Monday, February 10, 2014

Selepas 6 bulan, apa khabar Kuala Besut?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

TANGGAL 24 Januari lalu genaplah setengah tahun berlalunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, di Terengganu. Tempoh itu sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk rakyat di situ melihat “sepak mula” beberapa projek dijanjikan sepanjang kempen pilihan raya tersebut, terutama oleh Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah dan pemenangnya.

Pada PRK yang berakhir 24 Julai lalu itu, BN mengekalkan kerusi DunKuala Besut menerusi calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan catatan majoriti 2,592 undi. Beliau yang mendapat 8,288 undi menewaskan calon PAS, Azlan @ Endut Yusof a.k.a Che Long yang memperolehi 5,696 undi.
Meski pun menang, ia bukan kejayaan yang layak dibanggakan BN. Jumlah undi diraih calonnya merosot 521 undi berbanding undi diperolehi parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu. Begitu juga di pihak PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding dalam PRU-13 lalu.

Perbezaan kemerosotan itulah, yang lebih besar berlaku kepada undi PAS, membantu peningkatan majoriti kemenangan BN sebanyak 158 undi. Itulah saja satu-satunya penambahan angka di pihak BN dalam statistik PRK Kuala Besut. Sudah tentu ia bukannya suatu kejayaan yang boleh dibanggakannya.

Apatah lagi umum mengetahui betapa parti yang menguasai pemerintahan Pusat dan Negeri itu turun dengan segala kerahan tenaga, bantuan kewangan dan taburan segala macam janji, bantuan segera, projek segera dan sebagainya. Sehinggakan jumlah dicongak pada janji projek-projek ditawarkan sepanjang kempen tersebut melangkaui RM476 juta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun sebagai Timbalan Perdana Menteri merasmikan peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri empat tingkat, di Kampung Lay Out Tok Saboh.

Dengan kos pembinaan RM10.35 juta, projek itu dikatakan akan menjadi tempat tinggal 72 keluarga, termasuk 46 keluarga mangsa air pasang dan ombak besar di Dun berkenaan. Setiap unit bernilai RM100,000 itu akan diberikan kepada setiap keluarga secara percuma.

Melihatkan kesungguhan BN “memulakan” projek berkenaan, para pengundi Kuala Besut digambarkan seolah-olah akan memiliki pangsapuri itu dalam masa tiga atau empat bulan selepas itu. Kini, setelah enam bulan berlalu, sejauh manakah perjalanan pembinaan projek itu?

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula meluluskan pembinaan pasar nelayan di Jeti Kuala Besut, yang sekali gus menjadi pasar pertama seumpamanya di Terengganu. Menterinya yang turun menabur janji itu mengatakan kerajaan akan membina pasar dengan kos RM200,000 itu dalam masa terdekat.

Kini, setelah enam bulan berlalu, apakah sudah dimulakan proses pembinaan pasar tersebut? Di manakah tapaknya yang telah dikenalpasti? Ataukah ia sudah dianggap memadai dengan kewujudan pasar nelayan sedia ada di jeti LKIM di Seberang Kastam itu?

Perlu ditegaskan bahawa jeti sedia ada itu terletak di dalam Dun Kota Putera, dan bukannya Dun Kuala Besut. Lagi pun, urusniaga runcit oleh nelayan dan peraih di situ sudah pun wujud berdekad lamanya. Justeru ia tidak sepatutnya dikaitkan dengan janji BN dalam PRK Kuala Besut. Dalam ertikata lain, janji membina pasar nelayan masih tinggal janji!

Penduduk Kuala Besut, yang sebahagiannya merupakan pesawah dan petani, turut dijanjikan dengan pembinaan Empangan Lowvier di Pengkalan Nangka. Seluas lebih 20 hektar sawah di kawasan tersebut sudah terbiar sekian lama akibat ketiadaan sistem pengairan yang diperlukan untuk tanaman padi.

Dalam kempennya BN menyerlah keprihatinannya yang sangat tinggi terhadap nasib para pesawah terbabit. Seolah-olah tergambar ketika itu bahawa dalam masa tidak sampai sebulan selepas BN menang, sistem pengairan di situ akan dibalikpulih dan sawah terbiar itu akan dapat dihidupkan semula selewatnya bermula musim menanam bulan lalu.

