Sunday, March 16, 2014

BN Terengganu akui bina masjid kerana projek


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

Akhirnya, Barisan Nasional (BN) Terengganu memperakui bahawa pembinaan sebegitu banyak masjid di negeri itu oleh kerajaan pimpinannya bukan kerana memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Setelah hampir sedekad PAS mempersoalkan keghairahan luar biasa kerajaan negeri membina dan terus membina masjid di serata negeri, kini baru BN mengiyakan bahawa memang pembinaan itu lebih didorong agenda politik pemimpinnya ketika itu. Kenyataan terbuka seorang anggota Exco kerajaan negeri dua minggu lalu bagaikan menempelak perancangan tidak teliti itu.

Terengganu memang memiliki jumlah masjid yang agak banyak, mungkin antara negeri paling banyak masjid di negara ini. Bahkan, jika dinisbahkan kepada jumlah penduduknya, kemungkinan untuk negeri itu mengungguli senarai nisbah terkecil penduduk berbanding jumlah masjid amatlah cerah.

Menurut sumber Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), jumlah masjid direkodkan pihaknya ialah 498 buah, manakala surau 1,838 buah. Itu tidak mengambilkira masjid dan surau persendirian yang jumlahnya juga bukan kecil.

Masjid-masjid di Terengganu, terutama yang dibina selepas 2004, kebanyakannya sengaja dibina gah dan indah, luaran dan dalamannya.

Keghairahan menambah bilangan masjid dalam masa singkat di awal BN mengambilalih semula kerajaan negeri daripada PAS sedekad lalu amat terserlah. Ia bukan sekadar agenda pemulihan atau mengemaskini pentadbiran dan pengurusannya, malah dijadikan agenda utama kerajaan negeri. Ia diproklamir ke serata negeri dan dijadikan salah satu slogan yang diratib berulangkali, bukan sahaja oleh para pemimpin dan pendukung BN, malah oleh menteri besar ketika itu sendiri.

Tidak cukup sekadar diuar-uarkan lewat media rasmi kerajaan dan media arus perdana, rakyat dipastikan tidak terlepas “memuji BN” atas tindakan yang kononnya membuktikan keprihatinan parti itu menegakkan syiar Islam. Maka, dapat dilihat di serata negeri ketika itu papantanda-papantanda yang sengaja didirikan dengan penuh gah di tempat-tempat strategik di tepi jalan memberitahu agenda “satu Dun satu masjid”.

BN menjadikan suatu kemestian bagi kerajaan negeri pimpinannya untuk membina sebuah masjid baru untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun). Bermakna, dalam tahun pertama pemerintahannya, dirancang dan dimulakan pembinaan paling kurang 32 masjid baru serata negeri.

Rakyat mempersoalkan apa perlunya dibina masjid baru di beberapa qaryah. Sedangkan masjid lama masih relevan dengan keperluan masyarakat setempat, sama ada dari segi struktur bangunan mahu pun kapasitinya.

Bahkan, ada juga masjid baru dibina di lokasi kurang strategik dan menjadi alasan tidak dikunjungi para jemaah. Hal ini jelas dapat dilihat antaranya dalam kes Masjid Lak Lok, Besut. Di mana hingga kini selepas beberapa tahun siap dan digunakan, masjid baru gagal menarik kehadiran jemaah setempat. Sebaliknya, mereka lebih selesa terus berjamaah di masjid lama yang lebih mudah dikunjungi dan masih “lega” untuk memuatkan hadirin. Hanya solat Jumaat dibuat di masjid baru.

Kebanyakan pembinaan masjid baru pula mengutamakan keindahan rekabentuk dan dekorasi, sesuatu yang tidak sepatutnya dilebih-lebihkan. Sedangkan sepertimana yang sering diluahkan rakyat, usaha mengimarah dan memakmurkan masjid-masjid itu tidak seimbang dengan kesungguhan menghiasinya. Akhirnya, kebanyakan masjid lesu dan sunyi dari aktiviti. Manakala jumlah anggota jemaah hariannya kadang-kadang tidak melebihi jumlah tiang masjid.

