaie, “Said (bin Jubair) tidak meninggalkan kemampuan intelektual kepada seseorang yang sebanding dengannya sesudah dia meninggal dunia.”

Beliau bahkan menjadi tempat rujuk para ulama yang sempat hidup sezamannya, termasuk di kalangan tabien dan para Sahabat. Salah seorang Sahabat, Ibnu Umar ra pernah diriwayatkan mengiktiraf keilmuan Said bin Jubair, walau pun Said pernah menimba ilmu daripadanya sendiri (menjadi murid Ibnu Umar).

Hal ini diceritakan dari Aslam Al-Munqiri, dengan katanya, “ada seseorang datang menghadap Ibnu Umar dan bertanyakannya mengenai ilmu faraid. Dia (Ibnu Umar) menjawab, “tanyakanlah kepada Said bin Jubair, kerana dia lebih tahu tentang ilmu berhitung daripada saya, dia sangat ahli di bidangnya dan dapat membahagi sesuai dengan ketentuannya (dalam pembahagian pusaka).”

Penghormatan serupa turut diberikan seorang lagi Sahabat Nabi saw, iaitu Ibnu Abbas ra. Diriwayatkan jika ada seseorang penduduk Kufah bertanya kepada beliau mengenai permasalahan agama, maka dia mengalihkannya kepada Said bin Jubair dengan katanya, “tidakkah di antara kamu ada Ibnu Ummu Ad-Duhama’ (Said bin Jubair)?”

Nama & kelahirannya
Nama penuhnya ialah Said bin Jubair bin Hisyam Al-Asadi Al-Walibi, Abu Muhammad, dipanggil pula dengan Abu Abdillah. Dia adalah seorang imam, al-Hafiz (yang hafaz banyak hadith dan juga hafaz Al-Quran), ahli tafsir dan salah seorang pejuang yang mati syahid menentang pemerintah yang zalim.

Tiada catatan tepat mengenai tarikh kelahirannya. Cuma andaian dapat dibuat berdasarkan beberapa fakta berkaitan. Antaranya apabila Said bin Jubair diriwayatkan pernah berkata kepada anak lelakinya, “ayahmu tidak akan ada lagi setelah berusia 57 tahun.” Mengambilkira tarikh beliau dibunuh ialah pada Syaaban tahun 95 Hijriyah, maka ada penulis mengira tarikh kelahirannya pada sekitar tahun 38 Hijriyah.

Adz-Dzahabi pula menegaskan bahawa Said bin Jubair lahir di zaman Abu Hasan Ali bin Abi Talib menjadi khalifah. Ada pula yang mengatakan, “dia berumur 49 tahun (ketika meninggal), jadi dia lahir pada tahun 46 Hijriyah.”

Guru dan muridnya
Said bin Jubair sempat menimba ilmu daripada sebilangan para Sahabat dan tabien. Beliau banyak meriwayatkan hadith daripada tokoh-tokoh ilmuan terkemuka di zamannya. Antara mereka ialah Anas bin Malik, Abdullah bin Az-Zubair, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar Al-Khattab, Abdullah bin Mughaffal, Adi bin Hatim, Abu Said Al-Ansori, Abu Musa Al-Asyaari, Abu Hurairah, Sayyidah Aisyah, Amr bin Maimun Al-Audi dan Add-Dhahak bin Qais Al-Fahri.

Beliau merupakan murid senior kepada Ibnu Abbas, terutama dalam menimba ilmu-ilmu hadith dan tafsir al-Quran. Tafsiran dan huraian beliau mengenai ayat-ayat al-Quran kerap dijadikan rujukan dan dipetik para ulama di dalam mengarang kitab-kitab mereka.

Kesungguhannya menyebarkan ilmu dimilikinya tidak dinafikan lagi. Hubaib bin Abi Tsabit pernah menceritakan, “Said bin Jubair berkata kepadaku, ‘sesungguhnya menyebarkan ilmu pengetahuan lebih aku sukai daripada aku perlu membawanya ke kuburku’.” Baginya, tanda-tanda kebinasaan bagi manusia ialah apabila para ulama telah dipanggil menghadap Allah SWT (meninggal dunia).