BN mengumumkan peruntukan segera untuk projek tersebut sebanyak RM35 juta. Kini setelah enam bulan berlalu, jangan dikatakan ia sudah siap, riak-riak awal bagi membayangkan projek itu akan dimulakan pun tidak kelihatan. Apakah pesawah-pesawah di Pengkalan Nangka belum sedar mereka menjadi mainan janji palsu BN lagi?

Ya, Masjid Terapung di Pulau Perhentian dengan peruntukan RM12 juta sudah hampir siap. Tetapi pembinaannya sebenarnya sudah pun bermula lama sebelum PRK dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam senarai janji kempen BN.

Begitu juga dengan projek pembinaan Sekolah Menengah Alor Peroi bernilai RM28 juta. Ia juga dikatakan telah pun diluluskan, dan tapaknya telah dikenalpasti, lama sebelum ditakdirkan berlakunya PRK di Kuala Besut.

Ada pun projek mendalamkan muara Sungai Besut yang diisytiharkan peruntukan sejumlah RM250 juta adalah suatu yang luar biasa. Ia dikatakan memang pengumuman yang semata-mata dibuat bagi memenangi hati para pengundi Kuala Besut, khususnya golongan nelayan.

Bagi mereka ini, Sungai Besut adalah nadi kehidupan mereka. Kecetekan muara sungai itu adalah “musuh tradisi” bot-bot mereka sepanjang tahun. Justeru, janji mengadakan projek mega memastikan tahap kedalaman muara yang menjadi laluan harian mereka itu amat menakluki hati mereka.

Malang lagi, setakat ini “sepak mula” projek besar itu belum juga berlaku. Ya, sudah ada “kapal korek” yang menyedut pasir di muara beroperasi beberapa bulan lalu. Tetapi menurut para penduduk di situ, kerja-kerja itu hanyalah penerusan jadual asal. Sejak puluhan tahun lalu, kehadiran “kapal korek” itu sudah lumrah di setiap hujung tahun. Ia bukanlah projek RM250 juta yang dimaksudkan pemimpin tertinggi BN semasa kempen PRK Kuala Besut dulu.

Enam bulan bukanlah tempoh yang singkat. Macam-macam sudah boleh berlaku dan dilakukan jika benar ia mahu dilaksanakan. Kalau segala projek diumumkan itu memang “benar-benar mahu dilaksanakan” dan bukannya “sekadar janji memenangkan BN”, maka gerangan apakah yang menangguhkan pelaksanaannya?

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1919, 10-13 Rabiul Akhir 1435/10-13 Februari 2014 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)

Thursday, February 6, 2014

Ustaz Harun sinonim agenda tarbiyah

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

(Bahagian Ketiga & Akhir)

SEPERTIMANA yang telah disebutkan sebelum ini (rujuk Bahagian Kedua), penglibatan Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib di dalam hierarki parti secara lebih serius disedari bermula hanya selepas kejayaan beliau merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir lewat Pilihan Raya Umum (PRU) 1982.

Orang yang dikatakan bertanggungjawab “memperkenalkan” beliau ke dalam organisasi PAS ialah tidak lain daripada sahabat karib beliau, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sebagai permulaan, Almarhum diamanahkan sekurang-kurangnya dua jawatan setiausaha kepada dua unit organisasi parti diterajui Tuan Guru sendiri ketika itu, iaitu Badan Perhubungan PAS Terengganu dan Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat.

Ustaz Harun juga mula terlibat aktif di dalam Dewan Ulama Negeri dan Pusat. Penonjolan beliau bagaimana pun paling dirasai menerusi peranan sangat berkesan di dalam agenda-agenda tarbiyah, sama ada di peringkat Pusat mahu pun Negeri.

Kebetulan pula era 80-an itu merupakan permulaan gelombang kebangkitan semula Islam serata dunia. Malaysia tidak terkecuali menerima percikan gelombang tersebut. Ceramah dan aktiviti PAS mendapat sambutan amat menggalakkan. Majlis-majlis kuliah agama pula tumbuh macam cendawan selepas hujan. Manakala aktiviti-aktiviti tarbiyah yang lain seperti usrah, tamrin, mukhayam dan daurah mula mendapat perhatian ramai.

Kesedaran untuk kembali menghayati Islam di dalam masyarakat menuntut PAS tampil dengan modul atau sukatan tarbiyah yang lebih realistik dan tersusun. Kepulangan Almarhum Ustaz Harun ke tanahair pada masa itu bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ buat PAS. Keilmuan dan pengalamannya di dalam merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiyah sejak di zaman universiti banyak membantu parti mencapai hasrat itu.