Sepuluh tahun PAS mempersoalkan keghairahan BN dalam hal itu. Bahawa selain pembinaan masjid-masjid itu tidak mengambilkira keperluan sebenar qaryah terbabit, ia juga dihidu mempunyai agenda politik “mengenyangkan tembolok” para kontraktor kroni pemimpin tertentu BN ketika itu.

Namun, sepuluh tahun itu juga PAS diperlekehkan kembali oleh BN. Kononnya pemerintahan singkatnya selama sepenggal (1999-2004) gagal menjulang syiar Islam, antaranya kerana tidak mampu membina banyak masjid.

BN sebaliknya dengan angkuh mendakwa “lebih cakna kepada Islam” apabila membuktikan kesungguhan membina sebegitu banyak masjid di serata negeri.

Tanpa diduga, sebuah akhbar harian edisi Terengganu awal bulan ini membongkar isu ‘Masjid Gah Tapi Suram”. Terjahan media itu bagai memaksa pemimpin kerajaan negeri memperakui fenomena tersebut.

“Kita tidak lagi bina (masjid) berdasarkan “satu masjid satu Dun”, tetapi berdasarkan kajian dari sudut keperluan jemaah di kawasan terbabit. Kalau keperluannya hanya untuk 500 orang, kita tidak akan bina untuk 1,000 orang”, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Nah! Bukankah itu membenarkan dakwaan PAS sejak sedekad lalu? Lebih mengejutkan ialah apabila Exco sama turut “memperakui” bahawa ada sebilangan masjid yang dibina di atas dasar memberikan projek kepada pihak tertentu semata-mata.

“Kita mahu pastikan ia diimarahkan semaksimum mungkin dan kita tak akan buat masjid atas sebab memerlukan projek. Kita akan buat atas keperluan”, tambahnya lagi.

Menurutnya, langkah tersebut berbeza dengan kerajaan sebelumnya yang mementingkan keindahan binaan, selain tidak mengkaji keperluan sebenar di kawasan terlibat dan ada kalanya hanya untuk memenuhi permintaan pihak tertentu (kontraktor kroni?)

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1929, 15-17 Jamadil Awal 1435/17-20 Mac 2014 di ruangan F8 FOKUS dengan tajuk serupa)

Saturday, March 15, 2014

Doakan kebaikan Shalwati-Azizul Raheem


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SOLAT adalah tiang agama. Demikian mafhum hadith Rasulullah saw yang sangat masyhur. Justeru, seorang muslim yang mendirikan solat dianggap mendirikan agamanya. Sebaliknya, sesiapa yang mengabaikan kewajiban solat samalah seperti meruntuhkan agamanya.

Banyak sekali ayat al-Quran dan hadith Baginda saw yang menerangkan tuntutan ke atas umat Islam menunaikan solat. Pujian dan sanjungan agama terhadap orang yang melaksanakan rukun Islam kedua ini juga banyak dirakamkan dalam dua sumber hukum tertinggi agama itu.

Tidak kurang juga diperturunkan amaran keras dari Allah dan Rasul-Nya ke atas perbuatan mengabaikan solat. Selain mafhum hadith dicoretkan di atas banyak lagi hadith yang meletakkan solat sebagai batas pembeza antara iman dan kufur.

Bahawa meninggalkan solat dengan sengaja menjadikan seorang muslim itu kafir dan tercela. Ini kerana, berbeza dengan rukun Islam lain, solat tidak ada uzur samasekali untuk ditinggalkan. Wa imma sakit atau bermusafir, yang mengharuskan seorang muslim untuk meninggalkan puasa dan haji contohnya, umat Islam tetap tidak terlepas dari kefardhuan solat.

Sebab itu Islam memperincikan kaifiyat solat untuk orang sakit. Walau pun qiyam (berdiri tegak) itu asalnya antara tuntutan mendirikan solat, mereka yang tidak mampu berdiri dibolehkan solat secara duduk. Yang tidak mampu bangun pula disuruh solat secara berbaring. Bahkan, yang tidak mampu menggerakkan tangan sekali pun, tetap diwajibkan solat walau pun hanya dengan menggunakan isyarat mata.

“Keringanan” serupa disyariatkan juga kepada mereka yang musafir, termasuk “hadiah” dalam bentuk solat jamak dan qasar. Sekira-kira tiada alasan lagi bagi seorang muslim untuk menidakkan kewajiban solat ini.

