Saturday, October 25, 2014

Menyelusuri Perjuangan Berliku - Sejarah PAS Besut



Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
Menurut catatan yang paling diperakui, PAS Kawasan Besut (PKB) telah ditubuhkan pada tahun 1957, hasil usaha sekumpulan pencinta dan pejuang Islam setempat. Sebahagian besar mereka terdiri daripada bekas pelajar Pondok Jerteh. Nama-nama seperti Ustaz Husin bin Jusoh, Ustaz Wan Yusof bin Abdullah, Haji Hamzah bin Idris, Mohd Senari bin Yunos dan lain-lain dikatakan individu-individu penting yang bertanggungjawab mengasas dan mengembangkan PAS di kawasan ini.

Sejarah kepimpinan
Yang Dipertua (YDP) pertama PKB ialah Ustaz Husin bin Jusoh (1957-58). Beliau dibantu oleh Ustaz Wan Yusof bin Abdullah sebagai setiausaha, yang kemudiannya mengambilalih jawatan YDP bagi tahun 1958-59.

Haji Hamzah bin Idris adalah YDP PKB ketiga. Beliau memegang jawatan itu dari 1959 hingga 1960, sebelum diambilalih oleh Che Taib bin Abdullah (1960-62), diikuti Ustaz Lukman bin Abdul Kadir (1962-63), Mohd Daud bin Samad (1963-64) dan Ustaz Husin bin Jusoh semula (1964-88).

YDP PKB ketujuh ialah Ustaz Abdul Latif bin Muhammad. Beliau memegang jawatan itu selama satu dekad (1988-98) sebelum PAS Pusat bertindak menggantung pentadbiran PKB. Kawasan ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS), yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang.

Setelah pentadbiran PKB dipulihkan semula pada tahun 2001, Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Salleh dipilih sebagai YDP. Beliau menerajui PKB selama dua penggal, iaitu sehingga 2005.

Jawatan tersebut disandang pula oleh Dato’ Ustaz Husain bin Awang, juga selama dua penggal sehingga 2009. YDP PKB ke-10 ialah Ustaz Wan Azhar bin Wan Ahmad (2009 hingga kini).

Sejarah Dewan Pemuda
Tidak dapat dipastikan bilakah sayap Pemuda di Besut ditubuhkan. Bagaimana pun, gerakan penubuhannya dikatakan bermula seawal penubuhan PKB pada tahun 1957 lagi. Nama-nama pengasas Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (DPPKB) juga gagal dijejaki. Hanya beberapa ketika kemudian muncul nama-nama seperti Husin bin Othman dan Ustaz Omar bin Khalid, yang disebut-sebut pernah menerajui DPPKB dalam era 1960-an dan awal 1970-an.

Catatan lebih tersusun kepimpinan DPPKB hanya bermula dengan kepimpinan Ustaz Abdul Latif bin Muhammad (1975-77), diikuti Abdul Manaf bin Idris (1977-81). Ketua-ketua DPPKB seterusnya ialah Haji Ismail @ Manaf bin Mamat (1981-85), diikuti Wan Mohamad bin Haji Wan Ahmad (1985-87), kemudiannya diambil semula oleh Haji Ismail (1987-89) dan Wan Mohamad semula (1989-91).

Selepas itu kepimpinan DPPKB beralih kepada Wan Seman bin Wan Hassan (1991-93), diikuti Mohd Nasir bin Awang (1993-94). Jawatan itu kemudiannya dipangku Zamani bin Setapa (1994-95), sebelum diambilalih oleh Dr. Che Ku Hashim bin Che Ku Mat (1995-98).

Penggantungan pentadbiran PKB pada 1998 turut sama menenggalakan pentadbiran DPPKB. Hanya pada tahun 1999, JTS melantik Hassan bin Mohamed untuk mengepalai sebuah jawatankuasa pemuda bagi menggarap usaha memulihkan semula DPPKB. Perlantikan beliau bagaimana pun hanya selama mana JTS berfungsi.