Dengan penggemblengan tenaga bersama sebilangan pemimpin lain yang telah sedia ada di dalam parti, dibantu tuntutan ahli dan pendukung PAS yang amat dahagakan tarbiyah, setiap aktiviti pembinaan dalaman parti dikatakan sangat berjaya pada dekad itu.

Ustaz Harun juga dianggap idealog (pelopor idea) tarbiyah nizomiyah (pendidikan berinstitusi) secara tersusun di dalam PAS, lebih-lebih lagi di negerinya Terengganu. Di bawah teraju dan tunjukajar beliau tertubuhnya Maahad Darul Quran (MDQ) di Masjid Rusila, sebagai sebuah institusi pendidikan Islam peringkat menengah yang menjadikan ilmu al-Quran sebagai teras pengajian.

Dalam beberapa tahun itu juga (akhir 80-an) bercambahnya sekolah-sekolah rendah Islam di hampir setiap kawasan di Terengganu. Ia bermula dengan penubuhan Madrasah Ibtidaiyah Darut Taqwa di Pekan Batu Enam, disusuli Darus Salam di Losong dan Darul Ehsan di Kubang Lembek. Walau pun ketiga-tiga adyar ini terletak di daerah Kuala Terengganu, mereka sebenarnya berada di bawah pengurusan tiga kawasan parlimen berbeza, iaitu masing-masing Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Di Kemaman turut diwujudkan Darut Taqwa, manakala di Besut ditubuhkan Darul Islah. Kesemua madrasah ini dinaungi Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, ketika itu di bawah teraju Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar. Terbaru ialah penubuhan Madrasah Darul Iman di kawasan Marang. Manakala dua lagi kawasan iaitu Dungun dan Setiu setakat ini belum merealisasikan program ini.

Bagi memenuhi tuntutan kesinambungan pendidikan aliran Islam ini, ditubuhkan pula Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah (KUDQI) di Kubang Lembek. Seperti MDQ, KUDQI juga dianggap sebagai “brainchild” Almarhum Ustaz Harun. Institusi pendidikan pra-universiti ini diwujudkan terutama bagi menampung keperluan lepasan MDQ sebelum melangkah ke universiti-universiti, khususnya di Timur Tengah.

Sehingga kini sudah ramai pelajar lepasannya berjaya melanjutkan pelajaran ke Jordan, Mesir, Syria, Yaman dan United Kingdom, selain universiti-universiti tempatan. Manakala sebahagian besar mereka di masa sama menjadi pendukung dan petugas parti yang sangat komited dan memiliki asas kefahaman tarbiyah harakiyah yang mantap.

“Itulah teras utama yang sering ditanam dan ditekan oleh Almarhum Ustaz (Harun Taib) di dalam tarbiyahnya kepada kami. Bahawa anak-anak didiknya mesti menjadi pendukung dan petugas parti yang iltizam, jangan sekali-kali tinggalkan perjuangan,” ujar Haji Zakaria Mohamad, 51.

Ahli perniagaan yang berpengalaman berusrah bersama Almarhum saban minggu sejak hampir 30 tahun lalu ini tidak dapat menyembunyikan perasaan sayunya apabila diminta komennya mengenai Ustaz Harun. Baginya Almarhum merupakan seorang murabbi yang sangat hebat dan kehilangannya sukar digalang-ganti.

Menurutnya, komitmen Almarhum terhadap agenda tarbiyah sangat tinggi, sehinggakan di kalangan anak-anak didiknya yang rapat dengannya pun tidak dapat memastikan berapa jumlah unit usrah yang dikendali dan diterajui Ustaz Harun.

“Ia (jumlah unit usrah) terlalu banyak, tak dapat nak kira. Kebanyakannya melibatkan golongan terpelajar, kalangan penjawat awam dan profesional”, sambung Zakaria lagi.

Bahkan, katanya terdapat sekurang-kurangnya dua unit usrah dikendalikan Almarhum yang khusus melibatkan golongan korporat dan profesional sahaja.

Idea tarbiyah nizomiyah yang telah dilaksanakan dengan jayanya di Terengganu turut dikembangkan ke peringkat Pusat. Di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat ditubuhkan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) pada 1994. Institusi latihan yang beroperasi di Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini ditubuhkan bertujuan memberikan latihan perkaderan, kepimpinan dan dakwah secara nizomiyah kepada para pemimpin dan ahli PAS.

Di antara program ditawarkan ialah pengajian Islam, bahasa dakwah, pengurusan organisasi dan kefahaman visi perjuangan PAS.