Mengambilkira ketegasan Islam agar umatnya menjaga solat, maka agama ini menetapkan bahawa proses asuhdidik untuk seorang muslim memahami tanggungjawab paling berat ini perlu dimulakan sedari usia mumbang lagi. Hal ini terkandung di dalam hadith Rasulullah saw bermaksud:

“Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila dia berumur tujuh tahun, dan apabila sudah sampai 10 tahun, maka pukullah dia atas solat (yang dia tinggalkan). (HR Abu Daud)

Dalam hal ini saya tersentuh dengan komentar tegas Imam Habib Abdullah Haddad di dalam kitabnya Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab sangat besar bagi ibubapa memastikan anak-anak mereka tidak membesar bersama tabiat memandang ringan atau mengingkari perintah mendirikan rukun agama ini. Berikut saya petik sebahagian coretan beliau:
“Jika wajib anda (para bapa) memelihara sembahyang dan haram melalaikannya, maka wajib juga anda menganjurkan anak-isteri anda dan sesiapa di dalam tanggungan anda untuk mendirikan solat, dan jangan berikan apa-apa uzur pun untuk meninggalkannya.

“Siapa yang tidak patuh kepada perintah sembahyang itu, maka hendaklah anda ancam dan kerasinya. Hendaklah anda marah terhadapnya dengan sesangat marah, lebih dari marah anda jika ia merosakkan hartabenda anda. Jika anda tidak lakukan seperti itu, nescaya anda akan dikira sebagai orang yang meringankan hak-hak Allah, atau orang yang memandang ringan terhadap agama Allah.

Ulama besar ini malah menyifatkan orang yang meninggalkan solat itu sebagai “SYAITAN”, justeru mengesyorkan agar umat Islam menyisih diri daripada orang sebegini. Saya memetik tulisannya:
“Jika sesudah anda marah dan anda kerasi, ia masih juga tidak mahu sembahyang, malah menentangmu, maka hendaklah anda jauhkan diri daripadanya, kerana ia adalah SYAITAN, tidak ada guna dan tidak ada berkat padanya, haram menurutkan kemahuannya dan haram bercampur-gaul dengannya. Sepatutnya ia ditentang dan diputuskan hubungan, kerana ia telah menjadi orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya.”

Ya, sangat keras celaan Islam terhadap orang yang tidak solat, bukan? Bahkan, sangat tegas juga herdikan kepada ibu atau bapa yang membiarkan anak-anak membesar tanpa menghayati kewajiban solat ini.

Sebab itu saya kira ramai di kalangan kita amat tersentuh dengan kes menimpa pasangan Malaysia di Sweden baru-baru ini, yang ditahan dan didakwa di mahkamah negara itu atas tuduhan memukul anak-anak mereka yang tidak solat. Di bawah undang-undang negara itu, perbuatan sedemikian dianggap suatu kesalahan kerana melanggar integriti seseorang.

Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal, didakwa melakukan kesalahan itu secara berulang antara 15 Disember 2010 hingga 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dan suaminya ditahan reman sejak 18 Disember lalu atas tuduhan asal memukul tangan seorang daripada anak lelakinya kerana tidak bersolat. Kertas pertuduhan yang dikeluarkan mahkamah pada 10 Februri lalu pula memetik keempat-empat anak mereka dipukul dengan objek, antaranya pengangkut baju, kayu dan tali pinggang.

Semua anak mereka, Aishah, 15, Ammar (12), Adam (11) dan Arif (tujuh) dijaga oleh ibu saudara mereka di Kelantan selepas dibawa pulang ke tanah air, 31 Januari lalu. Sebelum itu, sejak penahanan ibubapa mereka, empat beradik itu ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden.

Kes ini mendapat perhatian umum. Berbagai pihak telah melontarkan pandangan masing-masing. Ada yang turut mengkritik dan menyalahkan pasangan ini, konon atas anggapan mereka melakukan penderaan terhadap anak-anak.

Namun lebih ramai yang bukan sahaja bersimpati, malah menganggap apa yang dibuat mereka adalah kebiasaan sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai ibubapa muslim. Bahkan pendirian itu turut dikongsi abang Shalwati, Badrul Hisham Makhzan.