Setelah PKB dipulihkan semula pentadbirannya pada 2001, mesyuarat agung DPPKB memilih Wan Ahmad Shukri bin Wan Isa sebagai ketuanya. Beliau menerajui DPPKB sehingga tahun 2005, sebelum diambilalih oleh Ustaz Wan Azhar bin Wan Ahmad.

Kepimpinan Ustaz Wan Azhar bagaimana pun terhenti pada separuh penggal, apabila beliau terpaksa melepaskan jawatan pada 2006 ekoran pertukaran tempat kerja ke Negeri Sembilan. Jawatan itu dipangku oleh Ustaz Wan Ahmad Shukri sehingga akhir penggal.

Ketua DPPKB selepas itu ialah Ustaz Haji Adam bin Mat Said (2007-09), diikuti Ustaz Zulfikli bin Abdul Kadir (2009-11). Amanah kepimpinan kemudiannya digalas pula oleh Zukri bin Jusoh, bermula 2011 hingga sekarang.

Sejarah Dewan Muslimat
Menurut catatan, Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB) ditubuhkan pada tahun 1958. Ketuanya yang pertama ialah Hajah Fatimah binti Ismail, iaitu isteri kepada Mohd Daud bin Samad (bekas Menteri Besar Terengganu 1959-61). Beliau difahamkan menerajui DMPKB buat suatu jangka masa agak lama, dan di masa sama pernah juga menerajui Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.

Hajah Khadijah binti Idris (isteri kepada Haji Hamzah bin Idris, YDP PKB ke-3) mengambilalih teraju DMPKB selepas itu, diikuti Ustazah Sapinah binti Mohamad dan Ustazah Wan Azizah binti Haji As’ad (tahun-tahun perkhidmatan masing-masing bagaimana pun gagal dipastikan).

Di atas keuzuran Wan Azizah, teraju DMPKB kembali disandang Ustazah Sapinah, sehingga beliau melepaskan jawatan itu pada 2003, juga disebabkan faktor kesihatan. Jawatan Ketua DMPKB selepas itu diisi oleh Puan Nafisah binti Ismail. Beliau kekal menerajui sayap muslimat kawasan ini sehingga sekarang.

Kemenangan Pilihan Raya
Sebagai sebuah parti politik, aktiviti utama PAS ialah berkaitan penyertaan di dalam pilihan raya, umum mahu pun kecil. Sepanjang kewujudannya sejak 1957, PKB juga tidak pernah luput daripada menyertai sebarang pilihan raya yang diadakan.

Berikut disenaraikan kejayaan-kejayaan yang pernah dicapai di dalam pilihan raya di Besut:
a.        
b.      Pilihan Raya Umum 1959
Parlimen Besut            :           Dr. Burhanuddin bin Mohd Nor al-Helmy
DUN Kuala Besut      :           Wan Said bin Wan Mohd Noor
DUN Kampong Raja  :           Mohd Senari bin Yunos
DUN Besut Tengah    :           Mohamad bin Ismail
DUN Ulu Besut          :           Husin bin Jusoh


c.       Pilihan Raya Umum 1964
Parlimen Besut            :           Mohd Daud bin Samad
DUN Besut Tengah    :           Husin bin Othman
DUN Ulu Besut          :           Lukman bin Abdul Kadir

d.      Pilihan Raya Umum 1969
DUN Kuala Besut      :           Mohamad bin Said

e.       Pilihan Raya Umum 1974 (atas tiket BN)
DUN Kuala Besut      :           Husin bin Jusoh

f.       Pilihan Raya Umum 1990
DUN Jertih                 :           Abdul Latif bin Muhammad

g.      Pilihan Raya Umum 1999
Parlimen Besut            :           Hassan bin Mohamed
DUN Kuala Besut      :           Nik Muhammad Zawawi bin Salleh
DUN Kampung Raja  :           Abdul Aziz bin Abbas
DUN Jertih                 :           Tun Mohd Salleh bin Abas
DUN Hulu Besut        :           Abdullah bin Mat Dan

Sebahagian besar penama di atas juga turut menggalas amanah parti sebagai calon pada beberapa pilihan raya lain, namun gagal memperolehi kemenangan. Manakala sebilangan individu lain juga pernah memikul tanggungjawab membawa panji-panji PAS di pentas pilihan raya (menjadi calon).