Ada pun anak-anak murid Said bin Jubair tersangatlah ramai. Antara mereka yang termasyhur ialah dua anak lelakinya sendiri, Abdul Malik dan Abdullah, Ya’la bin Hukaim, Ya’la bin Muslim, Al-Mughirah bin Syu’bah, Al-Qasim bin Abi Murrah, Talhah bin Musharrif, Adam bin Sulaiman, Abu Az-Zubair Al-Makki, Asy’ats bin Abi Asy-Sya’tsa, Hubaib bin Abi Tsabit dan Al-Hakam bin Utaibah.

Peribadatannya
Said bin Jubair adalah salah seorang wali dari wali-wali Allah SWT yang soleh dan dikabulkan doa-doanya. Kehidupan sehariannya yang senantiasa mengingati Allah (berzikir) dalam setiap perkara dilakukannya menyebabkan dirinya hampir kepada Allah.

Beliau pernah berkata, “sesungguhnya rasa takut itu hanyalah kepada Allah SWT, dan rasa takut anda itu hendaklah dapat menghalangi antara anda dan perbuatan maksiat, kerana itulah takut yang sebenarnya. Zikir adalah taat kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah, maka dialah orang yang berzikir kepada-Nya, dan barangsiapa yang tidak mentaati-Nya, maka dia bukanlah orang yang berzikir kepada-Nya, walau pun dia memperbanyak membaca al-Quran dan bertasbih.”

Hilal bin Khabab pernah meriwayatkan suatu peristiwa berjalan bersama Said bin Jubair untuk menziarahi kematian. Katanya, “selama dalam perjalanan dia (Said) banyak memberikan hukum-hukum agama dan peringatan kepada kami, hingga sampai di tempat kematian itu. Ketika sudah duduk, dia pun masih begitu hingga kami berdiri dan pulang ke rumah. Dia adalah seorang yang banyak berzikir kepada Allah SWT.”

Dari Nushaif pula, katanya, “aku melihat Said bin Jubair melakukan solat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim sebelum solat Subuh. Lalu aku mendatanginya dan melakukan solat di sampingnya. Kemudian aku bertanya tentang sebuah ayat al-Quran, tetapi dia tidak menjawabnya. Setelah selesai solat, dia berkata, ‘jika Fajar telah tiba, maka janganlah kamu berkata-kata selain berzikir kepada Allah, sampai setelah kamu melaksanakan solat Subuh’.”

Beliau amat memberati solat dan membenci seseorang yang tidak tenang dalam melakukan solat. Abdullah bin Muslim bin Hurmuz pernah menyebutkan, “aku tidak pernah melihatnya (Said) solat kecuali bagaikan batu yang kukuh (khusyuk).”

Beliau juga gemar berpesan kepada sahabat dan anak buahnya perihal menjaga solat. Umar bin Dzar berkata, Said bin Jubair pernah menulis surat kepada ayahnya yang berisi wasiat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah. Surat itu selanjutnya menyebut, “sesungguhnya kehidupan seorang muslim merupakan harta yang tak ternilai harganya. Pelajarilah ilmu faraid dan selalu ingatlah solat serta rezeki yang telah diberikan Allah SWT.”

Abu Syihab pula berkata, “di bulan Ramadhan Said bin Jubair melakukan solat Isyak, kemudian pulang sebentar ke rumahnya dan kembali semula ke masjid, lalu solat tarawikh bersama kami. Setelah itu melakukan solat witir 3 rakaat dan membaca doa Qunut yang panjangnya sama dengan membaca 50 ayat al-Quran.”

Di ketika lain Said pernah berkata, “janganlah kamu mematikan lampu pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, yang merupakan saat-saat tepat untuk beribadat.” Dia juga berkata, “bangunkanlah para pembantu kamu agar mereka makan sahur bersama kamu pada hari Arafah (ikut berpuasa sunat).”