Penubuhan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu juga dikatakan turut memanfaatkan pandangan dan peranan yang tidak sedikit oleh Almarhum Ustaz Harun. Pendekata, seluruh hidupnya yang diwakafkan kepada perjuangan ini amat sinonim dengan agenda-agenda tarbiyah di dalam parti ini. Sekalung al-Fatihah buat Almarhum!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1918, bertarikh 7-9 Rabiul Akhir 1435/7-9 Februari 2014 di ruangan FOKUS F21 dengan tajuk sama)

Saturday, February 1, 2014

Ustaz Harun jadi taruhan 9 pilihan raya


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

(Bahagian kedua)

PILIHAN Raya Umum 1978 merupakan “medan perang” pertama disertai Almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib. Beliau menjadi taruhan PAS bertanding di DUN Manir, berdepan dengan calon BN, Ismail bin Yusof. Keputusannya bagaimana pun memihak kepada Ismail. Calon BN itu mengutip 3,112 undi, berbanding Harun yang mendapat 2,877 undi. Keputusan itu memberikan kelebihan kepada Ismail sebanyak 235 undi.

Setelah berada di tanahair buat beberapa ketika, Harun berasa terpanggil untuk kembali semula ke Al-Azhar bagi menyiapkan tesis PhD-nya dalam bidang Undang-undang Antarabangsa. Belum sempat tesis itu dibentangkan, beliau sekali lagi dipanggil pulang oleh PAS untuk memikul tugas berat memenangkan perjuangan Islam lewat Pilihan Raya Umum 1982.

Sekali lagi Ustaz Harun mengambil tanggungjawab bertanding di DUN Manir. Kali ini beliau berdepan pula dengan Jamaluddin @ Sulaiman bin Jusoh, bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang menjadi calon BN. Harun berjaya menewaskan pencabarnya, sekaligus merampas kerusi DUN Manir dari penguasaan BN, dengan majoriti yang memberangsangkan, iaitu 932 undi. Harun mendapat 4,134 undi, manakala Jamaluddin mengutip 3,202 undi.

Kejayaan itu turut memberikan tempat kepada Ustaz Harun dalam hierarki parti. Beliau dilantik oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, dan turut memainkan peranan penting dalam Dewan Ulama Negeri, serta menerajui kawasannya, Hulu Terengganu.

Di peringkat Pusat pula beliau memainkan peranan utama dalam aspek pentarbiyahan ahli-ahli PAS seluruh negara. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, yang diterajui oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri.

Peranan Ustaz Harun semakin menyerlah di dalam parti apabila kemudiannya beliau turut terpilih menduduki saf utama kepimpinan PAS di peringkat Pusat. Selain menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, beliau juga adalah AJK Dewan Ulama PAS Pusat. Penghargaan paling besar baginya ialah apabila dilantik menganggotai Majlis Syura Ulama PAS, iaitu badan consultative tertinggi dalam PAS.

(Gambar: Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS berehat seketika selepas berjalan kaki bersama ribuan hadirin sewaktu proses pengebumian jenazah Almarhum Ustaz Harun Taib di Manir, 25 Januari 2014)

Pilihan Raya Umum 1986 menyaksikan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya DUN dan juga Parlimen di seluruh negara. Secara taktikal langkah itu banyak menguntungkan parti pemerintah, kerana ia diolah sedemikian rupa bagi mengimbangi kekuatan parti pembangkang. Semua kawasan yang menjadi kubu kuat PAS dipecah-pecahkan bagi memberi keselesaan kepada BN. Dalam pilihan raya itu, Ustaz Harun sekali lagi bertanding di DUN Manir.

Persempadanan semula itu nyata memberikan kesan besar ke atas jumlah undi yang diperolehi setiap calon. Ustaz Harun mengutip hanya 2,810 undi, suatu kemerosotan ketara berbanding lebih 4,000 undi pada pilihan raya umum sebelumnya. Lawannya Awang Abu Bakar bin Sulong memungut 2,918 undi. Ustaz Harun tewas dengan majoriti yang sangat kecil, iaitu hanya 108 undi.

Tiga tahun selepas itu, April 1989, berlaku kematian ke atas ADUN Teluk Pasu, Ismail bin Yusof. Bagi menghadapi BN dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu, PAS sekali lagi memilih Ustaz Harun Taib sebagai calon. Ustaz Harun pun sekali lagi terpaksa berdepan dengan tokoh agama Umno, setelah pernah disuakan dengan Pengarah YIT pada Pilihan Raya Umum 1982. Lawannya kali ini ialah bekas Kadhi Besar Terengganu, Haji Abdul Rahman bin Muhammad.