“Dalam budaya kita, tindakan memukul tangan apabila disuruh sembahyang adalah kebiasaan dan sekiranya tidak dilakukan demikian, masyarakat menganggap kita melakukan kesalahan kerana tidak bertindak supaya anak sembahyang”, katanya, sebagaimana dipetik akhbar harian, 11 Februari lalu.

Beliau mengakui adiknya (Shalwati) seorang ibu dan guru yang baik dan begitu sayang kepada anak-anaknya.

Sehingga rencana ini ditulis, perbicaraan yang dijangka berlangsung selama 10 hari belum bermula. Ketika rencana ini dibaca, kemungkinan keputusannya telah diketahui. Ia mungkin memihak kepada pasangan Malaysia itu, mungkin juga sebaliknya.

Namun, menurut undang-undang negara itu juga, jika pun didapati tidak bersalah atas tuduhan tadi, pasangan itu tidak pula secara automatik boleh mendapatkan semula anak-anak mereka. Mereka perlu membuat permohonan khusus kepada mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan itu.

Justeru, ada baiknya kita sama-sama doakan semoga Allah Ta’ala mempermudahkan segala urusan itu buat pasangan Shalwati-Azizul Raheem!

(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah Edisi 22 (Mac 2014) di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)

Thursday, March 6, 2014

Hudud Terengganu jadi rujukan Brunei?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

Diakui atau tidak, pemerintahan singkat PAS di Terengganu (1999-2004) telah membuktikan kesungguhan parti itu mendaulatkan hukum dan peraturan menepati syariah. Biar pun hanya berpeluang menerajui kerajaan sepenggal sahaja, ia telah memanfaatkan sepenuhnya kemenangan bergaya itu untuk menggubal, melulus dan mewartakan beberapa hukum dan peraturan sepertimana dituntut Islam.

Di antara legasi terpenting kerajaan PAS Terengganu ialah kejayaannya mengembalikan kedaulatan sumber hukum Islam ke dalam undang-undang tubuh negeri. Tarikh 24 April 2003 melakar sejarah bagi rakyat negeri itu apabila sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) (Pindaan) 2003. Ia bertujuan mendaulatkan al-Quran, as-Sunnah, ijma ulama dan qiyas sebagai sumber rujukan hukum tertinggi bagi negeri itu.

Lebih mendapat perhatian, bagaimana pun, ialah pewartaan hukum Hudud dan Qisas. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 telah diluluskan Dun Terengganu pada 8 Julai tahun itu dan mendapat perkenaan Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan Terengganu pada 2 September 2002. Ia kemudiannya diwartakan pada 27 Oktober 2003 bersamaan 1 Ramadhan 1423.

Isu pelaksanaan hukum Islam, khususnya Hudud, sememangnya senantiasa menjadi mainan politik parti lawan PAS. Sebab itu ketegasan Kerajaan PAS Terengganu membentang dan meluluskan Kanun Jenayah Syariah termasuk hukum-hukum Hudud, Qisas dan Taazir memberikan implikasi besar terhadap senario politik negara. Ia telah menjawab beberapa persoalan atau memperjelaskan lagi beberapa hakikat sebenar yang wujud.

Di antaranya, ia membuktikan PAS memang ikhlas melaksanakan hukum dan peraturan Islam dalam pemerintahannya. Pewartaan hukum-hukum itu di Terengganu menunjukkan bahawa PAS telah mengotakan janjinya dalam manifesto untuk melaksanakan Islam, termasuk menegakkan hukum Allah.

Kalau dikatakan ianya ‘gimik politik’ semata-mata, maka dari segi logik politik adalah lebih  baik PAS tidak meneruskan hasrat mewartakan Hudud dan Qisas. Kerana, di ketika itu hal itu telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan rakan-rakan dalam Barisan Alternatif (BA) khususnya golongan bukan Islam. Namun, walau pun menghadapi kemungkinan kemerosotan sokongan, PAS secara ikhlas meneruskan juga hasrat melaksanakan hukum itu.

Ketegasan PAS Terengganu itu turut menjadikan cabaran dibuat Umno kembali ‘memakan diri’ parti sekular itu. Di mana sejak dari awal pemerintahan PAS, Umno/Barisan Nasional (BN) sering mencabar kerajaan PAS Terengganu agar melaksanakan hukum Hudud.