Berikut disenaraikan calon-calon PAS di kawasan Besut, disusun mengikut urutan masa kemunculan mereka (dalam kurungan ialah nama kerusi ditandingi dan tahun diadakan pilihan raya):

01.  Yusof bin Mat Sah (N-Kuala Besut ‘64)
02.  Jais bin Haji Anuar (P-Besut ‘69)
03.  Dato’ Wan Ishak bin Ali (N-Kampong Raja ‘78)
04.  Cikgu Mat bin Saman (N-Bukit Kenak ‘78)
05.  Che Man bin Che Mud (P-Besut ‘82)
06.  Muhammad @ Stimat bin Jusoh (N-Kuala Besut ‘82)
07.  Abdullah bin Mohamed (N-Kampong Raja ‘82, ‘86)
08.  Daud bin Kadir (N-Jertih ‘86; N-Hulu Besut ‘90)
09.  Husain bin Awang (N-Hulu Besut ‘86; N-Kuala Besut ‘90; P-Besut ‘08)
10.  Che Ku Hashim bin Che Ku Mat (N-Kuala Besut ‘95)
11.  Abdul Rahman bin Abdul Kadir (N-Hulu Besut ‘95)
12.  Nasharudin bin Mat Isa (P-Besut ‘04)
13.  Mohd Hassan bin Salleh (N-Jertih ‘04, ‘08)
14.  Mohd Zin bin Hassan (N-Hulu Besut ‘08)
15.  Riduan bin Mohamad Nor (P-Besut ‘13)
16.  Napisah bte Ismail (N-Kuala Besut ‘13)
17.  Adam bin Mat Said (N-Kota Putera ‘13)
18.  Wan Azhar bin Wan Ahmad (N-Jertih ‘13)
19.  Shalahhudin bin Jaafar (N-Hulu Besut ‘13)
20.  Azlan @ Endot bin Yusof (N-Kuala Besut PRK ‘13)

Program & Aktiviti
Sepanjang lebih lima dekad kewujudannya, PKB telah membuktikan ia bukan calang-calang organisasi. Program dan aktiviti dilaksanakannya amatlah banyak tidak terhitung. Sebahagiannya kekal sebagai rekod cemerlang dan kenangan manis buat para pendukungnya, manakala sebahagian yang lain masih berterusan dan dapat dilihat hingga kini. Di antara program dan aktiviti yang patut dinukilkan ialah:

a.       Pembangunan Prasarana
-          Pusat Tarbiyah PAS Kawasan di Padang Luas 
Bangunan dua tingkat ini dibina hasil usaha dan sumbangan derma ahli dan penyokong PAS di kawasan ini, menggunakan kayu bangunan pejabat ladang gajus di Benting Lintang yang dibeli dan dipasang semula di sebidang tanah milik keluarga Haji Hamzah Idris di Padang Luas, Jertih. Di sini pernah menjadi pusat aktiviti PKB, selain menempatkan pejabat PKB, DPPKB, DMPKB, dan prasekolah. Di sini juga pernah dimakmurkan kuliah mingguan yang membariskan tenaga pengajar ternama.

-          Bangunan Pentadbiran di Bandar Jertih 
Bangunan empat tingkat ini dibina hasil usaha dan sumbangan derma ahli dan penyokong PAS di kawasan ini di atas sebidang tanah yang dibeli parti. Ia menjadi mercutanda bukan sahaja untuk PKB, malah pada ketika mula tertegak itu menjadi bangunan tertinggi di bandar Jertih. Ia kekal suatu kebanggaan buat seluruh pendukung PAS di kawasan ini.

-          Pondok Matlail Badrin di Jabi 
Dianggap sebagai satu projek “magnum opus” PKB. Ia dibuka dengan inisiatif kepimpinan PKB didukungi ahli dan penyokong parti, yang kebanyakannya dari Besut, walau pun ia terletak di Kawasan Setiu. Perkembangan selepas penubuhannya bagaimana pun menyebabkan akhirnya pengurusan dan pentadbiran pondok ini bertukar tangan kepada PAS Kawasan Setiu hingga kini.