Dari Al-Qasim Al-A’raj, dia berkata, “Said bin Jubair sering menangis pada malam hari (ketika solat malam) hingga penglihatannya rabun.” Dia (Said) juga pernah berkata, “andai hatiku sudah tidak mengingati kematian, nescaya aku bimbang hatiku sudah rosak.”

Kesyahidannya
Said bin Jubair dikenali sebagai seorang alim yang sangat membenci kezaliman dan perlanggaran hukum Allah. Pemerintah di zamannya ialah Al-Hajjaj bin Yusof Ats-Tsaqafi yang terkenal sangat zalim serta melakukan berbagai kerosakan terhadap agama dan masyarakat.

Apabila Ibnu Al-Asy’ats berkeputusan keluar memerangi Al-Hajjaj, Said bin Jubair ikut serta. Beliau malah menyeru kepada kaum muslimin, “perangilah mereka (Al-Hajjaj dan bala tenteranya) kerana kezaliman mereka dalam menjalankan pemerintahan, keluarnya mereka dari agama, kesombongan mereka terhadap hamba-hamba Allah, mereka menghapuskan solat dan merendahkan martabat kaum muslimin.”

Di dalam pertempuran yang berlaku di Dir al-Jamajim, pasukan penduduk mengalami kekalahan. Said bin Jubair lantas bersembunyi dan berpindah-pindah tempat di daerah-daerah pedalaman sekitar Mekah selama 12 tahun.

Adz-Dzahabi berkata, “waktu dia bersembunyi cukup lama. Peperangan dengan Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi pada tahun 82 Hijriyah. Mereka tidak dapat mengesan Said bin Jubair kecuali pada tahun 95 Hijriyah, tahun di mana Allah SWT juga membinasakan Al-Hajjaj dan para pengikutnya.”

Sebetulnya, Said bin Jubair sendiri yang akhirnya merelakan dirinya ditangkap. Abu Hushain menceritakan, “aku pernah melihat Said di Mekah, lalu aku berkata kepadanya, “sesungguhnya Khalid bin Abdullah (Datuk Bandar Mekah) telah datang dan aku tidak yakin kamu wahai Said akan selamat.” Dia menjawab, “demi Allah, aku telah melarikan diri (dari pemerintah zalim) sehingga aku merasa malu kepada Allah.”

Maka tertangkaplah Said bin Jubair di tangan Khalid bin Abdullah. Lalu beliau dibawa kepada Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi. Adz-Dzahabi berkata, “ketika Said mengetahui keutamaan mati syahid dan dia yakin akan dibunuh, dia tidak berkeluh-kesah. Jika tidak begitu, pastinya dia telah memilih untuk melakukan taqiyah, yang boleh dilakukannya (seperti yang dilakukan Asy-Sya’bi, sahabatnya dalam melepaskan diri dari hukuman Al-Hajjaj).”

Said ternyata tidak mahu menyelamatkan dirinya lagi. Dia malah berdoa agar dirinya menjadi orang terakhir dibunuh Al-Hajjaj dan bala tenteranya.

Dari Abu Saleh, dia berkata, “aku menemui Said bin Jubair ketika dia diajukan kepada Al-Hajjaj Ats-Tsaqafi. Kemudian, aku melihat seorang lelaki menangis, lalu Said berkata, ‘apa yang membuatmu menangis?’ Lelaki itu berkata, ‘musibah yang telah menimpa Tuan.’ Said berkata, ‘janganlah kamu memangis, dalam putusan Allah, ini memang pasti terjadi’.”

Selepas melalui soal jawab yang keras, Said bertegas tidak mahu berkompromi dengan tawaran diberikan Al-Hajjaj. Beliau lalu dibunuh, pada Syaaban tahun 95 Hijriyah.