“Bila lagi nak laksana Hudud?”, “Mana Hukum Islam?”, dan banyak lagi pertanyaan disuarakan oleh Umno. Ia sebenarnya lebih berhasrat mempersenda usaha PAS ketika itu. Apabila PAS nekad mengemukakan enakmen hukum berkenaan, maka seruan Umno itu kembali memakan dirinya.

Sebaliknya, para pemimpin Umno Terengganu, termasuk empat wakil rakyatnya berkata pula bahawa Kerajaan Negeri agak gopoh dan tergesa-gesa membentang rang enakmen berkenaan. Mereka mengambil sikap tidak mengundi ketika sidang Dun meluluskan enakmen berkenaan.

Apabila Umno tidak menunjukkan sokongan yang sepatutnya kepada usaha Kerajaan PAS Terengganu melaksanakan Hudud dan Qisas, ia menyebabkan Umno pula dilanda serangan berbagai pihak.

“Mana Hudud Umno?”, “38 tahun Umno Perintah Terengganu, Mengapa Tak Laksana Islam?”, dan macam-macam lagi persoalan diajukan kepada Umno ketika itu. Untuk rekod, Umno menerajui kerajaan Terengganu sebelum itu antara 1961-1999.

Ia sekaligus membuktikan selama ini Umni gagal membuat persediaan secukupnya untuk melaksanakan Islam. Sejak isu pelaksanaan Hudud mula tercetus pada tahun 1993 (di Kelantan) hingga penggubalan enakmen tersebut oleh kerajaan PAS Terengganu (kira-kira 10 tahun), Umno hanya tahu melabel hukum tersebut sebagai ‘Hudud PAS’, sedangkan parti itu sendiri masih gagal mengemukakan apa yang dikatakan ‘Hudud Umno’ itu.

Bukan setakat itu, seorang pemimpin utama Umno Kelantan ketika itu, Dato’ Mohd Zahid Ibrahim sampai mengemukakan saman di mahkamah terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu yang mahu melaksanakan hukum berkenaan. Tindakan beliau turut mendapat sokongan Pejabat Peguam Negara yang mencabar kesahihan hak Kerajaan Terengganu mewartakan enakmen berkenaan.

Di masa yang sama institusi polis telah dihalang daripada memberi kerjasama kepada kedua-dua kerajaan dalam pelaksanaan hukum tersebut. Apakah dengan hal yang demikian itu, Umno masih mahu mendakwa ia berhasrat membela maruah Islam?

Kini, sudah lebih sedekad kes itu berlalu. Hudud dan Qisas yang telah pun diwartakan di Terengganu itu tetap kekal sebagai undang-undang yang sah dan hanya menunggu untuk dilaksanakan. Ia malah dikatakan telah dijadikan rujukan oleh kerajaan Brunei dalam usahanya melaksanakan hukum berkenaan secara berperingkat bermula April nanti.

Demikian antara hasil ditemui oleh rombongan seramai 22 wakil Badan Perhubungan PAS Terengganu yang melawat Brunei, 23-26 Februari lalu. Rombongan itu dianggotai sepuluh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen PAS dari negeri tersebut.

Ertinya, hanya Umno/BN Terengganu yang terus berdolak-dalih dalam melaksanakannya. Ia tidak pernah serius mengambil langkah mendaulatkannya. Sebaliknya, hanya selesa menganggap Hudud dan Qisas hanya sebagai modal politik PAS. Sedangkan, kini semakin ramai rakyat yang tampil ke hadapan untuk menyuarakan sokongan kepada usaha mendaulatkan hukum Islam sebagai jalan keluar daripada fenomena jenayah dan kebobrokan sosial yang semakin memburuk.

Tahap kefahaman rakyat terhadap kewajiban melaksanakan hukum Islam semakin meningkat. Malah ada yang mencabar agar kerajaan pimpinan Umno turut mencontohi Brunei Darussalam menegakkan hukum tersebut. Sehinggakan rakyat sudah menerima ungkapan, “hanya penjenayah atau orang yang cenderung melakukan jenayah sahaja yang tidak sokong Hudud”.

(Artikel  ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1926, 5-7 Jamadil Awal 1435/7-9 Mac 2014 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)