-          Markas-markas Cawangan 
Hampir setiap cawangan di kawasan Besut memiliki bangunan pusat aktiviti masing-masing. Bermula hanya sebagai markas kecil bagi kegunaan gerakerja sepanjang kempen pilihan raya, setiap cawangan di kawasan ini mengambil usaha mempertingkatkan saiz dan kegunaan bangunan markas masing-masing. Kebanyakannya ditukar kepada balaisaf/surau dan dimanfaatkan untuk solat berjamaah saban hari, selain diisi dengan pelbagai aktiviti taalim dan tarbiyah sepanjang tahun, walau pun sebahagian besarnya kekal dipanggil ‘markas’.

b.      Pembangunan Pendidikan
-          Prasekolah 
Pendidikan prasekolah di Besut dimulakan seawal 1987, bermula dengan nama Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) mengikut model Terengganu. Nama itu kemudiannya ditukar kepada Pusat Tarbiyah Anak-anak Islam (Putra Islam), mengikut model Kelantan. DPP Pusat kemudiannya menyelaraskan nama prasekolah di bawah PAS sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Di zaman kemuncaknya PKB memiliki 17 buah prasekolah, “dari muka kuala hingga ke hulu sungai”.

-          Madrasah Darul Islah 
Ditubuhkan pada 1988 di bawah pengurusan dan pentadbiran PKB sepenuhnya. Sessi persekolahan pertama bermula Januari 1989 dengan tujuh tenaga pengajar dan 68 orang pelajar. Ia beroperasi di bangunan Pusat Tarbiyah PKB, di Padang Luas. Krisis kepimpinan PKB yang membawa kepada penggantungannya pada 1998 turut mengheret kepada pertikaian hak milik ke atas bangunan dan pentadbiran madrasah ini. Ia kemudiannya “dilepaskan” oleh PKB dan sempat beroperasi beberapa tahun sebelum ditutup.

-          Taalim Umum (Kawasan dan Cawangan) 
Kuliah agama adalah antara nadi utama tarbiyah PAS, tidak terkecuali di Kawasan Besut. Boleh dikatakan hampir setiap markas cawangan serta pusat-pusat tarbiyah yang dibina di peringkat Majlis Tindakan DUN (MTD) menjadikan kuliah agama sebagai acara tetapnya. Ia disempurnakan oleh sebilangan tenaga pengajar berwibawa, sebahagian besarnya melibatkan asatizah PAS dari kawasan ini sendiri, selain sejumlah yang tidak sedikit dari kalangan pendakwah dari kawasan-kawasan berdekatan, seumpama Setiu, Pasir Puteh dan lain-lain.

Mehnah Perjuangan
Sudah menjadi lumrah perjuangan Islam, ia tidak akan sunyi daripada cabaran dan halangan, kecil mahu pun besar. Beberapa mehnah yang pernah dilalui PKB yang sayugia dicatatkan adalah sepertimana berikut:
a.       Penangkapan & Pembuangan Daerah – Ustaz Abdul Latif Muhammad & Ustaz Muhammad @ Stimat Jusoh.
b.      Pendakwaan Mahkamah Isu Zakat – Tuan Guru Haji Mustafa & beberapa ahli PAS dari Kampung Nangka.
c.       Pendakwaan Isu Solat Jumaat Berasingan – ahli PAS dari Kampung Lapan Kotak, Pak Demalik & Kampung Nangka.
d.      Tragedi Bom Asap Keluang – ceramah PAS dihujani bedilan gas pemedih mata.

Penutup
Ranjau dihadapi PKB sepanjang liku perjuangannya amat menguji kesabaran dan ketabahan. Kejayaan mendepani pahit-maun itulah yang telah mematangkan ahli dan pendukung PAS di kawasan ini, di segenap peringkat.