Maka syahidlah Said bin Jubair. Kematiannya turut meninggalkan kesan sangat buruk terhadap Al-Hajjaj. Beliau sering dihantui mimpi ngeri di atas kekejamannya itu. Ibnu Uyainah berkata, “Al-Hajjaj tidak membunuh orang lagi setelah membunuh Said bin Jubair, melainkan seorang saja.”

Ternyata doa Said bin Jubair agar menjadi orang terakhir dibunuh Al-Hajjaj dimakbulkan Allah SWT.

- Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur. 2009.

(Artikel ini disiarkan di kolum ULAMA PEWARIS NABI, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 17 (September 2013) dengan tajuk sama)

Wanita sendiri tak hormati wanita lain?


Oleh: Mohd Nasir Awang


SAMBUTAN Hari Wanita 2013 mengetengahkan tema ‘Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera’. Walau pun agak terganggu dengan pemilihan perkataan ‘respek’ itu (apa salahnya digunakan istilah tulen Melayu seumpama ‘hormati’ atau lain-lain perkataan seertinya?), apa yang lebih penting ialah maksud dan mesej yang cuba diutarakan di sebaliknya.

Tema itu dikatakan membawa mesej penting supaya golongan wanita dihormati, selain mereka menghormati diri sendiri, dalam usaha kita mewujudkan sebuah masyarakat sejahtera di negara ini.

Dalam hal ini saya agak tertarik dengan penegasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, pada sambutan berkenaan di ibu negara, 25 Ogos lalu. Katanya, tema tersebut dipilih bagi meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat, terutama kaum lelaki mengenai perkongsian hak dan tanggungjawab dalam mewujudkan masyarakat progresif.

Beliau malah melontarkan pemahaman lebih luas, sekaligus memperbetulkan persepsi silap yang mungkin selama ini bersarang di dalam masyarakat, kononnya apabila bercakap soal menghormati wanita, pokok permasalahan hanyalah pada kaum Adam.

“Selain itu, tema ini dipilih untuk mengingatkan semua bahawa mesej ‘respek’ wanita ini bukan hanya ditujukan khas kepada kaum lelaki dalam konteks keganasan. Penghormatan terhadap wanita perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu wanita juga perlu menghormati diri mereka sendiri dan wanita lain”, akhbar memetik katanya.

Ya, memang benar. Pembicaraan soal menghormati wanita tidak sewajarnya difokuskan hanya terhadap sikap, pendirian dan tindakan kaum bapa. Kerap berlaku, golongan wanita sendiri sebenarnya yang gagal menghayati hakikat dialami kaum sejenis mereka. Mereka bahkan gagal menunjukkan penghormatan sepatutnya kepada wanita lain, terutama di kala berlaku sesuatu keadaan melibatkan percanggahan kepentingan antara mereka sendiri.

Ambil saja contoh kes-kes rumahtangga yang porak-peranda. Bukankah ada perkongsian hidup yang dibina atas dasar suka sama suka, cinta sehidup semati, kekasih awal dan akhir, tiba-tiba berubah menjadi “medan tempur”, sumpah-seranah dan ungkit-mengungkit antara pasangan bahagia itu?

Kita fokuskan saja perbincangan kita kepada kes-kes persengketaan antara suami-isteri sebegini yang didakwa berlaku hanya ekoran kehadiran “orang ketiga”. Cuba tanyakan, berapa banyak di antara kes sedemikian di mana “orang ketiga” itu adalah kaum lelaki? Sudah tentu tidak sukar diakui bahawa hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam kebanyakan kes, wanitalah yang menjadi “orang ketiga” itu, yang didakwa menjadi perosak kebahagiaan sebuah rumahtangga, bukan?

Kita lihat pula kes-kes poligami, yang kebelakangan ini nampaknya semakin menjadi kecenderungan, terutama di kalangan para asatizah dan ulama. Tanpa menafikan ada kes tertentu yang menatijahkan ketidakadilan terhadap mana-mana isteri, ia bukanlah alasan atau hujah untuk mana-mana pihak menafikan keharusannya. Ketahuilah bahawa Islam amat bertanggungjawab di dalam memberikan keizinan kepada kaum lelakinya beristeri lebih daripada seorang. Disertakan sama dalam syariat suci ini garis panduan yang cukup jelas berhubung hal itu.