Suasana pilihan raya kecil itu menjadi bertambah hebat dan meriah dengan kehadiran bekas-bekas tokoh Umno berkempen di pihak PAS. Mereka yang baru sahaja terserkah daripada Umno ekoran perbalahan dalaman yang memuncak dalam pemilihan kepimpinan parti itu pada tahun 1987, berkempen habis-habisan untuk ‘mengajar’ BN dan memenangkan PAS.

Dalam pilihan raya umum sebelum itu, Allahyarham Ismail mengalahkan calon PAS, Ustaz Mahmood bin Sulaiman dengan majoriti 776 undi. Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu pada Jun 1989 itu bagaimanapun menyaksikan kejayaan cemerlang PAS menundukkan BN, dengan majoriti 141 undi.

Setahun kemudian berlangsung pula pilihan raya umum. Ustaz Harun diamanahkan oleh parti untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN. Di Parlimen Hulu Terengganu, Ustaz Harun berdepan dengan Datuk Alias bin Ali, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Alias memungut 15,443 undi, manakala Harun memperolehi 12,931 undi. Itu bermakna Harun tewas kepada Alias dengan majoriti 2,512 undi.

Di DUN Manir, keadaan sebaliknya berlaku. Ustaz Harun berjaya merampas kembali kerusi tersebut daripada BN. Calon BN, yang juga penyandangnya, Awang Abu Bakar Sulong tewas dengan majoriti 423 undi.

Pilihan Raya Umum 1995 sekali lagi menyaksikan Ustaz Harun bertanding di kedua-dua kerusi yang sama. Keputusannya juga sama, iaitu berjaya mempertahankan kerusi DUN, tetapi masih belum berjaya menawan kerusi Parlimen. Di Parlimen Hulu Terengganu, Ustaz Harun berdepan dengan Mustafa bin Muda (BN) dan tewas dengan majoriti 2,759 undi. Manakala di DUN Manir pula beliau dicabar oleh Shamsudin bin Sulong. Shamsudin memperolehi 3,726 undi berbanding Harun yang memungut 4,091 undi, sekaligus memberi kemenangan kepada Harun dengan majoriti 365 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10, Ustaz Harun sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Manir, iaitu untuk penggal keempat bagi dirinya. Beliau yang sekali lagi berdepan dengan Shamsudin, menang selesa dengan majoriti 1,916 undi. Shamsudin mendapat 3,291 undi, manakala Harun mengutip 5,207 undi.

Pada 2 Disember 1999, Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan nama Yang Berhormat Ustaz Haji Harun bin Taib sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau diamanahkan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah.

Pilihan Raya Umum 2004 merupakan titik hitam dalam sejarah PAS, khususnya di Terengganu. Parti itu bukan sahaja kehilangan kerajaan, malah hampir keseluruhan calon dipertaruhkannya mengalami kekalahan. PAS hanya mampu bertahan di empat kerusi DUN. Salah satu kerusi itu ialah Manir menerusi Ustaz Harun. Beliau memperolehi 4451 undi, berbanding calon BN, Wan Sagar Wan Embong yang mendapat 4,141 undi. Majoriti 310 undi.

Prestasi PAS sedikit meningkat pada PRU 2008, apabila menambah bilangan kerusi DUN kepada lapan. Bagai diduga Ustaz Harun mengekalkan penguasaan PAS di Manir. Beliau memungut 5336 undi, manakala Wan Sagar mengutip 4,904 undi. Majoriti 432 undi.

Setelah menggalas tanggungjawab parti sebanyak sembilan kali bermula 1978 (termasuk PRK 1989), tiba masanya untuk Almarhum menyerahkan tugas kepada orang lain pula. Dikatakan pihak pentadbir DUN Manir sendiri yang mendesak agar anak beliau yang sedang menuntut di Australia, Hilmi, pulang meneruskan legasi perjuangannya di kawasan itu. Maka lewat PRU 2013, kerusi DUN Manir diambilalih pula oleh anaknya itu. Beliau menang dengan majoriti 588 undi.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1917, 3 Rabiul Akhir 1435/3 Februari 2014 di ruanga 'F22 KOLUMNIS' sisipan Fikrah dengan tajuk serupa)