Kini, selepas hampir enam dekad kewujudannya, PKB sudah mampu melangkah gagah dengan saf kepimpinan yang tahan uji dan ‘masak’ dengan karenah, ahli yang komited dan dedikasi serta pendukung yang tidak mudah disilaukan oleh tawaran keduniaan daripada pihak musuh. Inilah aset dan sandaran paling kukuh untuk perjuangan ini.

Semoga PAS Kawasan Besut terus maju dan menapak lebih tersusun, menjana lebih kekuatan seterusnya menempa jalan lebih meyakinkan untuk mencipta kemenangan dan kejayaan.

Wallahu a’lam bissawab. Wa ilaihil marja’u wal ma’ab.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!


Taman Desa Noryanti, Air Tawar, Besut
1 Muharram 1436/25 Oktober 2014. 

(Artikel ini adalah bahan sebaran (handout) program Konvensyen PAS Besut, yang diadakan di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, pada 1 Muharram 1436/25 Oktober 2014)

Friday, October 3, 2014

Salah faham konsep ‘hikmah’



Oleh: MOHD NASIR AWANG

“Tak dak hikmah la pak imam kita ni... nak menegur gunalah bahasa lemah-lembut sikit, jangan berkeras sangat. Dia orang tu budak-budak lagi... lagi kita berkeras, lagi dia orang payah terima”, kedengaran rungutan seorang anggota jemaah seraya menapak turun tangga masjid.

Beliau merujuk kepada peringatan ringkas oleh tuan imam sejurus selesai solat Jumaat, yang menegur tabiat sebilangan anak muda yang asyik bersembang tanpa menghiraukan adab mendengar khutbah. Sedangkan sudah diperingatkan oleh tuan bilal sejurus sebelum khatib berkhutbah, bahawa diam dan mendengar dengan teliti isi khutbah adalah suatu tuntutan kepada setiap yang hadir.

Ya, saya akui peringatan tuan imam kali ini agak keras, lebih berupa leteran. Namun, saya sendiri cenderung untuk bersetuju dengan nada keras dan tegas oleh tuan imam itu. Seingat saya, sudah beberapa kali sebelum ini beliau bangun menasihati para jemaah agar menjaga adab ketika menghadiri solat Jumaat.

Sebelum ini dengan nada yang sangat lembut dan ‘berhalus’, tuan imam menghuraikan betapa hadirin sangat perlu menghormati adab tersebut. Apatah lagi ada amaran tegas dari Rasulullah saw mengenai berdiam diri ketika imam sedang berkhutbah.

Malangnya, nasihat yang disampaikan secara baik itu terbukti umpama mencurah air ke daun keladi. Ia tidak meninggalkan bekas, walau pun sudah diulang berkali-kali. Ia boleh juga diibaratkan seperti bersyarah kepada telinga kuali.

Malah kebiadaban anak-anak muda ini bagi saya melangkaui tahap yang boleh ditolak-ansur. Entah apa yang mereka sembangkan, saya pun tak pasti. Bermula dari kehadiran mereka di awal waktu, ada-ada saja topik yang mereka bicarakan sambung-menyambung. Suara mereka pula agak kuat, bertingkah-tingkah di celah alunan azan tuan bilal. Itulah tabiat mereka saban minggu.

Seusai azan, ketika anggota jemaah berdiri untuk solat sunat, anak-anak muda itu masih bersembang. Sesudah khatib naik ke mimbar, suara mereka masih galak kedengaran. Selepas diberi ingatan oleh tuan bilal mengenai adab mendengar khutbah, mereka tidak juga ambil pusing dan terus juga bersembang.

Sepanjang imam berkhutbah, suara sembangan anak-anak muda tadi turut menyulami hujahan khatib. Ada juga beberapa anggota jemaah yang tidak senang dengan gelagat itu berpaling ke arah mereka, mengerling dan menggelengkan kepala, mengisyaratkan agar mereka diam. Namun ia bagaikan tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada pemikiran mereka.

Ya Allah, terfikir juga saya, boleh jadi budak-budak itu jenis “IQ Zero” gamaknya? Sakit hati juga kita melihatnya. Perasaan terganggu, kekusyukan menekuni isi khutbah juga ternoda. Terlintas juga ketika itu untuk bangun dan pergi jentik telinga budak-budak yang sangat “tak reti bahasa” itu! Mujur juga setakat ini saya masih boleh mengawal perasaan sendiri.