Memang ada sang suami yang ‘bangang’, yang hanya tahu berkahwin ramai, tetapi tidak menghiraukan soal berlaku adil di antara para isteri. Namun, itu kesalahan individu terbabit dan tidak wajar dipersalahkan atas kecacatan syariat agama ini. Di samping itu, kita berharap suami yang ‘kurang asam’ sebegini menyedari kesilapan dan segera memperbetulkannya, jika dia tidak mahu dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan senget sebelah!

Keghairahan sebilangan pihak menyorot hanya sisi negatif dari isu poligami bagaimana pun kerap mendinding mereka dari melihat manfaat dan kebaikan tersembunyi di sebalik amalan itu. Sehinggakan kedapatan kes-kes tertentu di mana sang suami berkeputusan berbuat demikian di atas hasrat murni membela kaum Hawa yang “tidak terbela”, juga gagal mendapat sokongan kaum sejenis mereka.

Akuilah bahawa bukan semua lelaki berkahwin lagi itu semata-mata di atas dorongan syahwat atau kemaruk kebendaan. Bukankah di hadapan kita kedapatan kes-kes di mana suami kahwin lagi dengan ibu tunggal atau anak dara lanjut usia? Bahkan, dalam kes-kes tertentu jika dinilai pada rupa paras, isteri sedia ada jauh lebih ‘trang-tang-tang’ berbanding isteri baru.

Ertinya, jika mahu diterima secara positif, tindakan sang suami itu adalah untuk membantu wanita-wanita yang “tidak terbela” sebegitu. Ada ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai, tetapi terpaksa menanggung nafkah diri dan beberapa anak yang masih kecil. Begitu juga ada anak dara yang sudah menjangkau usia lewat 30-an atau 40-an, tetapi masih belum ada yang sudi hadir menemani hidupnya. Mereka ini memerlukan “pembelaan” sewajarnya.

Malangnya, apabila ada suami bertindak menyelamatkan keadaan, ramai isteri tidak berupaya merasionalkan “pelan kebajikan ummah” dilaksanakannya. Sekali lagi, kita berdepan dengan kes di mana kaum wanita sendiri yang tidak berupaya menghormati hak wanita lain untuk turut sama berkongsi kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini.

Dalam kes-kes lain, ada juga sesuatu isu yang diperjuangkan satu pihak untuk mengangkat dan menjaga martabat wanita, tetapi dibantah oleh kaum wanita sendiri.

Ingat lagi isu penguatkuasaan peraturan berpakaian menutup aurat terhadap pekerja wanita di restoran dan pusat-pusat membeli-belah oleh sebuah pihak berkuasa tempatan di sebuah negeri suatu ketika dulu? Begitu juga isu larangan mempamerkan wanita tidak menutup aurat di dalam mana-mana iklan di khalayak umum?

Bagi kita yang faham, kita akui menjadi tugas sebuah kerajaan Islam untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki.

Daya tarikan istimewa yang ada pada wanita tidak wajar disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Malangnya kecenderungan ke arah itu semakin berleluasa kini. Hal itu memaksa sesebuah kerajaan mengadakan peraturan bagi membendungnya.

Penguatkuasaan peraturan sebegitu baik bagaimana pun mengundang reaksi negatif beberapa pihak. Rata-rata yang membantah beranggapan peraturan berkenaan suatu prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Malah ada yang menyifatkannya sebagai mengarut dan tidak masuk akal.

Sekali lagi, pihak paling ke depan membantah usaha menjaga martabat dan kehormatan wanita ini ialah pertubuhan-pertubuhan wanita dan pemimpin wanita sendiri. Justeru, ada benarnya pendirian diambil Mak Menteri kita, bahawa wanita sendiri perlu “menghormati diri mereka dan wanita lain”.