Sebab itu hati saya sedikit pun tidak melihat unsur kekerasan atau kekasaran di dalam peringatan oleh tuan imam selepas solat itu.

“Nak mari sembahyang, buatlah cara nak mari sembahyang, kena jaga adabnya. Kalau nak “berbual” (bersembang) juga, masa orang bang kita berbual, orang baca khutbah kita berbual, orang sembahyang pun duk berbual lagi, baik tak payah mari (ke masjid)!”, tuan imam bagaikan menjatuh hukum.

Memang peringatan itu lebih kepada leteran, bukan sahaja ditujukan kepada anak-anak muda yang kurang ajar dan tidak tahu menghormati saat ibadat itu, tetapi turut menempelak bapa dan penjaga mereka yang tidak mengambil berat soal menjaga adab itu.

“Saya minta tolong, kalau ada ayah dia ke, abang ke, tokki (datuk) ke, tolong lah tengok anak siapa, cucu siapa, adik siapa yang suka sangat duk buat bising kat belakang tu. Jangan kita hanya seronok kononnya khusyuk duk beribadat di depan ni, anak-anak kita biarkan duk buat dosa kat belakang tu!”, sambung tuan imam lagi.

Boleh jadi rangkap inilah yang membuat ramai jemaah terasa. Boleh jadi juga pakcik yang merungut sambil turun tangga tadi antara yang berasa terpukul dengan penegasan tuan imam itu. Justeru, teguran itu terus dilabelkan “tidak ada hikmah”.

Di sinilah saya melihat titik tolak permasalahan dalam masyarakat kita. Orang kita telah menyalahertikan kalimah “hikmah”. Kononnya ia bermaksud lemah-lembut, bersuara perlahan dan bermuka senyum.

Apatah lagi apabila ia membabitkan golongan pendakwah dan penegak Islam, seumpama tuan imam, bilal, ulama dan asatizah. Semacam ada tanggapan dalam masyarakat bahawa para ulama dan orang agama tidak boleh bercakap dengan nada keras dan tegas, kerana ia dikatakan tidak berhikmah. Apatah lagi jika mereka menuturkan kalimah-kalimah yang dianggap kasar atau berunsur amarah.

Seolah-olah kita tidak pernah disuakan dengan ayat-ayat al-Quran yang menuturkan “celaka” (untuk Abu Lahab), atau mengumpamakan golongan tertentu dari kalangan manusia seperti anjing, keldai, binatang berkaki empat dan seumpamanya. Jika hikmah itu bermaksud lemah-lembut, maka apakah kitab suci al-Quran tidak ada hikmah?

Sedangkan hikmah itu bermaksud bijaksana atau mengaplikasi tindakan yang bersesuaian, yang menatijahkan kesan paling baik dan berkesan. Sebab itu nilaian hikmah sepatutnya mengikut kesesuaian sesuatu tindakan atau ucapan dibuat.

Dalam proses penyampaian mesej dakwah misalnya, ada pihak yang boleh menerimanya dengan cara lembut, ada juga yang memerlukan pendekatan lebih tegas, termasuk perbahasan. Malah sejarah Islam membuktikan ada juga ketikanya mesej dakwah disampaikan menerusi peperangan.

Dalam bab solat ini pula, Islam telah mengajar kita bahawa seorang anak perlu disuruh solat ketika umurnya tujuh tahun. Andainya dengan pelbagai cara nasihat dan suruhan secara yang baik dilakukan, dia tidak juga solat, maka mencapai umurnya 10 tahun Rasulullah saw mengesyorkan anak itu dipukul.

Dalam ertikata lain, ketika itu pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya. Maka apalah sangat herdikan oleh tuan imam tadi berbanding dengan saranan Rasulullah saw itu?

(Artikel ini dimuatkan di kolum Coretan Ketua Pengarang, majalah bulanan Era Muslimah, Bil. 28 (terbitan Oktober 2014) dengan judul sama)